Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Usaha Bulan Bahasa 2016 diharap dapat diteruskan pada tahun-tahun mendatang

Bulan Bahasa memainkan peranan penting dalam mendedahkan masyarakat tempatan kepada bahasa, kesusasteraan dan budaya Melayu.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Bulan Bahasa 2016 melabuhkan tirainya selepas tiga bulan tetapi ia tidak bermakna usaha memperkasa kedudukan bahasa, kesusasteraan dan budaya Melayu sudah juga berakhir.

Ia merupakan usaha yang berterusan dan didukung masyarakat secara kolektif.

Demikian menurut Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, di acara malam penghargaan, di Bangunan Parlimen semalam (28 Okt).

Bulan Bahasa memainkan peranan penting dalam mendedahkan masyarakat tempatan kepada bahasa, kesusasteraan dan budaya Melayu.

Ia juga dapat memperkasa lagi jalinan hubungan rakyat majmuk negara ini.

Ia lebih bermakna dengan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan watan serta bersesuaian dengan konteks dasar dwi bahasa yang diamalkan di negara ini.

"Bulan Bahasa adalah satu wadah bagi kita untuk meraikan dan berkongsi budaya Melayu dengan rakan-rakan kita semasyarakat dengan masyarakat Melayu.

"Dan, juga berkongsi dengan mereka yang bukan Melayu kerana ini memberikan suatu kecantikan masyarakat-masyarakat di Singapura, dan ini boleh menyumbang kepada pembangunan negara dengan secara positif," kata Profesor Madya Faishal Ibrahim.

Namun, tahun ini hanya sekitar 24,000 orang menyertai kegiatan-kegiatan Bulan Bahasa berbanding lebih 43,000 peserta pada tahun lalu.

Pengerusi Bulan Bahasa 2016 Cik Rahayu Mahzam berkata: "Kita tahu tahun lepas itu adalah acara gemilang, acara SG50. Jadi, tentu sekali yang terlibat, yang mengambil bahagian, dan tempatnya juga kawasannya juga berbeza."

"Tetapi, saya rasa juga penting untuk kita lihat sama ada kita dapat teruskan mutu ataupun peningkatan yang telah diadakan tahun demi tahun.
Cabarannya adalah harapan masyarakat .

"Tentu sekali setiap kali mereka mahukan sesuatu yang baru, sesuatu yang lebih gah, sesuatu yang lebih besar. Dan, kadangkala yang penting bukan sahaja rupanya tetapi kesannya kepada masyarakat. Jadi, perlu ada kesimbangan."

Secara keseluruhan, peningkatan positif dicatat dengan penyertaan 60 buah sekolah, termasuk pelantikan 118 rakan bahasa, tahun ini, berbanding 47 buah sekolah pada tahun sebelumnya.

Secara amnya, Bulan Bahasa diterima baik masyarakat.

"Sebagai sebuah masyarakat yang majmuk, saya rasa ia dapat mencetuskan lagi minat warga Singapura tentang bahasa, budaya, bahasa Melayu sendiri dan bagaimana mereka dapat lebih menghargai bahasa negara kita," ujar seorang sukarelawan Liyana Sulaiman.

"Ia memberi saya pengertian mengenai pelbagai cara luahan budaya, penggunaan bahasa dan, sudah tentu, keindahannya. Dan, ia membantu saya memahami rakan-rakan Melayu saya dengan lebih baik," kongsi Alvin Ting pula.

"Satu aspek yang boleh diteroka lagi adalah penggunaan media sosial dalam mendekati rakyat muda Singapura."

Siti Zuhrah Abdul Samad pula berkata: "Jangkaan saya pada acara Bulan Bahasa pada tahun depan adalah ia akan lebih meriah dan juga terdapat lagi pelbagai acara dan persembahan yang lebih menarik."

Setelah lebih dua dekad, peranan Bulan Bahasa tidak dapat dinafikan.

"Kalau kita tidak ada Bulan Bahasa, tentu sekali ada kekosongan dan rasa sesuatu yang kehilangan dalam bangsa kita. Jadi, kita dapat lihat tahun demi tahun ada peningkatan, adanya sesuatu yang baik yang datang dengan adanya usaha ini.

"Dan, kita juga dapat melihat bagaimana ia juga menjadi satu wadah untuk kita melibatkan mereka yang bukan berbangsa Melayu tetapi untuk memperkenalkan bahasa Kebangsaan kita.

"Saya rasa ini adalah sesuatu yang perlu kita perhatikan dengan lebih mendalam, bagaimana untuk meningkatkan usaha ini, supaya lebih bermakna, lebih berkesan, lebih berpanjangan kesannya," kata Cik Rahayu.

Memandang ke hadapan, diharap lebih ramai akan terlibat yakni jaringan keterlibatan masyarakat majmuk Singapura diperluas. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan