Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MOH: Khidmat jagaan demensia akan diperluas

Khidmat jagaan penyakit nyanyuk (demensia) akan diperluaskan, sedang pemerintah menumpukan usaha kepada kesihatan mental masyarakat bagi penyakit itu, kata Menteri Negara Kanan Kesihatan Amy Khor di Parlimen hari ini (13 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:
MOH: Khidmat jagaan demensia akan diperluas

Warga tua di Apex Harmony Lodge sedang membungkus paket tisu dan sudu garpu dalam beg. (Gambar: Don Wong / TODAY)

Diterbitkan : 13 Apr 2016 03:49PM Dikemas Kini : 13 Apr 2016 03:50PM

SINGAPURA: Khidmat jagaan penyakit nyanyuk (demensia) akan diperluaskan, sedang pemerintah menumpukan usaha kepada kesihatan mental masyarakat bagi penyakit itu, kata Menteri Negara Kanan Kesihatan Amy Khor di Parlimen hari ini (13 Apr).

Menyusuli pelaksanaan usaha itu, Singapura akan menyediakan 3,000 tempat bagi jagaan siang hari bagi pesakit demensia, 1,970 katil bagi pesakit demensia dan 160 penjaga warga tua menjelang 2020.

"Dengan penduduk yang menua dan kadar demensia sekitar 10 peratus di kalangan warga tua yang berusia 60 tahun dan ke atas, kita boleh menjangkakan jumlah itu akan terus meningkat," kata Dr Khor, sambil menambah bahawa fokus usaha masyarakat adalah terhadap demensia.

Menurut Dr Khor, Kementerian Kesihatan (MOH) akan terus mempertingkat sokongan berteraskan masyarakat bagi mereka yang mengalami demensia dan penjaga mereka. Sebagai contoh, tiga pasukan akan menyokong para penjaga dalam menguruskan tingkah laku anggota keluarga yang mencabar akibat demensia dan sejauh ini pasukan-pasukan itu berjaya mendampingi 200 pesakit dan penjaga mereka.

Pasukan Sokongan Sumber dan Pelibatan Masyarakat (CREST) juga berjaya mendampingi lebih 39,000 warga tua berisiko mengalami demensia di merata negara.

SINGAPURA YANG MESRA DEMENSIA

Dr Khor juga memberikan perkembangan terkini di Parlimen mengenai usaha MOH untuk mengukuhkan kesihatan mental masyarakat, dengan Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB), Agensi bagi Jagaan Bersepadu (AGC) dan Institut Kesihatan Mental (IMH) meraih "kemajuan yang mantap" bagi inisiatif-inisiatif yang diperkenalkan untuk para pesakit dan penjaga mereka.

Beliau juga memberi jaminan bahawa MOH mengambil pendekatan yang lebih berstruktur bagi kesihatan mental.

"Pesakit yang memerlukan rawatan boleh memanfaatkan subsidi pemerintah yang serupa bagi rawatan perubatan lain. Batas tuntutan MediShield Hayat dan Medisave bagi rawatan psikiatrik juga lebih rendah dan secara keseluruhan bilnya juga rendah," kata Dr Khor, sambil merujuk kepada kos rawatan psikiatrik sebanyak $60 selepas mendapat subsidi berbanding $350 bagi rawatan bukan psikiatrik.

Beliau menambah: "Jika kedua-duanya diambil kira, batas MediShield Hayat dan Medisave adalah mencukupi untuk menampung tujuh daripada 10 bil rawatan psikiatrik yang bersubsidi. Bantuan Medifund juga disediakan bagi mereka yang tidak mampu melunaskan kos rawatan. Semua pesakit juga boleh menggunakan Medisave bagi masalah psikiatrik di bawah Program Pengurusan Penyakit Kronik dan warga tua boleh memanfaatkan Flexi-Medisave."

Menggulung ucapannya di Parlimen, Dr Khor menggesa seluruh rakyat Singapura supaya memainkan peranan dalam menyokong warga tua yang mengalami demensia dan penjaga mereka.

"Bulan lalu, saya melancarkan Masyarakat Mesra Demensia di Hong Kah North selepas masyarakat yang pertama seumpama itu dilancarkan di Chong Pang. Kami bekerjasama dengan divisyen-divisyen lain seperti MacPherson, Queenstown dan Bedok untuk melancarkan inisiatif tersebut," kata beliau lagi.

"Di bawah inisiatif ini, kami akan membangunkan rangkaian Rakan Demensia yang dilatih untuk mengenal pasti dan membantu mereka yang mengalami demensia."

"Kami akan merintis satu sistem bagi membantu warga tua yang sesat jalan dan mempertingkat usaha bagi meningkatkan lagi kesedaran orang ramai terhadap demensia menerusi buku panduan demensia AIC. Kami berharap ini akan menggalak masyarakat untuk sama-sama mewujudkan Singapura yang mesra demensia."

Sumber : CNA/ag
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan