Belanjawan 2016

Images
  • browsing internet file
    Seorang lelaki sedang menggunakan komputer di Singapura. (Gambar: AFP/Roslan Rahman)

Dr Yaacob: Usaha dipertingkat bagi basmi fahaman radikal online

SINGAPURA: Usaha akan dipertingkat untuk membanteras fahaman radikal online, khususnya bagi golongan muda.

Ini diumumkan oleh Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Dr Yaacob Ibrahim di Parlimen hari ini (14 Apr).

Menurut Dr Yaacob, kurikulum aLIVE (Program Pembelajaran Nilai-Nilai Islam Setiap Hari) dan ADIL (Pembelajaran Islam Golongan Dewasa) juga akan merangkumi pengajaran yang membantu golongan belia menangkis ideologi radikal di wadah-wadah online dan pemerintah akan terus mendampingi ibu bapa secara aktif mengenai keselamatan siber agar mereka juga lebih mengetahui dan prihatin tentang penggunaan internet oleh anak-anak mereka.

"Dengan berbuat demikian, anak-anak kita dapat dilindungi dari ajaran-ajaran songsang dan fahaman radikal," tegas Dr Yaacob.

Pejabat Mufti dan Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) juga akan saling bekerjasama untuk menghasilkan dan menerbitkan bahan-bahan cetakan dan online bagi memberi panduan dalam membasmi fahaman pelampau, tambah Dr Yaacob.

Dr Yaacob turut menyentuh tentang bagaimana MUIS buat julung-julung kalinya akan menganjurkan Persidangan Fatwa Dalam Masyarakat Kontemporari pada lewat tahun ini, yang akan menghimpunkan para pemimpin masyarakat dan asatizah.

"Persidangan ini akan membincangkan proses pengeluaran fatwa yang mengambil kira konteks Singapura," kata Dr Yaacob.

"Kami berharap persidangan ini juga akan dijadikan sebagai satu wadah perbincangan dan penyebaran pemikiran progresif lebih-lebih lagi bagi masyarakat minoriti Islam yang hidup dalam masyarakat berbilang bangsa dan agama".

LEBIH BANYAK PERINCIAN MENGENAI UNIT FUTURE READY MENDAKI

Dr Yaacob juga mendedahkan lebih banyak butiran mengenai Unit Future Ready Mendaki dan beliau menggariskan tiga teras utama: "Pertama, dengan memanfaatkan usaha pelibatan SGfuture pemerintah, Mendaki akan mendampingi masyarakat melalui satu siri perbincangan Future Ready dan pelibatan NextStop.

Meskipun siri perbincangan Future Ready akan membantu Mendaki untuk memahami dengan lebih mendalam tentang harapan dan aspirasi masyarakat, sasaran NextStop adalah lebih khusus, tambah Dr Yaacob.

Kedua, Unit itu akan melancarkan satu inisiatif baru yang diberi nama Future Ready Mentoring yang akan diperkenalkan kepada para pelajar sekolah menengah dan Institut Pendidikan Teknikal (ITE) untuk memberikan nasihat mengenai pilihan pendidikan mereka.

"Sesetengah pelajar kami mungkin tidak begitu maklum tentang peluang-peluang yang disediakan atau mereka mungkin kurang yakin untuk memburu aspirasi mereka," kata Dr Yaacob.

Ketiga, para pelajar dewasa dan pekerja akan berpeluang untuk memahami lebih mendalam tentang SkillsFuture menerusi Mendaki SENSE, yang akan menawarkan pelbagai program baru bagi mempertingkatkan kemahiran dan mempersiapkan pekerja Melayu bagi pekerjaan dalam sektor-sektor yang menjadi tumpuan sekarang.

Inisiatif-inisiatif bagi mengukuhkan sokongan kepada kanak-kanak, khususnya dari keluarga berisiko, akan dipertingkat.

Menurut Dr Yaacob, Mendaki akan bekerjasama dengan Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak untuk menyokong golongan itu menerusi KidSTART.

Mendaki juga akan melengkapi para ibu bapa dari keluarga berpendapatan rendah dengan kemahiran untuk membantu mereka memupuk minat suka membaca dalam diri anak-anak mereka sebagai persiapan sebelum bersekolah.

- CNA/ag

Top