Skip to main content

Iklan

Iklan

EKSKLUSIF! 5 Soalan Bersama… Puteri Johor, Tunku Tun Aminah

Bertuah kami mendapat wawancara eksklusif bersama seorang Puteri. Kaitannya dengan Singapura begitu rapat. Puteri Sultan Johor, Yang Amat Mulia Tunku Tun Aminah Binti Sultan Ibrahim pernah menuntut di Singapura sebelum ini. 

Anggaran Waktu Membaca:
EKSKLUSIF! 5 Soalan Bersama… Puteri Johor, Tunku Tun Aminah

Puteri Sultan Johor, Yang Amat Mulia Tunku Tun Aminah Binti Sultan Ibrahim. (Gambar-gambar: The Royal Press Office)

Diterbitkan : 19 Jun 2018 08:26PM Dikemas Kini : 19 Jun 2018 11:43PM

BERITAMediacorp: Bertuah kami mendapat wawancara eksklusif bersama seorang Puteri. Kaitannya dengan Singapura begitu rapat. Puteri Sultan Johor, Yang Amat Mulia Tunku Tun Aminah Binti Sultan Ibrahim pernah menuntut di Singapura sebelum ini. Lebih tepat lagi di Kolej La Salle.

Maka itu, Singapura seakan menjadi rumah kedua bagi beliau, yang sekitar 10 bulan lalu mendirikan rumah tangga dengan Encik Dennis Muhammad Abdullah. Dennis sendiri mempunyai kaitan dengan Singapura kerana pernah menjadi Pengurus Pemasaran Tampines Rovers FC.

(Gambar-gambar: The Royal Press Office)

Tunku Tun Aminah merupakan puteri tunggal bagi Sultan Ibrahim dan Permaisuri Raja Zarith Sofiah. Memandangkan Tunku Aminah pernah menuntut di Singapura sebelum ini, sudah tentu puteri Diraja Johor yang manis dan peramah ini mempunyai pilihan beliau sendiri apabila bersantai di sini serta membeli-belah.

Satu kemestian beliau ialah untuk mencari tempat-tempat yang menyajikan pasta enak “tomato based” atau salad.

Pusat membeli-belah Takashimaya di Orchard Road pula adalah destinasi pilihan Tunku Tun Aminah. Mungkin juga anda akan berpeluang terserempak dengannya sewaktu beliau berbelanja di butik Zara ataupun sewaktu beliau mencari lilin di Takashimaya untuk dibawa pulang.

(Gambar-gambar: The Royal Press Office)

Siapa sangka Puteri Sultan Johor ini sangat simple orangnya apabila sempat berbuka di sini semasa bulan Ramadan. Teh ais lemon adalah kemestian untuknya sewaktu berbuka di Singapura. Beliau gemar yang ringan sahaja untuk berbuka seperti dim sum atau makanan Jepun. Tetapi kekadang beliau suka makanan India juga.

Sekiranya beliau pulang ke Johor, Tunku Tun Aminah tidak lupa untuk membawa pulang “crab cake dengan lebih sos dari Hotel Hyatt dan nasi ayam ChatterBox”.

“Lebih penting lagi ialah kopi. Saya agak cerewet bab kopi. Saya gemar kopi yang berkualiti,” katanya baru-baru ini kepada BERITAMediacorp. Kami sempat mendekati secara eksklusif Tunku Puteri Johor kesayangan rakyat Johor ini untuk mengenali beliau dengan lebih dekat lagi.

(Gambar-gambar: The Royal Press Office)

SOALAN 1

BERITAMediacorp: Dari pandangan YAM Tunku Tun Aminah, apakah keistimewaan makanan serta minuman di Singapura jika dibandingkan dengan Johor?

TUNKU TUN AMINAH: Terus-terang, tiada yang dapat menandingi masakan tempatan Johor tetapi apa yang Singapura ada adalah restoran-restoran fine dining dan makanan Jepun yang lazat. Terdapat beberapa restoran makanan Jepun yang bagus di Singapura yang tidak terdapat di Johor.

(Gambar-gambar: The Royal Press Office)

SOALAN 2

BERITAMediacorp: Pernahkah Tunku Tun Aminah ke Singapura untuk berbuka atau bersahur? Di manakah selalunya dan mengapa?

TUNKU TUN AMINAH: Tidak pernah bersahur di Singapura sebab saya lebih gemar duduk di rumah sewaktu Ramadan. Tetapi sekali -sekala, saya akan berbuka dengan keluarga selalunya di Shangrila untuk buffet atau Mezza9 di Hotel Hyatt, Singapura.

(Gambar-gambar: The Royal Press Office)

SOALAN 3

BERITAMediacorp: Tunku Tun Aminah pernah menuntut di Kolej La Salle di Singapura. Sebagai seorang pelajar ketika itu, di manakah tempat yang paling kerap YAM suka 'chill'?

TUNKU TUN AMINAH: Sewaktu saya menuntut di Singapura, saya tidak banyak 'chill' di Singapura disebabkan saya begitu aktif menunggang kuda jadi saya sering bergegas pulang agar dapat menunggang kuda saya. Saya gemar duduk rumah bersama adik-beradik lelaki saya.

Tetapi setelah saya tamat pengajian saya, saya telah mula menikmati minuman kopi di Coffee Bean di Paragon. Sekarang ini saya lebih kerap menghabiskan masa di kawasan Robertson Quay. (Mengapa?) Agak mudah untuk meletak kereta di Paragon. Ia berdekatan dengan pusat membeli-belah.

Seronok dapat melihat pelbagai jenis kereta yang berlalu di situ. Mudah juga untuk pekerja-pekerja saya sebab ia dekat dengan masjid. Robertson Quay sememangnya destinasi favorit saya sekarang ini kerana terdapat pelbagai kafe untuk dipilih di sana.

(Gambar-gambar: The Royal Press Office)

SOALAN 4

BERITAMediacorp: Apakah kenangan paling indah Tunku Tun Aminah sewaktu bergelar penuntut di kolej La Salle, Singapura?

TUNKU TUN AMINAH: Kenangan yang tidak dapat saya lupakan ialah apabila tiada sesiapa yang tahu siapa saya sebenarnya dan terdapat "kebebasan". Saya tidak dijaga dan bebas untuk menjadi diri saya sendiri di mana saya masih berhubung dengan kawan-kawan sehingga hari ini.

Satu kenangan yang melucukan berlaku apabila kelas kami perlu ke Taman Bunga untuk membuat lakaran pelbagai jenis pokok. Kami tersesat sewaktu berjalan dan tiba-tiba pengawal peribadi saya muncul entah dari sudut mana dan menawarkan minuman kepada saya sambil menunjukkan arah jalan yang betul.

Dari situlah, mereka bertanya tetapi saya tidak berkata apa-apa kepada mereka. Saya memberitahu pengawal peribadi saya untuk berikan saya ruang. Tetapi sebelum saya meninggalkan kolej itu, sudahpun ada khabar angin mengenai saya. Kawan-kawan saya tidak membezakan saya jadi ia membuatkan saya rasa selesa.

(Gambar-gambar: The Royal Press Office)

SOALAN 5

BERITAMediacorp: Ramai juga kerabat DiRaja Malaysia gemar berbelanja di Singapura. Adakah Tunku Tun Aminah salah seorang dari mereka?

TUNKU TUN AMINAH: Singapura amat dekat dengan Johor. Saya membesar sewaktu zaman kecil lagi ke zoo dan Taman Burung di Singapura pada hujung minggu. Saya menuntut di Singapura sejak usia 12 tahun lagi jadi Singapura adalah rumah kedua saya.

Saya akui amat selesa membeli-belah di Singapura sebab tidak ramai yang mengenali saya dan saya bebas berjalan tanpa diperhatikan oleh orang lain. Singapura sudah semestinya syurga membeli saya. Dari saya kecil ke Toys R Us sehingga saya dewasa untuk membeli pakaian dan peralatan rumah. 

Sumber : BERITA Mediacorp/FH/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan