Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dr Chee dakwa warga tua S'pura diperlakukan seperti kertas tisu, mahu CPF dikembalikan

Calon Parti Demokratik Singapura (SDP) Dr Chee Soon Juan menuduh pemerintah memperlakukan warga tua rakyat Singapura seperti "kertas tisu - menggunakan mereka dan kemudian membuang mereka begitu sahaja".

Anggaran Waktu Membaca:
Dr Chee dakwa warga tua S'pura diperlakukan seperti kertas tisu, mahu CPF dikembalikan

Setiausaha Agung SDP, Dr Chee Soon Juan di rapat pilihan raya Bukit Batok pada 1 Mei. (Gambar: Channel NewsAsia)

Diterbitkan : 03 May 2016 11:50PM Dikemas Kini : 03 May 2016 11:52PM

SINGAPURA: Calon Parti Demokratik Singapura (SDP) Dr Chee Soon Juan menuduh pemerintah memperlakukan warga tua rakyat Singapura seperti "kertas tisu - menggunakan mereka dan kemudian membuang mereka begitu sahaja".

Dr Chee berkata, jika beliau dilantik sebagai Anggota Parlimen (AP) Bukit Batok, beliau akan memastikan warga tua rakyat Singapura mendapat penghormatan yang sewajarnya.

Beliau berucap demikian di rapat Pilihan Raya Kecil Bukit Batok malam ini tadi (3 Mei).

Dr Chee mendakwa, warga tua di Singapura sedang berdepan dengan masa-masa sukar. Terdapat peningkatan kepada jumlah warga tua yang membunuh diri.

Beliau menyebut beberapa perangkaan bagi penyokong hujahnya itu: "Pada tahun 2009, 79 warga tua membunuh diri. Pada tahun 2010, jumlah meningkat kepada 95. Pada tahun 2014, 120 warga tua membunuh diri - naik 60 peratus sejak tahun 2000. Dalam erti kata lain, seorang warga tua membunuh diri setiap tiga hari di Singapura."

Setiausaha Agung SDP itu menambah, para pekerja sosial menyatakan bahawa masalah ini hanya akan menjadi bertambah buruk.

"Kebanyakan masalah ini disebabkan oleh dasar-dasar PAP. Misalnya, sesetengah warga tua terpaksa menjual rumah mereka dan membeli flat lebih kecil supaya mereka mempunyai pendapatan. Masalahnya, jika mereka melakukan sedemikian, mereka perlu berpisah dengan kumpulan masyarakat di kawasan yang sudah diduduki selama berdekad-dekad dan berpindah ke kawasan kejiranan yang baru. Mereka mungkin berjauhan daripada keluarga dan rakan-rakan dan bagi warga tua, pengalaman itu menimbulkan trauma. Adakah pemerintah benar-benar memahami masalah warga tua kita?" kata Dr Chee.

CHEE KRITIK SKIM CPF, MAHU IA DIKEMBALIKAN

Dalam rapat pilihan raya tersebut, Dr Chee juga mengkritik skim minimum Tabung Simpanan Pekerja (CPF).

Menurut Dr Chee, jika beliau dilantik menjadi Anggota Parlimen bagi Bukit Batok, beliau akan melobi supaya wang CPF dikembalikan kepada rakyat Singapura.

Dr Chee berkata: "Pemerintah yang tidak bijak seperti ini, dasar tidak bijak seperti yang kita ada ini, jika anda mahu bermurah hati. Tapi jika anda mahu bersikap curiga, maka anda perlu bertanya sama ada pemerintah menahan wang CPF anda kerana mereka tidak mempunyai dana yang mencukupi untuk membayar kembali anda semua, disebabkan kegagalan dalam pelaburannya?"

Dr Chee menambah, beberapa minggu lalu Bank Hongkong dan Shanghai (HSBC) mengeluarkan tinjauan yang menyatakan, kos kehidupan Singapura menjadikannya salah sebuah negara yang paling sukar untuk penduduknya bersara.

Hampir separuh rakyat Singapura berkata mereka tidak akan dapat bersara dalam masa lima tahun akan datang, tambah Dr Chee.

"Purata global hanyalah 38 peratus. Singapura di paras 50 peratus. 30 peratus mengatakan mereka langsung tidak akan dapat bersara. Menurut para responden, masalahnya adalah kurang simpanan atau disebabkan adanya tanggungan untuk dijaga," ujar Dr Chee.

Malah, Dr Chee menyebut Ketua HSBC sebagai berkata, hakikat tentang kewangan menjadikan rakyat Singapura tidak mampu untuk bersara.

"Tapi disebabkan skim CPF, kami adalah penabung terbesar di dunia untuk persaraan. Mengapa pula kita masih belum mempunyai simpanan yang mencukupi," ujar Dr Chee.

Rapat pilihan raya kecil yang diadakan di tanah lapang Taman Perindustrian A Bukit Batok itu merupakan yang ketiga bagi SDP.  

Sumber : CNA/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan