Skip to main content

Iklan

Iklan

BERITA EKSTRA: 2 jiran Cina buka pintu mereka kepada jiran Melayu untuk dijadikan rumah terbuka Hari Raya

Orang Cina membuka pintu mereka untuk membolehkan orang Melayu menganjurkan rumah terbuka Hari Raya dengan lebih sempurna.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Orang Cina membuka pintu mereka untuk membolehkan orang Melayu menganjurkan rumah terbuka Hari Raya dengan lebih sempurna.

Itulah yang dilakukan tiga orang jiran Cina untuk seorang jiran Melayu. Mereka mengorbankan privasi, masa dan tenaga untuk orang Melayu ini.

Orang Melayu yang kami maksudkan ialah Menteri Negara Pertahanan merangkap Pembangunan Negara, iaitu Dr Mohd Maliki Osman, yang tinggal di Sennet Estate.

Beliau mengadakan rumah terbuka Hari Raya baru-baru ini dan kru BERITAMediaCorp mendapati, rumah terbuka Dr Maliki menjalar dua kali ganda lebih panjang daripada halaman rumahnya sendiri.

Ia meliputi rumah dua orang jiran bukan Muslim. Malah khemah-khemah yang lengkap dengan kerusi meja juga didirikan di rumah jiran-jiran tersebut.

Rumah sebuah lagi jiran yang bertentangan dengan rumah Dr Maliki pula, digunakan sebagai ‘stesen’ menyiapkan makanan dan sebagainya.

MENTERI BRUNEI SAKSIKAN ‘SEMANGAT KAMPUNG’ SINGAPURA

Dr Maliki sempat menceritakan keunikan rumah terbukanya itu kepada Menteri Dalam Negeri Brunei, Pehin Badaruddin Othman, yang turut berkunjung ke rumah beliau itu minggu lalu.

Kesemuanya, Anggota Parlimen GRC East Coast itu menerima kunjungan dari seramai 800 orang tetamu semasa rumah terbuka beliau itu.

Contoh ini seolah-olah membuktikan bahawa semangat kejiranan dan semangat kampung masih lagi mendarah daging di kalangan warga Singapura yang hidup di hutan konkrit.

Dr Maliki memberitahu BERITAMediaCorp, sebenarnya ada lagi jiran beliau bersedia untuk membuka pintunya jika beliau perlukan. Dr Maliki berkata, beliau berasa bangga dengan semangat ukhuwah yang ditunjukkan jiran-jiran beliau itu.

Menurut Dr Maliki lagi, jiran-jirannya itu bukan setakat ‘membuka ruang’, malah mereka juga “rewang pada malam sebelumnya untuk menyiapkan rumah terbuka itu, dengan menyusun meja, kerusi dan hiasan.”

Bukan itu sahaja, “mereka juga membantu menjadi hos bagi saya,” ujar Dr Maliki lagi.

Dr Maliki berkata, ini bagaimanapun bukanlah satu tradisi sehala. Sebaliknya beliau membalas budi baik jiran-jirannya itu apabila muncul Tahun Baru Cina. Beliau juga membuka rumahnya kepada jiran-jirannya untuk menjadi ‘ruang tambahan’ kepada rumah terbuka Tahun Baru Cina. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan