Belanjawan 2016

Images
  • Fadli cyber security
    Fadli Sidek (kiri) amat berminat dalam bidang keselamatan siber sejak beliau berusia belasan tahun lagi. (Gambar: Ihsan Fadli Sidek)

Dr Yaacob gesa pelajar Melayu/Islam rebut peluang pekerjaan dalam sektor infokom, keselamatan siber

SINGAPURA: Semasa bercakap tentang keselamatan siber di Parlimen hari ini (11 Apr), Menteri Perhubungan dan Penerangan Dr Yaacob Ibrahim turut menyebut tentang Fadli bin Sidek 32 tahun yang beliau temui baru-baru ini.

Menurut Dr Yaacob, Encik Fadli amat berminat dalam bidang keselamatan siber sejak beliau berusia belasan tahun lagi.

Malah, kegagalan untuk mendapatkan tempat dalam kursus IT di politeknik tidak sekali-kali mematahkan semangatnya untuk terus memburu kerjaya dalam bidang keselamatan siber.

Encik Fadli kemudian mengikuti kursus IT dan keselamatan infokom secara privet dan beliau bekerja siang dan malam untuk menimba pengalaman dan melunaskan pinjaman bagi persekolahannya.

Atas kerja kerasnya itu, Encik Fadli berjaya memperolehi ijazah dalam bidang forensik siber, pengurusan keselamatan maklumat dan sistem maklumat perniagaan.

Beliau kini bertugas sebagai Penganalisis Utama Risikan di sebuah syarikat risikan ancaman siber.

Menulis di laman Facebooknya hari ini, Dr Yaacob berkata beliau amat bangga dengan kejayaan dan pencapaian Encik Fadli.


Menurut Dr Yaacob lagi, MCI ingin membantu lebih ramai rakyat Singapura seperti Encik Fadli untuk merebut peluang pekerjaan dalam sektor infokom.

Tahun ini, MCI akan memperkenalkan lebih banyak program untuk membangunkan lagi keupayaan tenaga kerja infokom.

Bantuan akan dihulurkan tanpa mengira sama ada mereka adalah pelajar, lulusan baru atau mereka yang ingin menukar kerjaya.

Pemerintah tetap akan membantu rakyat Singapura untuk terus maju dalam bidang ICT dan membangunkan teras Singapura yang lebih kukuh.

MCI, menurut Dr Yaacob lagi, akan meletakkan batu asas yang kukuh untuk membantu Singapura memenuhi visinya menjadi sebuah Negara Bijak.

- CNA/ag

Top