Skip to main content

Iklan

Iklan

Murali: Pelan konkrit diperlukan, bukan setakat usul di Parlimen saja

Calon PAP Murali Pillai berkata pelan konkrit perlu dilakar bagi membantu penduduk dan bukan setakat mengutarakan isu yang dihadapi penduduk di Parlimen saja.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 04 May 2016 01:55PM Dikemas Kini : 05 May 2016 03:27AM

SINGAPURA: Calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) bagi Pilihan Raya Kecil Bukit Batok, Murali Pillai berkata pelan konkrit perlu dilakar bagi membantu para penduduk dan bukan setakat mengutarakan isu-isu yang dihadapi penduduk di Parlimen saja.

Encik Murali berkata demikian kepada para wartawan semasa melakukan lawatan bertemu penduduk di kawasan undi perseorangan itu pada hari ini (4 Mei).

Beliau turut merujuk kepada dasar-dasar yang diperkenalkan pemerintah sejak beberapa tahun kebelakangan ini seperti Pakej Generasi Perintis yang membantu golongan warga tua.

Menurut Encik Murali, dengan bertambahnya bilangan warga tua di Singapura, banyak lagi yang perlu dilakukan untuk menampung keperluan mereka.

"Di Bukit Batok, kita amat bernasib baik," kata Encik Murali. "Saya sudah bekerjasama dengan para relawan selama lebih 16 tahun dan saya yakin mereka akan menyokong usaha saya untuk mempertingkatkan lagi tahap khidmat yang kami sediakan untuk para penduduk di Bukit Batok."

Encik Murali berkata sebuah pusat jagaan warga tua yang baru, yang diumumkan beliau dalam manifesto pilihan rayanya, akan membantu menawarkan terapi dan menyediakan khidmat pusat jagaan siang hari bagi meringankan tanggungjawab penjaga mereka.

Menurut Encik Murali lagi, beliau dan para pemimpin masyarakat berharap pusat baru itu akan ditempatkan di lokasi yang mudah dikunjungi seperti dekat dengan perhentian bas atau di kawasan yang bebas hadangan.

Encik Murali juga menyentuh tentang "sistem butang kecemasan" yang diusulkan beliau sebelum ini. Butang yang sepatutnya dipasang pada bahagian leher itu boleh digunakan untuk mendapatkan bantuan dari jran tetangga, saudara mara dan pemimpin masyarakat, tambah beliau.

"Ia bagi memudahkan dan memanfaatkan semangat gotong-royong yang memang sudah lama wujud di Bukit Batok," kata Encik Murali.

Apabila ditanya sama ada pelan beliau itu dilihat sebagai usaha memancing undi, Encik Murali menegaskan bahawa dalam mana-mana pilihan raya, ia adalah satu perkara biasa untuk para pengundi meneliti dan menimbangkan nilai yang dibawa oleh setiap calon.

"Atas dasar konteks itu, saya menyarankan pelan ini bagi tiga peringkat: pekerjaan, warga tua yang uzur dan kanak-kanak daripada keluarga yang memerlukan. Mereka perlu meneliti sendiri bagi menentukan sama ada pelan saya ini wajar disokong," kata beliau lagi.

Beliau menambah, dalam konteks Bukit Batok, pelan ini adalah "tambahan" daripada yang sudahpun dilakukan untuk membantu warga tua dan kanak-kanak.

"Ia sebenarnya lebih dari itu, ia adalah satu sistem yang menyeluruh," dedah Encik Murali.

Sumber : CNA/aw
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan