Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Amrin: 3 strategi dilaksana demi bantu masyarakat Melayu perangi kencing manis

Setiausaha Parlimen Kementerian Kesihatan (MOH) Amrin Amin berkongsi tiga strategi bagi membantu masyarakat minoriti Singapura termasuk masyarakat Melayu/Islam menangani dan memerangi penyakit kencing manis.

Anggaran Waktu Membaca:
Amrin: 3 strategi dilaksana demi bantu masyarakat Melayu perangi kencing manis

Gambar fail Setiausaha Parlimen Kanan Ehwal Dalam Negeri, Amrin Amin.

SINGAPURA: Setiausaha Parlimen Kementerian Kesihatan (MOH) Amrin Amin berkongsi tiga strategi bagi membantu masyarakat minoriti Singapura termasuk masyarakat Melayu/Islam menangani dan memerangi penyakit kencing manis.

Beliau berkata demikian semasa membahaskan Jawatankuasa Peruntukan bagi kementeriannya pada Rabu (7 Mac).

LANGKAH PERTAMA: KE ARAH PEMAKANAN SIHAT

Strategi yang pertama adalah 'Ke Arah Pemakanan Sihat'.

Menurut Encik Amrin, MOH mengorak langkah kerjasama dengan pihak-pihak penyedia makanan untuk secara perlahan-lahan mengubah cara pemakanan kita di peringkat masyarakat.

Salah satu contoh kerjasamanya adalah dengan Persekutuan Kulinari Halal Singapura (SHCF), dan katerer majlis-majlis perkahwinan seperti Eternally Yours dan Jamil Catering. Usaha itu dilakukan supaya mereka dapat menyediakan pilihan makanan halal yang lebih sihat.

"Jadi menerusi langkah ini, diharapkan masyarakat akan dapat secara bertahap-tahap mesra kepada makanan sihat tetapi masih sedap rasanya," kata Encik Amrin.

LANGKAH KEDUA: KE ARAH MASJID-MASJID PENGGERAK KESIHATAN

Kedua, menurut beliau, adalah 'Ke Arah Masjid-masjid Penggerak Kesihatan'.

"Menjaga kesihatan dituntut oleh agama. Kami sedang bekerjasama dengan MUIS dan hasilnya tercetuslah program Jaga Kesihatan, Jaga Ummah (JKJU) di mana HPB bekerjasama dengan masjid-masjid menganjurkan kegiatan gaya hidup sihat.

"Dan hasilnya juga 15 buah masjid kini menyertai inisiatif kesihatan ini. Kami berharap inisiatif ini akan berkembang dan menjangkau 20 masjid menjelang akhir tahun ini," kata Encik Amrin.

Masjid-masjid tersebut, kongsi beliau, menyediakan perkhidmatan-perkhidmatan bagi membantu para pesakit kencing manis mengawal keadaan mereka serta menjalani pemeriksaan kesihatan dan melaksanakan aktiviti fizikal.

Encik Amrin juga menyuarakan rasa gembira bahawa pihaknya melihat lebih banyak masjid menyertai inisiatif seumpama itu:

"Contohnya, Masjid Al-Mawaddah menghantar kakitangan kantin mereka untuk latihan memasak anjuran HPB agar hidangan yang lebih sihat boleh disajikan di masjid. Harapan kami, makanan sihat dan tetap sedap menjadi santapan di semua masjid sama ada sempena majlis keramaian, berbuka puasa, sambutan Hari Raya dan sebagainya. Masjid harus menjadi penggerak kesihatan ummah."

LANGKAH KETIGA: KE ARAH MASYARAKAT CINTAKAN SENAMAN

Strategi ketiga adalah 'Ke Arah Masyarakat Cintakan Senaman'.

Encik Amrin berkata lebih banyak ruang dan peluang ditambah bagi masyarakat Melayu melakukan pelbagai kegiatan senaman atau fizikal.

Malah, beliau turut melancarkan inisiatif “Get Fit For Umrah” (Sihat Untuk Umrah), yang mengajak para jemaah membina kesihatan sebelum mengerjakan umrah. Usaha tersebut turut dilakukan dengan sokongan syarikat TM Fouzy Travel and Tours tahun lalu.

Program itu juga akan diperluaskan bagi membolehkan lebih ramai jemaah umrah dan haji meraih manfaat.

Encik Amrin turut berkata Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) akan bekerjasama dengan Persatuan Agensi Pelancongan Muslim Singapura (AMTAS) bagi menyertakan lebih banyak agensi-agensi Muslim supaya saling menggerakkan inisiatif itu.

Usaha tersebut juga dilakukan supaya, selain terkenal sebagai jemaah yang penuh disiplin di Makkah dan Madinah, jemaah Singapura juga dikenali sebagai jemaah yang 'sihat-sihat dan cergas belaka', katanya.

"Saya gembira dengan sokongan masyarakat yang kuat. Mereka yang turut serta di empat sesi perbincangan kesihatan ‘Awak Ok’ di Geylang, Jurong, Tampines dan Woodlands; yang turut bersenam bersama, contohnya di sesi zumba di Tampines Hub; dan yang turut menyingsing lengan – para doktor, jururawat dan rakan dari Persatuan Karyawan Jagaan Kesihatan Islam (MHPA). Ayuh kita sama-sama berusaha membina masyarakat yang cergas, sihat dan afiat!" ujarnya.

IKTIBAR DARIPADA KISAH ALIAS KADIR

Sehubungan itu, Encik Amrin turut merujuk kepada pelawak terkenal Alias Kadir, yang terpaksa menjalani pembedahan memotong bahagian bawah sebelah kakinya kerana penyakit kencing manis. Beliau menceritakan pelawak tersebut tidak mendapatkan rawatan kencing manis pada usia 40-an dan kemudian mengalami komplikasi.

"Beliau (Alias) juga mahu kita semua mengambil iktibar daripada pengalamannya. Bahawa sesungguhnya kita harus beringat sebelum terkena.

"Dan jika sudah terkena, janganlah meremehkan pentingnya pengambilan ubat dan menjaga makan minum. Serta jangan tidak endah rawatan susulan dengan doktor untuk mengawal penyakit kencing manis," kongsi Encik Amrin. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan