Skip to main content

Iklan

Iklan

Belanjawan 2017: Pemerintah umumkan lebih banyak sokongan untuk keluarga rakyat S'pura

Pemerintah akan menyediakan lebih banyak sokongan kepada keluarga-keluarga rakyat Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 20 Feb 2017 05:34PM Dikemas Kini : 20 Feb 2017 10:35PM

SINGAPURA: Pemerintah akan menyediakan lebih banyak sokongan kepada keluarga-keluarga rakyat Singapura dalam bentuk bantuan perumahan, pendidikan prasekolah dan pos-menengah, kata Menteri Kewangan Heng Swee Keat pada Isnin (20 Feb).

Semasa menyampaikan kenyataan Belanjawan 2017 di Parlimen hari ini, Encik Heng turut menggariskan tiga peningkatan yang menurut beliau akan menjadikan Singapura sebagai sebuah kediaman yang amat baik untuk rakyat negara ini.

GERAN PERUMAHAN CPF DINAIKKAN

Pemerintah akan menawarkan lebih banyak subsidi bagi pasangan-pasangan yang membeli flat pertama mereka daripada pasaran jualan semula dengan meningkatkan Geran Perumahan CPF.

Buat masa ini, pasangan pembeli kali pertama mendapat S$30,000 apabila mereka membeli flat jualan semula.

Berkuat kuasa serta mereka, jumlah itu akan dinaikkan kepada S$50,000 bagi pasangan yang membeli flat jualan semula - 4 bilik dan yang lebih kecil, dan S$40,000 bagi pasangan yang membeli flat jualan semula - 5 bilik atau lebih besar.

"Bersama dengan Geran Perumahan CPF Tambahan dan Geran Perumahan Berhampiran, pasangan suami isteri boleh menerima geran perumahan sehingga S$110,000 apabila membeli flat jualan semula, bergantung kepada lokasi flat, jenis flat dan pendapatan mereka," kata beliau.

"Pembeli kali pertama lain yang layak juga akan meraih manfaat daripada peningkatan geran itu."

Menurut Encik Heng, Pemerintah akan membelanjakan tambahan S$110 juta setiap tahun.

Lebih banyak langkah bagi membantu keluarga muda mendapatkan rumah pertama mereka akan diumumkan oleh Menteri Pembangunan Negara di perbahasan Jawatankuasa Peruntukan (COS).

LEBIH BANYAK TEMPAT BAGI PUSAT JAGAAN BAYI

Encik Heng turut mengumumkan lebih banyak sokongan kepada keluarga dengan anak-anak kecil atau bayi yang berusia bawah 18 bulan.

Buat masa ini, sekitar 4,000 atau 8 peratus bayi dan kanak-kanak kecil didaftarkan di pusat jagaan bayi.

Bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat, Pemerintah akan meningkatkan keupayaan pusat-pusat sedemikian dengan menawarkan lebih 8,000 tempat menjelang tahun 2020.

Ini adalah sebahagian daripada peningkatan kepada akses prasekolah. Menurut Encik Heng, sepanjang lebih lima tahun yang lalu, jumlah tempat yang disediakan di pusat jagaan kanak-kanak sudah dinaikkan lebih 40 peratus kepada sekitar 140,000.

Kini terdapat tempat yang mencukupi bagi lebih separuh kanak-kanak yang berusia antara 18 bulan dan 6 tahun dan mereka akan menerima subsidi Pemerintah.

Lebih banyak perincian akan dibentangkan oleh Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga di perbahasan Jawatankuasa Peruntukan (COS).

DERMASISWA PELAJAR POS-MENENGAH DINAIKKAN

Pemerintah juga akan menaikkan jumlah dermasiswa tahunan bagi mereka yang menuntut di institusi-institusi pendidikan pos-menengah.

Bagi para mahasiswa, jumlah itu akan dinaikkan kepada S$400, sementara para pelajar peringkat diploma akan menerima sehingga S$350.

Para pelajar di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) akan menerima sehingga S$200. Encik Heng menambah dermasiswa yang ada sekarang bagi para pelajar ITE sudahpun menampung lebih daripada yuran kursus mereka.

Kriteria kelayakan pendapatan bagi mendapatkan dermasiswa sedemikian juga akan disemak semula bagi memperluaskannya kepada lebih banyak keluarga, menurut Encik Heng, sambil menambah bahawa lagi sekitar 12,000 pelajar Singapura dijangka memanfaatkannya. Ini akan membawa jumlah penerima kepada 71,000.

Secara keseluruhannya, dermasiswa bagi para pelajar yang menuntut di institusi-institusi pos-menengah akan meningkat dari sekitar S$100 juta kepada S$150 juta setiap tahun, tambah Encik Heng.

Lebih banyak perincian akan diumumkan apabila Jawatankuasa Peruntukan membahaskan belanjawan Kementerian Pendidikan. 

Sumber : CNA/aw
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan