Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tingkatkan minat, kefasihan bahasa Melayu melalui acara bercerita, peraduan berlakon

Itulah tujuan dua acara sesi bercerita dan pertandingan soliloquy yang diadakan sempena Bulan Bahasa. 

Anggaran Waktu Membaca:
Tingkatkan minat, kefasihan bahasa Melayu melalui acara bercerita, peraduan berlakon

Gambar: Majlis Bahasa Melayu Singapura / Facebook

Diterbitkan : 21 Sep 2016 09:30PM Dikemas Kini : 21 Sep 2016 09:32PM

SINGAPURA: Meningkatkan minat dan kefasihan bertutur bahasa Melayu menerusi kisah-kisah lagenda Melayu.

Itulah tujuan dua acara sesi bercerita dan pertandingan soliloquy yang diadakan sempena Bulan Bahasa.

Selama lebih kurang sejam, kanak-kanak berusia antara empat hingga enam tahun dihiburkan dengan cerita lagenda Sang Nila Utama.

Menerusi sesi santai sebegini, kanak-kanak itu boleh mempelajari pelbagai perkara.

"Salah satunya kemahiran untuk mendengar dan juga mengenal perkataan-perkataan baru daripada si pencerita itu apabila dia ungkapkan di dalam sesi bercerita.

"Walaupun mereka tidak fahami, melalui teknik dan gayanya, anak-anak akan pelajari perkataan-perkataan yang baru dan akhirnya juga minat kepada bahasa Melayu," ujar penulis dan pencerita Jumaini Ariff.

Selain itu, kanak-kanak berkenaan juga perlu menjawab soalan dan membuat kraftangan berkaitan dengan kisah lagenda yang didengar.

Jika teknik bercerita digunakan kepada kanak-kanak untuk mengenali perkataan-perkataan Melayu, cara berbeza pula digunakan terhadap kanak-kanak yang lebih dewasa.

Cara dimaksudkan adalah pertandingan soliloquy, yakni persembahan monolog oleh para pelajar sekolah rendah dan menengah.

Dalam pertandingan peringkat akhir itu, para pelajar dikehendaki menghidupkan watak-watak lagenda Melayu.

Penganjurnya, Samsudin Said berkata: "Ia menggalakkan pelajar untuk lebih berdikari membuat kajian dari segi sudut bahasa dan budaya.

"Saya rasa dengan adanya pertandingan sedemikian membuka ruang bagi para pelajar yang mungkin kurang menggunakan bahasa Melayu di sekolah dan dengan cara sebegini sebenarnya meningkatkan mutu pertuturan bahasa Melayu bagi para pelajar."

"Saya mendapati bahawa pendedahan para pelajar kepada sejarah dan tradisi Melayu pada zaman dahulu amat menarik kerana kita tidak biasa mempunyai pengalaman sebegini," ujar seorang peserta Adina Natasha Samsuar.

Daripada 45 peserta, 10 daripada mereka berjaya ke peringkat akhir yang diadakan semalam (20 September).

Muhd Faisal Osman muncul sebagai juara peringkat sekolah rendah.

Manakala Muhd Shafiq Rashid bagi peringkat sekolah menengah.

Ini merupakan tahun keenam, pertandingan sebegini diadakan sempena Bulan Bahasa. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan