Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kedutaan Indonesia: Gaji pembantu rumah dinaikkan sebagai insentif tekun bekerja

Indonesia putuskan gaji lebih tinggi bagi para pembantu rumah sebagai insentif galak pekerja pertingkat kecekapan.

Anggaran Waktu Membaca:
Kedutaan Indonesia: Gaji pembantu rumah dinaikkan sebagai insentif tekun bekerja

Kedutaan Besar Republik Indonesia di Singapura. (Gambar: Facebook KBRI Singapura)

SINGAPURA: Indonesia memutuskan untuk menaikkan gaji para pembantu rumah dari negara itu supaya ia dapat dijadikan sebagai insentif untuk menggalak lebih ramai pekerja supaya meningkatkan kecekapan masing-masing sebelum dihantar bekerja di Singapura.

Tawaran gaji yang lebih tinggi itu juga diharap akan merangsang mereka supaya bekerja dengan lebih bersungguh-sungguh di Singapura.

Demikian menurut Kaunselor Menteri (Ketua Khidmat Rakyat Indonesia), Didit Parlambang, dalam wawancara eksklusifnya bersama BERITA.

Semua agensi pembantu rumah di Singapura menerima surat pemberitahuan dari Kedutaan Indonesia pada 26 Oktober 2015, yang mengumumkan bahawa gaji para pembantu rumah dari negara itu dinaikkan kepada $550 sebulan, bermula Januari 2016.

Surat pemberitahuan kepada agensi-agensi pembantu rumah di singapura. (Gambar: KBRI Singapura)

Surat pemberitahuan bertarikh 26 Oktober 2015 yang dihantar kepada agensi-agensi pembantu rumah di Singapura. (Gambar: KBRI Singapura)

Menurut Encik Didit yang bertugas di Kedutaan Indonesia di Singapura, "Dengan gaji yang menurut mereka (pembantu rumah) sudah cukup besar itu, mereka akan bekerja dengan lebih bersungguh-sungguh lagi. Ia semacam rangsangan untuk mereka supaya bekerja dengan lebih baik lagi. Di samping hal itu, kami mengingatkan kepada perusahaan pengirim tenaga kerja di Indonesia supaya melatih para pembantu ini dengan lebih giat lagi supaya mereka dapat bekerja dengan lebih cekap Singapura."

Kali terakhir gaji pembantu Indonesia dinaikkan ialah pada bulan September tahun lalu, dari $450 kepada $500 sebulan.

"Kami memang mengharapkan juga syarikat-syarikat yang menghantar pembantu dari Indonesia juga lebih serius dalam menjalankan latihan kerana Singapura adalah negara yang sangat maju, maka para majikannya ini sangat selektif sekali dengan memilih pembantu. Maka kalau yang dipilih adalah orang-orang yang bagus tentu masyarakat Singapura akan sangat tenang dengan mutu pembantu yang sesuai dengan harga yang memang kita tetapkan sekitar $550 itu." tambahnya.

GAJI LEBIH TINGGI DI HONG KONG, TAIWAN

Encik Didit juga membuat perbandingan gaji pembantu rumah di Hong Kong dan Taiwan,"Di Hong Kong mereka sudah bisa menerima sekitar $700, manakala di Taiwan mereka menerima $800. Paling tinggi di Taiwan. Di Singapura belum seperti di Hong Kong mahupun di Taiwan."

Namun beliau menekankan bahawa sama ada para pembantu rumah di Singapura pada masa akan datang mungkin menerima gaji setinggi itu, hanya akan ditentukan oleh ibu pejabat mereka di Indonesia dan mereka setakat menuruti arahan.

Buat masa ini dianggarkan sekitar 120,000 pembantu rumah Indonesia yang bekerja di Singapura.

Apabila ditanya tentang maklum balas para pembantu Indonesia mengenai kerja mereka di Singapura, Encik Didit menganggap rata-rata mereka berpuas hati.

"Kami juga sangat senang di Singapura ini dengan hukum yang begitu jelas sehingga memudahkan kami bekerja dan membantu para pembantu yang mempunyai persoalan di sini. Dan mereka juga sekarang ini sudah banyak persatuan-persatuan yang boleh mereka rujuk, serta berbincang dengan teman-teman yang bekerja di Singapura tentang bagaimana cara melayan majikan."

"Mereka boleh berkomunikasi kerana terdapat ramai pembantu Indonesia di Singapura," tegas beliau.

Beliau yang berusia 48 tahun itu menambah,"Dengan undang-undang di Singapura yang begitu jelas, mudah untuk para pembantu mendapat bantuan. Misalnya kalau terjadi kemalangan mereka tahu untuk melaporkannya kepada pihak polis atau langsung mengadu kepada majikan. Saya fikir majikan di Singapura begitu bekerjasama sejauh ini."

Kenaikan gaji yang berkuatkuasa Januari tahun depan itu diputuskan secara bersama oleh Badan Nasional Penempatan dan Perlindungan Tenaga Kerja Indonesia, Kedutaan Besar Republik Indonesia dan Kementerian Tenaga Kerja Indonesia.

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan