Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

350 prasekolah tawar pengajaran bahasa Melayu, Tamil menjelang 2022; 1,000 guru bahasa ibunda diperlukan

Lebih banyak pusat prasekolah akan menawarkan pengajaran bahasa ibunda bermutu termasuk Bahasa Melayu, dalam masa lima tahun akan datang.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Lebih banyak pusat prasekolah akan menawarkan pengajaran bahasa ibunda bermutu termasuk Bahasa Melayu, dalam masa lima tahun akan datang.

Demikian didedahkan Setiausaha Parlimen Kanan Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim di Parlimen hari ini.

Demi menyokong usaha itu, pelaburan dalam sektor awal kanak-kanak akan digandakan juga dalam masa lima tahun akan datang.

Dr Faishal Ibrahim menambah perkara ini akan memberi setiap kanak-kanak permulaan yang baik untuk berjaya dalam hidup dan menyokong keluarga-keluarga muda dalam membesarkan anak mereka.

DEDAHKAN BAHASA IBUNDA KEPADA ANAK-ANAK PADA USIA MUDA

Dr Faishal mengumumkan bahawa pengajaran bahasa ibunda di peringkat prasekolah akan diperluaskan dalam masa lima tahun akan datang.

Ini bermakna lebih banyak tadika Kementerian Pendidikan (MOE) akan menawarkan pembelajaran ketiga-tiga bahasa ibunda - Melayu, Cina dan Tamil.

Jumlah prasekolah kendalian lima Pengendali Utama (AOP) yang menawarkan pelajaran bahasa Melayu atau Tamil juga akan digandakan kepada 350 buah pusat pada tahun 2022.

Ini pertambahan hampir seganda daripada jumlah yang ada buat masa ini.

"Langkah ini akan memberikan lebih banyak pendedahan kepada anak-anak kita dalam bahasa ibunda dan juga budaya dan kesusasteraan kerana dengan adanya pendedahan ini, mereka dapat membangun sebagai seorang Melayu, faham apakah bahasa Melayu, dapat menggunakannya dengan lebih awal dan mempelajari dengan keseronokan aspek-aspek bahasa, budaya dan kesusasteraan Melayu," ujar Dr Faishal.

GURU BAHASA IBUNDA DIPERLUKAN

Bagi menyokong usaha ini, lebih 1,000 guru bahasa ibunda diperlukan pada tahun 2020.

MSF menyatakan pemerintah menyokong lebih ramai penduduk Singapura untuk menjadi guru bahasa ibunda - antaranya dengan menaikkan sekitar 15 peratus gaji median guru prasekolah.

Lebih daripada itu, Agensi Pembangunan Awal Kanak-kanak (ECDA) akan bekerjasama dengan Institut Nasional Pembangunan Awal Kanak-Kanak (NIEC) yang baru, serta rakan kerja lain.

Ini untuk mempertingkatkan latihan bagi guru bahasa ibunda supaya dapat menyampaikan program bahasa ibunda di peringkat prasekolah dengan bermutu.

Dr Faishal turut berkata: "Saya mahukan guru bahasa Melayu prasekolah ini, mereka melihat peluang dan pekerjaan ini sebagai satu tanggungjawab di mana apabila kita mendidik anak-anak kita dalam bahasa ibunda pada peringkat prasekolah, ini adalah peluang untuk membangunkan masyarakat bukan saja yang mahir dalam bahasa Melayu tetapi mempunyai jati diri Melayu di Singapura."

Selanjutnya, Dr Faishal menekankan bahawa pembelajaran bahasa ibunda adalah tanggungjawab masyarakat secara menyeluruh.

Dengan usaha sama semua pihak, ia dapat mengukuhkan rasa cinta terhadap budaya dan warisan bangsa selain menyediakan wadah pembelajaran yang autentik.

Menurutnya, perkara ini dapat memberi manfaat kepada generasi muda pada masa akan datang langsung membolehkan mereka meneroka peluang di serantau.

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan