Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tempoh pajakan Madrasah Wak Tanjong dilanjutkan 30 tahun lagi

Madrasah Wak Tanjong akan melanjutkan tempoh pajakan bagi premisnya di Sims Avenue selama 30 tahun lagi, menerusi pakej bantuan menyeluruh yang dihulurkan oleh Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Madrasah Wak Tanjong akan melanjutkan tempoh pajakan bagi premisnya di Sims Avenue selama 30 tahun lagi, menerusi pakej bantuan menyeluruh yang dihulurkan oleh Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).

Demikian diumumkan oleh Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam Dr Yaacob Ibrahim di Parlimen hari ini (8 Mac).

Selain itu, MUIS akan memperuntukkan dana tambahan untuk memperkukuh kurikulum dan pembangunan karyawan madrasah itu.

Sebelum ini, menurut pemerhati pasaran hartanah, Madrasah Wak Tanjong dikatakan perlu mengumpul lebih S$12 juta dalam tempoh kurang dua tahun jika ia mahu memperbaharui tempoh pajakan sekarang yang akan berakhir pada Jun 2018.

Lantaran itu, untuk meringankan beban Madrasah Wak Tanjong dalam usahanya mengumpul dana, MUIS bertemu dengan pihak pengurusan madrasah dan menawarkan pakej bantuan menyeluruh.

Tahun ini, Madrasah Wak Tanjong yang ditubuhkan pada 1958 akan menyambut ulang tahunnya yang ke-60, kata Dr Yaacob.

Sejarah madrasah itu menunjukkan para pelajarnya menonjolkan prestasi cemerlang dalam pengajian agama serta memainkan peranan kepimpinan agama dalam masyarakat, kata Dr Yaacob, sambil merujuk kepada Ustazah Hilwani Binte Mohammad Halim.

"Hilwani membanggakan Allahyarham bapanya dengan mengajar syariah dan bahasa Arab di Madrasah Wak Tanjong," kongsi Dr Yaacob, merujuk kepada anak perempuan Allahyarham Ustaz Mohammad Abdul Halim, mantan mudir Madrasah Wak Tanjong.

Ustazah Hilwani memiliki ijazah dalam bidang Syariah dari Universiti Jordan dan menurut Dr Yaacob, beliau mahu mempertingkat dirinya sebagai seorang pendidik.

"Hilwani sekarang sedang mengikuti program diploma spesialis dan Pembelajan dan Pendidikan Amali di Politeknik Republik di bawah tajaan MUIS dan akan menamatkan pengajiannya pada bulan Ogos tahun ini," tambah Dr Yaacob.

Madrasah Wak Tanjong kini mempunyai lebih 400 pelajar di peringkat sekolah rendah, menengah dan prauniversiti. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan