Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

5 isu yang mungkin jadi tumpuan dalam Belanjawan 2017

Apabila Menteri Kewangan Heng Swee Keat membentangkan Belanjawan 2017 pada 20 Februari ini, langkah-langkah perubahan jangka lebih panjang untuk menyokong usaha-usaha penyusunan semula Singapura kemungkinan akan terus menjadi keutamaan.

Anggaran Waktu Membaca:
5 isu yang mungkin jadi tumpuan dalam Belanjawan 2017

Latar langit Singapura. (Gambar fail: AFP/Simin Wang)

Diterbitkan : 17 Feb 2017 05:49PM Dikemas Kini : 20 Feb 2017 11:43AM

SINGAPURA: Apabila Menteri Kewangan Heng Swee Keat membentangkan Belanjawan 2017 pada 20 Februari ini, langkah-langkah perubahan jangka lebih panjang untuk menyokong usaha-usaha penyusunan semula Singapura kemungkinan akan terus menjadi keutamaan.

Meskipun pertumbuhan ekonomi kian lembap dan kadar penggangguran kian meningkat di tengah-tengah ketidaktentuan global, tidak banyak huraian jangka pendek akan dilaksanakan, kata para ahli ekonomi kepada Mediacorp.

"Belanjawan kali ini tidak akan berupa 'suntikan morfin', tidak kira keadaan ekonomi sekarang ini, tetapi ia akan menjadi 'suplemen vitamin' jangka panjang yang amat tertumpu untuk memastikan Singapura maju," kata ahli ekonomi kanan Mizuho Bank, Vishnu Varathan.

Memandangkan ada agenda tambahan tahun ini untuk memberikan perincian tentang laporan Jawatankuasa Ekonomi Masa Hadapan (CFE), apakah "suplemen-suplemen vitamin" yang akan diberikan dan apa lagi yang boleh dijangkakan rakyat Singapura daripada Belanjawan 2017?

1. BERHEMAT DAN FIKIRKAN MASA HADAPAN

Pertama sekali, Belanjawan, yang mengambil kira hasil mahsul dan perbelanjaan Pemerintah, akan kekal sebagai Belanjawan yang berhemat, meskipun para ahli ekonomi menjangkakan ia akan mempunyai lebihan belanjawan pada tahun kewangan berakhir 31 Mac.

Ini sebahagian besarnya kerana Pemerintah baru memasuki tahun kedua penggal terbarunya dan mahu berjimat untuk bersiap sedia bagi masa tidak menentu, kata ahli ekonomi Credit Suisse, Michael Wan.

Pemikiran seperti itu, iaitu bersiap sedia bagi masa hadapan jangka sederhana hingga jangka panjang adalah penting kerana fokus yang keterlaluan terhadap risiko-risiko sekarang ini seperti Brexit, bermungkinan tidak produktif, kata Encik Varathan.

Encik Liang Eng Hwa, pengerusi Jawatankuasa Parlimen Pemerintah (GPC) bagi Kewangan dan Perdagangan, berkata: "Belanjawan tahun ini akan mempunyai tugas penting tambahan melaksanakan saranan-saranan CFE. Justeru, fokusnya ialah lebih kepada jangka sederhana hingga jangka panjang. Saya menjangkakan Belanjawan akan terus dengan pendirian berhematnya memandangkan ketidaktentuan pada masa hadapan - ia adalah cara paling mampan untuk membina daya ketahanan.

2. NAMUN MUNGKIN ADA BEBERAPA LANGKAH KITARAN BALAS

Bagaimanapun, seperti Belanjawan tahun lalu, mungkin akan ada beberapa inisiatif untuk jangka pendek bagi membantu perniagaan, keluarga dan individu menangani gelombang cabaran ekonomi.

Contohnya, pakar ekonomi Citi, Kit Wei Zheng menjangkakan, semua kenaikan levi pekerja asing bagi sektor-sektor berisiko seperti kejuruteraan marin dan lepas pantai, akan dihentikan dahulu. Pemerintah juga mungkin membantu untuk mengurangkan atau membiayai kos-kos bukan buruh, seperti api air dan sewa, untuk "mengelak sebarang kehilangan daya saing", tambahnya dalam satu laporan bertarikh 10 Februari.

Di tengah-tengah pasaran buruh yang lebih lemah di mana pemberhentian kerja kian meningkat sepanjang tahun lepas, bantuan juga akan diberikan kepada pekerja yang diberhentikan.

Selain peluang-peluang mempertingkatkan kemahiran, bantuan yang diberikan mungkin dari segi tempoh lebih lama untuk membayar cukai dan rebat cukai pendapatan peribadi sekali sahaja, kata Encik Kit.

3. BELANJAWAN 'MESRA PERNIAGAAN?'

Pembangunan perusahaan kemungkinan akan mendapat perhatian di Belanjawan akan datang. Selaras dengan saranan-saranan CFE, Belanjawan "mesra perniagaan" dijangka menyediakan inisiatif-inisiatif untuk membantu syarikat-syarikat lebih memanfaatkan teknologi dan membolehkan inovasi, kata pakar ekonomi DBS, Irvin Seah.

Sekurang-kurangnya dua inisiatif yang diumumkan tahun lalu mungkin kembali mendapat tumpuan dalam Belanjawan tahun ini. Antaranya, mungkin lebih banyak perincian akan didedahkan tentang rancangan untuk baki 17 industri di bawah Peta Transformasi Industri (ITM). Sepanjang tahun lepas, peta hala tuju pembangunan untuk enam daripada 23 industri yang disasarkan di bawah program S$4.5 bilion itu sudah diumumkan.

Encik Seah juga menjangkakan versi dipertingkatkan bagi Pakej Sokongan Automasi - dana lebih S$400 juta bagi membantu syarikat-syarikat berautomasi dan mempertingkatkan daya penghasilan - akan disediakan, yang bermaksud geran lebih besar mungkin diberikan Pemerintah.

4. MEMBANTU TENAGA KERJA PERTINGKAT DIRI

Inisiatif lain yang mungkin akan disediakan adalah langkah-langkah untuk membantu rakyat Singapura meraih kemahiran lebih mendalam agar terus relevan dalam pasaran buruh yang pantas berubah dengan gangguan teknologi.

Di tengah-tengah ketidakserasian kian meningkat antara pekerjaan dan kemahiran dalam ekonomi tempatan, ketua kajian khazanah dan strategi OCBC, Selena Ling, berkata lebih banyak boleh dilakukan selain skim-skim sedia ada seperti Program Penukaran Profesional (PCP), Suai Maju dan Program Sokongan Kerjaya (CSP).

Contohnya, nilai kredit sedia ada S$500 di bawah skim SkillsFuture, mungkin akan dinaikkan untuk menggalak rakyat Singapura mengamalkan gaya hidup pembelajaran sepanjang hayat, kata Encik Wan dari Credit Suisse.

Untuk memudahkan para pekerja yang mempunyai pekerjaan tambahan atau menjalani latihan, para majikan boleh menerima rebat cukai atau subsidi apabila mereka menghantar kakitangan mereka menjalani latihan, tambahnya.

5. IMBANGI PERBELANJAAN SOSIAL

Dengan ekonomi kini menjadi fokus dan pelbagai langkah seperti Skim Ihsan Senja sudahpun dijalankan, para pemerhati berkata Belanjawan akan datang tidak berkemungkinan menaikkan perbelanjaan sosial mahupun mengumumkan sebarang dasar sosial yang baru.

Encik Liang menarik perhatian bahawa Pemerintah sedang berusaha mengimbangi antara meraih hasil yang mencukupi untuk memenuhi peningkatan pada perbelanjaan sosial, dengan kos infrastruktur sejak beberapa tahun lalu.

"Sedang ekonomi menjadi lebih lembap, adakah ini bermakna hasil cukai akan dikurangkan? Kami tidak boleh menjangkakan sumbangan Pulangan Bersih Pelaburan (NIR) akan terus stabil kerana pasaran-pasaran global juga ada naik turunnya yang menjejas pulangan keseluruhan. Jadi kadar pertumbuhan dalam hasil dan perbelanjaan itu adalah sesuatu yang perlu kami pantau dengan rapat," jelasnya.

"Kami mahu mengeluarkan perbelanjaan pada perkara yang betul dan berhemat."

Pemerintah sudah menyatakan lebih banyak sokongan akan diberikan kepada warga tua, keluarga muda dan orang kurang upaya dalam Belanjawan kali ini.

Encik Seah dari DBS berkata para keluarga boleh menjangkakan bantuan bagi kos pendidikan kanak-kanak, tokokan pada pelbagai skim bantuan awam seperti Dana Comcare, dan rebat pada bil api air dan perkhidmatan dan penyenggaraan. 

Sumber : CNA/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan