Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PM Lee umumkan dana lebih besar, $25 juta, untuk galak bahasa ibunda

Usaha menggalak penggunaan dan pembelajaran bahasa ibunda mendapat rangsangan besar hari ini.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Usaha menggalak penggunaan dan pembelajaran bahasa ibunda mendapat rangsangan besar hari ini.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengumumkan, Kementerian Pendidikan (MOE) akan meningkatkan dana pembiayaan untuk menggalak penggunaan bahasa ibunda di Singapura, daripada $16.6 juta kepada $25 juta bagi tempoh lima tahun ini - tambahan 50 peratus.

Dana itu akan membolehkan ketiga-tiga Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Bahasa Ibunda (MTLLPC) untuk menggunakan kepakaran, sumber dan tenaga orang ramai dan masyarakat untuk menggalak penggunaan Bahasa Melayu, Mandarin dan Tamil.

Bantuan kewangan tambahan itu diumumkan PM Lee di majlis pelancaran Bulan Bahasa Melayu 2015 di Gardens By The Bay petang ini tadi.

Dalam ucapannya, PM Lee menekankan bahawa usaha memulihara dan menggalakkan penguasaan bahasa ibunda perlu digandakan.

Sebagai usaha berterusan pemerintah untuk memartabatkan bahasa ibunda rasmi Singapura, suntikan dana tambahan akan diperuntukkan. 

PM Lee menyatakan, sejumlah $20 juta atau 80 peratus dana pemerintah untuk setiap MTLLPC, merupakan dana terjamin dari pemerintah. Bagi masyarakat Melayu, ia diuruskan oleh Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Bahasa Melayu (MLLPC).

Bakinya $5 juta perlu dikumpulkan masyarakat, dengan pemerintah menokok sedolar bagi setiap dolar yang dikumpulkan.

"HARAP MANFAATKAN IA SEPENUHNYA"

Dalam ucapannya itu, PM Lee berkata acara Bulan Bahasa sudah hampir 30 tahun dijalankan, iaitu sejak 1988. Beliau berharap ia akan terus dihidupkan dan dilestarikan.

Mengulas mengenai dana lebih besar sebanyak $25 juta itu, beliau berkata, memandangkan skim tersebut wujud, "harap manfaatkan ia sepenuhnya!".

PM Lee menambah, masyarakat perlu meningkatkan program-program menggalak bahasa ibunda dan bersama-sama "kita akan menjadikan bahasa ibunda kita bahasa yang hidup".

PELBAGAI INISIATIF BARU SUDAH DIRANCANG

Ketiga-tiga jawatankuasa itu juga sudah merancang pelbagai inisiatif baru untuk terus menggalak pembelajaran dan penggunaan Bahasa Ibunda.

Ini termasuk bekerjasama dengan kumpulan-kumpulan seni setempat untuk membawa kegiatan sastera dan kebudayaan kepada estet-estet perumahan, serta bekerjasama dengan rakan-rakan kongsi masyarakat untuk melancarkan pertandingan puisi dan menggubah lagu.

Ketiga-tiga MTLLPC itu ditubuhkan pada 2005 dan 2006 untuk mendapatkan sokongan masyarakat dalam pembelajaran dan penggunaan ketiga-tiga Bahasa Ibunda Singapura.

DASAR DWIBAHASA AMAT PENTING UNTUK KEKAL BERDAYA SAING

PM Lee menambah bahawa dasar dwibahasa amat penting untuk kekal berdaya saing di peringkat global.

Beliau turut menarik perhatian pesanan Perdana Menteri pertama Singapura, mendiang Encik Lee Kuan Yew, tentang hubung kaitnya bahasa ibunda dan asal usul, nilai dan budaya masyarakat.

"Bahasa mencerminkan nilai. Nilai pula merupakan benteng budaya bagi masyarakat dalam kita mengharungi dunia yang pesat berubah-ubah.

"Dengan suntikan dana tambahan, lebih banyak program dan kegiatan akan dipertingkat dan diperluas untuk memanfaatkan lebih ramai pelajar," ujar PM Lee.

Usaha ini juga melibatkan sokongan badan-badan masyarakat dan keluarga. Justeru sempena SG50, PM Lee melahirkan penghargaan kepada golongan perintis, khususnya para pendidik dan penulis yang banyak menyumbang demi memartabatkan bahasa dan budaya Melayu.

Pada akhir acara, PM Lee mengunjungi pameran kegiatan dan permainan bertemakan Bulan Bahasa oleh para pelajar.  

Sumber : CNA/BERITAMediaCorp/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan