Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Keluarga Melayu sambut baik faedah dari Belanjawan 2016, bagi legakan keperluan mereka

FOKUS kali ini, wartawan Emillia Amin meninjau kesan Belanjawan ke atas keluarga dan masyarakat.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Keluarga dengan anak kecil dan bergaji rendah serta warga emas.

Mereka antara golongan yang diberi peruntukan sosial dalam Belanjawan tahun ini.

Namun terdapat juga kumpulan yang mungkin tidak meraih manfaat sepenuhnya.

Dalam FOKUS kali ini, wartawan Emillia Amin meninjau kesan Belanjawan ke atas keluarga dan masyarakat.

Untuk membina sebuah masyarakat penyayang dan berdaya tahan, Skim Ihsan Senja adalah langkah utama untuk membantu warga tua yang kurang kemampuan menerima lebih banyak sokongan persaraan.

Ini, sedang pemerintah menyokong keluarga-keluarga menerusi Geran Langkah Pertama, KidSTART dan Program Perumahan Permulaan Baru Memiliki Rumah.

Lebih banyak juga sokongan diberikan kepada pekerja bergaji rendah dan orang-orang kurang upaya.

Manakala beberapa inisiatif akan diperkenalkan untuk meningkatkan usaha-usaha Tanggungjawab Sosial Korporat.

Akhir sekali, sokongan tambahan akan diberikan kepada keluarga-keluarga untuk membantu rakyat menangani iklim ekonomi sekarang.

Seperti Cik Junaina Subir yang hilang pekerjaannya sebagai seorang pentadbir persidangan, apabila kontraknya tamat bulan lalu.

Setelah bercerai pada 2013, beliau tinggal di rumah sewa ini bersama ibu dan empat anaknya.

Dalam Belanjawan kali ini, Cik Junaina layak mendapat baucar GST serta rebat yuran perkhidmatan dan penyenggeraan.

Beliau kini sedang berusaha meningkatkan kemahiran dan mencari pekerjaan tetap dengan bantuan dari badan Melayu/Islam AMP.

"Faedah-faedah ini mungkin membantu sedikit bagi keluarga saya dan juga perbelanjaan tiap-tiap bulan kerana perbelanjaan tiap-tiap bulan untuk bil-bil rumah seperti yang diumumkan pernah meningkat seperti bil-bil air dan yuran perkhidmatan dan penyenggaraan," jelas Junaina.

"Keluarga-keluarga yang kami bantu, iaitu keluarga-keluarga seperti Puan Junaina, iaitu keluarga berpendapatan rendah dan juga seorang penyara keluarga, antaranya boleh menggunakan skim WIS (Tambahan Pendapatan Daya Kerja) yang ditingkatkan. Skim ini memberikan mereka wang WIS secara bulanan dan ini sedikit sebanyak dapat membantu keluarga-keluarga tersebut dari segi perbelanjaan harian mereka," ujar Suhaila Sapuan, Pegawai Eksekutif Khidmat Keluarga AMP.

Satu lagi skim yang boleh dimanfaatkan Cik Junaina ialah inisiatif Suai Maju yang memberi insentif kepada syarikat untuk menggajikan mereka yang telah hilang pekerjaan.

Ia sebahagian daripada perluasan inisiatif SkillsFuture untuk menajamkan kemahiran pekerja.

Namun bagi Cik Junaina kredit yang ditawarkan pemerintah tidak mencukupi.

Di masa hadapan, mungkin SkillsFuture yang diberi kredit $500 itu harus dinaikkan lagi, untuk memberi peluang kepada pemohon berdasarkan kes-kes tertentu, yang memerlukan subsidi untuk kursus yang diikuti.

Sementara itu, untuk memastikan warga emas seperti ibu Cik Junaina dapat terus hidup aktif, satu program perintis - Rangkaian Masyarakat Untuk Warga Emas, dilancarkan.

Ia membolehkan kumpulan-kumpulan sokongan warga emas, memanfaatkan rangkaian bantuan pemerintah yang sedia ada.

Ini termasuk pasukan petugas sepenuh masa, yang akan mengkaji keperluan sosial warga tua.

Satu lagi golongan yang diberi tumpuan ialah pasangan dengan anak kecil, menerusi Geran Langkah Pertama Akaun Pembangunan Anak, CDA bagi kelahiran selepas 24 Mac.

Ini bermakna, bayi Encik Muhd Sya'ban Mohd Ali yang berumur empat bulan, tidak akan menerima geran tersebut.

Namun Encik Sya'ban tidak hampa kerana percaya ia boleh membantu sekiranya dia dan isteri mempunyai anak lagi di masa depan.

"Itu memberi masa untuk ibu bapa membuat perancangan dari segi simpanan atau belanjawan mereka untuk mengendalikan kos-kos kelahiran kerana keluarga boleh menentukan bajet.

"Sebagai contoh untuk anak saya ini, penyimpanan darah tali pusat, walaupun ia bukan satu kemestian, tetapi dari segi perubatan ia telah terbukti yang ia salah satu insurans sekiranya anak kami akan mengalami penyakit genetik, cord blood banking itu boleh menolong," jelas Encik Sya'ban.

Langkah-langkah sosial ini bertujuan menjadikan Singapura sebuah tempat yang baik untuk membina keluarga dan menjaga golongan yang memerlukan.

Namun seperti yang ditekankan Timbalan Perdana Menteri Tharman Shanmugaratnam semalam, Belanjawan perlu terus berubah-ubah sambil memperkukuh apa yang dilaksanakan.  

Sumber : BERITA Mediacorp/ag
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan