Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Belanjawan 2016: Lebih banyak sokongan bagi SME tangani kebimbangan jangka pendek

Untuk mengatasi kelemahan pada ekonomi Singapura, Belanjawan 2016 akan menampilkan pelbagai inisiatif untuk menyokong syarikat-syarikat perusahaan, khususnya yang kecil dan sederhana (SME).

Anggaran Waktu Membaca:
Belanjawan 2016: Lebih banyak sokongan bagi SME tangani kebimbangan jangka pendek

Gambar fail kilang penghasilan di Singapura. (Gambar: AFP/Roslan Rahman)

Diterbitkan : 24 Mar 2016 08:56PM Dikemas Kini : 24 Mar 2016 09:00PM

SINGAPURA: Untuk mengatasi kelemahan pada ekonomi Singapura, Belanjawan 2016 akan menampilkan pelbagai inisiatif untuk menyokong syarikat-syarikat perusahaan, khususnya yang kecil dan sederhana (SME).

Demikian diumumkan oleh Menteri Kewangan Heng Swee Keat semasa menyampaikan Kenyataan Belanjawan 2016 di Parlimen hari ini (24 Mac).

Pertama, rebat Cukai Pendapatan Korporat akan dinaikkan dari 30 peratus daripada cukai yang mesti dibayar kepada 50 peratus, dengan rebat dihadkan kepada $20,000 setiap tahun bagi Tahun Taksiran 2016 dan 2017.

Rebat lebih tinggi, yang disasarkan kepada syarikat-syarikat SME, dijangka memerlukan pemerintah membelanjakan lagi $180 juta dalam masa dua tahun akan datang.

Dengan ini, sokongan yang dihulurkan secara keseluruhannya kepada syarikat-syarikat di bawah rebat Cukai Pendapatan Korporat adalah hampir $1 bilion sepanjang tempoh dua tahun itu.

Skim Kredit Pekerjaan Khas (SEC) yang memberikan subsidi kepada para pekerja lanjut usia yang membawa pulang sehingga $4,000 sebulan, dijangka berakhir pada 31 Disember ini. Skim itu akan dilanjutkan sehingga 2019.

Skim tersebut bagaimanapun hanya akan diperuntukkan untuk pekerja yang berusia 55 tahun ke atas dan bukan lagi 50 tahun ke atas.

Subsidi juga dikurangkan bagi pekerja yang berusia bawah 65 tahun.

Para majikan yang menggajikan pekerja berusia 55 hingga 59 tahun akan mendapat 3 peratus daripada gaji bulanan pekerja ini, sementara mereka yang menggajikan pekerja berusia antara 60 dengan 64 tahun akan mendapat 5 peratus.

Majikan yang menggajikan pekerja berusia 65 tahun dan ke atas akan mendapat 8 peratus, tidak berubah dari subsidi yang diberikan sekarang, yang akan dinaikkan kepada 11 peratus sehingga usia pengambilan semula pekerja dinaikkan.

Bagi syarikat-syarikat SME yang berdepan dengan isu aliran tunai, Skim Pinjaman Modal Kerja SME akan diperkenalkan bagi pinjaman sehingga $300,000 bagi setiap syarikat. Di bawah skim itu, pemerintah akan mengongsi 50 peratus daripada risiko gagal melunaskan pinjaman dengan institusi-institusi kewangan yang turut menyertai skim tersebut.

Skim itu akan disediakan bagi tempoh selama tiga tahun dan dijangka akan memangkinkan pinjaman melebihi $2 bilion sepanjang tempoh tersebut.

SOKONGAN LEBIH FOKUS BAGI SEKTOR-SEKTOR

Bagi sektor marin dan proses yang berdepan dengan suasana perniagaan yang mencabar dan mengalami pengurangan pada jumlah pemegang permit kerja, kenaikan levi bagi pemegang permit kerja akan ditangguh setahun lagi.

Kenaikan levi hanya tertumpu kepada para pemegang permit kerja dalam sektor perkhidmatan dan binaan, serta pemegang Pas S bagi setiap sektor, seperti yang diumumkan dalam Belanjawan tahun lalu.

Tenaga kerja dalam sektor-sektor itu terus meningkat sejak setahun lalu, kata Encik Heng.

Dalam pada itu, kedai-kedai kejiranan akan mendapat lebih banyak sokongan di bawah Pakej Pencergasan Semula Kedai yang akan dipertingkat bagi menyokong lebih banyak kegiatan promosi dan projek naik taraf di pusat-pusat bandar dan kejiranan-kejiranan HDB.

SPRING juga akan bekerjasama dengan Persekutuan Persatuan Peniaga dan persatuan-persatuan yang seangkatan dengannya untuk meningkatkan keupayaan mereka dalam menyokong perusahaan sedemikian.

Inisiatif itu dijangka akan menelan belanja sekitar $15 juta setiap tahun.

Sumber : CNA/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan