Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tirai Bulan Bahasa 2016 sudah dibuka, lebih 100 kegiatan dijanjikan

Bulan Bahasa 2016 membuka tirainya hari ini (3 Sep), menjanjikan lebih 100 kegiatan yang bertujuan menampilkan bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu, Bahasa Budaya dan Bahasa Mesra yang dinamik dan kekal relevan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Bulan Bahasa 2016 membuka tirainya hari ini (3 Sep), menjanjikan lebih 100 kegiatan yang bertujuan menampilkan bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu, Bahasa Budaya dan Bahasa Mesra yang dinamik dan kekal relevan.

Berlangsung dari 15 Ogos hingga 15 Oktober, kempen tahun ini juga akan disambut di lima kawasan kejiranan- yang terbaru, di estet perumahan Sembawang.

Mengumumkan demikian di acara pelancarannya di Muzium Negara tadi, pengerusi Bulan Bahasa 2016, Cik Rahayu Mahzam berkata: “Perayaan di estet-estet perumahan seperti ini merupakan wadah baik buat teman-teman kita yang bukan dari kaum Melayu untuk bersama-sama menikmati dan meraikan Bahasa Kebangsaan kita.”

Bagi tujuan tersebut, beberapa kegiatan juga diadakan untuk melibatkan golongan bukan Melayu. Salah satunya ialah program Rentak Kita!, iaitu sebuah pementasan orkestra tradisional Melayu di mana sesi-sesi perkongsian akan diadakan dalam bahasa Melayu dan Inggeris.

Cik Rahayu yang menerajui Bulan Bahasa buat pertama kali juga melahirkan rasa gembira melihat penglibatan golongan muda serta beberapa rakan kerja baru pada tahun ini. Melalui mereka, kata beliau, bahasa Melayu dapat “terus kekal relevan dan dinamik dalam masyarakat sekarang yang kian maju dan berubah.”

Beliau berkata tanggungjawab untuk memastikan bahasa ibunda itu terus digunakan dan dicintai ramai, kini terletak pada generasi yang seterusnya, lebih-lebih lagi dengan pemergian beberapa tokoh bahasa dan sastera seperti Cikgu Mohd Naim Daipi dan Cikgu Muhammad Ariff Ahmad.

Namun tanggungjawab itu, “perlu digalas bukan sahaja oleh pemimpin dan tokoh-tokoh bahasa, tetapi oleh semua pihak, termasuk pendidik, ibu bapa dan para pelajar,” tambahnya.

Acara tadi juga menyaksikan penyampaian sijil pelantikan kepada tiga duta bahasa tahun ini yang disampaikan oleh, Pemangku Menteri Pendidikan (Sekolah), Ng Chee Meng.

Berucap di acara tadi, Encik Ng berkata bahasa ibunda memainkan peranan penting dalam mengukuhkan warisan serta identiti budaya dan juga negara.

“Bahasa Melayu ialah bahasa nasional kita dan budaya Melayu juga membentuk sebahagian besar warisan serta fabrik sosial Singapura,” kata Encik Ng.

Beliau turut memuji usaha Majlis Bahasa Melayu Singapura dalam menjadikan Bulan Bahasa sebagai wadah untuk menggalak penggunaan bahasa ibunda serta memberi peluang kepada para pelajar mempamerkan kecintaan mereka terhadap bahasa ibunda mereka.

Menurutnya, acara serta program-program dalam kempen Bulan Bahasa tahun ini juga “ada kepelbagaian, kaya serta menggambarkan betapa dinamik dan hidupnya bahasa Melayu di Singapura hari ini.”

Encik Ng juga berkata dasar dwibahasa merupakan aspek penting dalam dasar pendidikan di sini dan kekal menjadi aset negara.

“Bahasa-bahasa ibunda kita juga membolehkan rakyat Singapura untuk berhubung dengan masyarakat-masyarakat di seluruh Asia dan dunia, dan mengukuhkan tali silaturrahim dengan negara-negara jiran dan yang lain,” ujarnya lagi.

Sambutan pelancaran Bulan Bahasa akan diadakan sepanjang hujung minggu ini di Muzium Negara.  

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan