Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Belanjawan 2017: Harga air akan naik 30% sepanjang 2 tahun

Harga air akan meningkat sebanyak 30 peratus dalam dua fasa sepanjang dua tahun mendatang, mulai 1 Julai tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 20 Feb 2017 05:22PM Dikemas Kini : 21 Feb 2017 12:02AM

SINGAPURA: Harga air akan meningkat sebanyak 30 peratus dalam dua fasa sepanjang dua tahun mendatang, mulai 1 Julai tahun ini.

Ini merupakan kali pertama dalam hampir 20 tahun Pemerintah menyemak harga air. Menteri Kewangan Heng Swee Keat mengumumkan demikian ketika membentangkan Belanjawan hari ini (20 Feb), hampir dua minggu selepas Menteri Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli menyatakan Pemerintah berniat berbuat demikian.

Dalam ucapannya, Encik Heng berkata harga air perlu mencerminkan kos lebih tinggi berkaitan membekalkan air. Beliau berkata kos menghasilkan air sudah meningkat dengan Pemerintah membina lebih banyak loji penyulingan air dan loji AirBaru, serta memasang paip-paip lebih dalam di tengah-tengah sekitaran bandar.

Kos-kos seperti itu, kata Encik Heng, adalah pelaburan yang diperlukan. "Kecukupan air adalah hal penakatan negara. Air yang diimport dan takungan air sekarang ini memenuhi lebih setengah permintaan air kami, namun kedua-dua sumber bergantung kuat kepada keadaan cuaca," katanya.

Awal tahun ini, terdapat kebimbangan bahawa bekalan air Singapura dari Sungai Johor akan terjejas dengan ketara sekiranya 2017 merupakan tahun yang kering. Kolam Air Linggiu, faktor penting bagi Singapura mampu mendapatkan air daripada Sungai Johor, menyaksikan antara tahap air paling rendah dalam sejarah pada 2016.

Encik Heng berkata peningkatan pada harga air akan dilaksanakan menerusi penyusunan semula Yuran Peralatan Kebersihan (SAF) dan Yuran Bawaan Air (WBF) kepada satu sahaja yuran berdasarkan jumlah air.

Agensi air negara PUB menyatakan kedua-dua yuran itu sekarang ini adalah bagi memenuhi kos merawat air terpakai dan mengekalkan rangkaian air terpakai. Sistem yuran baru itu mencerminkan dengan lebih baik jumlah air terpakai yang digunakan, katanya.

PENINGKATAN PADA YURAN BAWAAN AIR, TARIF AIR DAN CUKAI PEMULIHARAAN AIR

PUB menyatakan yuran WBF akan meningkat kepada 92 sen bagi setiap kubik meter untuk keluarga yang menggunakan 40 kubik meter air atau kurang setiap bulan, mulai Julai 2018.

Tahap kedua bayaran itu akan diperkenalkan pada kadar S$1.18 bagi setiap kubik meter untuk keluarga yang menggunakan lebih 40 kubik meter air. PUB menyatakan ini untuk mengelakkan para keluarga daripada menggunakan terlalu banyak air.

Tarif air yang boleh diminum dan cukai pemuliharaan air juga akan disesuaikan. Contohnya, tarif untuk keluarga yang menggunakan lebih daripada 40 kubik meter air sebulan akan dinaikkan kepada S$1.52 mulai Julai 2018, meningkat daripada S$1.40 sekarang ini.

Cukai pemuliharaan air, yang berdasarkan tarif air, akan naik 65 peratus dari Julai 2018, naik dari 45 peratus sekarang ini, bagi keluarga yang menggunakan lebih 40 kubik meter air sebulan.

Perubahan-perubahan di atas akan menyebabkan harga air naik sebanyak 30 peratus, menurut PUB.

Encik Heng, bagaimanapun berkata, bagi 75 peratus keluarga, peningkatan pada bil air bulanan akan mencecah kurang S$18 mulai Julai 2018.

Bagi tiga suku perniagaan, peningkatannya akan mencecah kurang S$25 sebulan. Selain itu, Encik Heng berkata Pemerintah akan memperkenalkan langkah-langkah untuk membantu keluarga bergaji lebih rendah dan bergaji pertengahan mengimbangi kenaikan harga itu.

Ini termasuk peningkatan pada baucar GST-rebat Utilities-Save (U-Save) untuk mengimbangi bil api air; Baucar GST-Bayaran Khas Tunai sekali sahaja sehingga S$200 bagi penerima yang layak; lanjutan rebat untuk yuran perkhidmatan dan penyenggaraan (S&CC) dan rebat cukai pendapatan peribadi sebanyak 20 peratus, dihadkan pada S$500.

HARGA AIR UNTUK SEKTOR BUKAN DOMESTIK

Harga air untuk sektor bukan domestik, yang membentuk 55 peratus keseluruhan permintaan, juga akan disemak.

Mulai Julai 2018, PUB menyatakan tarif air bagi pengguna sedemikian yang menggunakan air yang boleh diminum akan naik kepada S$1.21 bagi setiap kubik meter, daripada S$1.17 sekarang ini.

Cukai pemuliharaan air akan naik kepada 50 peratus tarif air, daripada 30 peratus sekarang ini.

PUB menyatakan penyesuaian-penyesuaian itu akan dijalankan melalui fasa demi fasa sepanjang dua tahun ini.

Encik Heng berkata cukai pemuliharaan terhadap penggunaan AirBaru oleh sektor itu, juga akan diperkenalkan.

Ia akan mencecah 10 peratus daripada tarif AirBaru yang dinaikkan, mulai Julai tahun ini. 

Sumber : CNA/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan