Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pekerja pembersihan tidak hilang kerja jika anda pulangkan dulang sendiri

Menggalakkan orang ramai memulangkan dulang di pusat-pusat penjaja tidak akan menyebabkan pekerja pembersihan hilangan pekerjaan mereka.

Anggaran Waktu Membaca:
Pekerja pembersihan tidak hilang kerja jika anda pulangkan dulang sendiri
Diterbitkan : 06 Mar 2018 09:47PM Dikemas Kini : 06 Mar 2018 09:49PM

SINGAPURA: Menggalakkan orang ramai memulangkan dulang di pusat-pusat penjaja tidak akan menyebabkan pekerja pembersihan hilangan pekerjaan mereka.

Menteri Negara Kanan Sekitaran dan Sumber Air Amy Khor berkata demikian di Parlimen hari ini (6 Mac).

"Pekerja pembersihan tidak akan hilang mata pencarian mereka, hanya kerana kita menjadi lebih bertimbang rasa dan memulangkan dulang," kata beliau semasa membahaskan peruntukan Belanjawan Negara bagi kementeriannya.

"Kerja-kerja pembersihan bukanlah tugas mudah yang menarik ramai orang, lebih-lebih lagi penduduk tempatan."

Pemerintah sudah membiayai inisiatif seperti sistem pemulangan dulang automatik (ATRS) dan khidmat cuci pinggan pusat. Sistem-sistem itu disediakan di pusat-pusat penjaja yang sedang menjalani kerja naik taraf dan akan dilaksanakan secara berperingkat di sehingga 25 pusat penjaja sedia ada sepanjang beberapa tahun akan datang.

"Syarikat-syarikat pembersihan tidak dapat menggajikan tukang bersih yang mencukupi manakala pekerja pembersihan sedia ada berdepan kesulitan menjalankan tugas membersihkan pinggan mangkuk dan meja, khususnya pada waktu sibuk," kata Dr Khor.

"Dengan memulangkan dulang, kami membolehkan mereka untuk menumpukan perhatian kepada tugas membersihkan meja, mempertingkat daya penghasilan serta mutu kerja mereka."

Untuk menggalak lebih ramai orang memulangkan dulang mereka, stesen-stesen dulang di pusat-pusat penjaja yang dinaik taraf diletakkan di tempat-tempat yang mudah diakses," tambah Dr Khor. Beliau juga berkata stesen-stesen tersebut akan disuntik wajah baru untuk mewujudkan "pengalaman memulangkan dulang lebih menyenangkan".

Di sebahagian pusat penjaja, poster-poster yang dilekatkan pada meja makan dan juga mesej yang tertera pada apron tukang bersih digunakan untuk menggalak lebih ramai orang memulangkan dulang.

Hasilnya "memberangsangkan", kata Dr Khor, sambil menambah kadar pemulangan dulang di Pusat Makanan Zion Riverside naik sekitar 20 peratus. Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) akan memulakan inisiatif serupa di lebih banyak pusat penjaja pada tahun ini, tambah beliau.

Selain itu, ATRS dengan sistem deposit sudah dirintis di dua pusat penjaja di Marsiling dan Bukit Merah untuk menggalak para pelanggan memulangkan dulang.

"Kami berharap pada jangka panjang sistem sedemikian tidak lagi diperlukan, setelah perbuatan memulangkan dulang menjadi satu tabiat," ujar Dr Khor.

NEA juga bekerjasama dengan tiga sekolah rendah dan menengah di Tampines untuk merintis program memulangkan dulang di kantin masing-masing.

Yang paling penting, kata Dr Khor tabiat memulangkan dulang akan memudahkan tugas pekerja pembersihan dan membolehkan mereka menumpukan perhatian kepada kerja membersihkan meja. Meja-meja yang cepat dibersihkan akan menguntungkan para pelanggan juga, kata beliau lagi.

"Mengalihkan sisa makanan dari meja dapat menangani masalah gangguan burung dan mewujudkan sekitaran yang lebih bersih," tambah beliau.

"Memulangkan dulang dengan pinggan mangkuk yang sudah digunakan selepas makan menunjukkan sifat bertimbang rasa kepada pelanggan lain." 

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan