Skip to main content

Iklan

Iklan

5 Soalan Bersama... Zuraida Kamaruddin

Beliau kini seorang Menteri baru di Malaysia. Namun permulaannya sebenarnya bertitik-tolak dari Singapura. Inilah dia Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia, Zuraida Kamaruddin.

Anggaran Waktu Membaca:
5 Soalan Bersama... Zuraida Kamaruddin

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia, Zuraida Kamaruddin. (Gambar: Zuraida Kamaruddin/ Facebook)

BERITAMediacorp: Beliau kini seorang Menteri baru di Malaysia. Namun permulaannya sebenarnya bertitik-tolak dari Singapura. Inilah dia Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia, Zuraida Kamaruddin.

Cik Zuraida, yang pernah menjadi warga Singapura, mendapat pendidikan di negara ini termasuk dari sekolah rendah sehinggalah ke peringkat universiti. Beliau merupakan antara anggota pasukan pembahas dari Sekolah Perempuan Tanjong Katong (TKGS).

Dalam wawancara bersama BERITAmediacorp sebelum ini, Ketua Wanita Pakatan Harapan Malaysia itu juga berkongsi mahu membawa konsep perumahan sosial dan awam HDB ke negaranya. Kali ini, dalam segmen 5 Soalan Bersama...Zuraida Kamaruddin, wartawan Ira Musfirah mencungkil pula keperibadian dan pengalaman beliau membesar di Singapura.

(Gambar: Ihsan pihak Cik Zuraida Kamaruddin)

SOALAN 1

IRA: Anda seorang bekas penuntut di Sekolah Perempuan Tanjong Katong (TKGS). Ada sebarang kenangan yang masih diingati sehingga sekarang?

ZURAIDA: Waktu persekolahan adalah masa yang terbaik. (Kelmarin) saya bertemu dengan pelajar-pelajar TKGS, saya kata saya nakal juga, ponteng sekolah juga. (Tetapi) semua manis pada saya, sebab saya rasa seronok di sekolah. Ia tempat yang saya dapat banyak bergaul dengan kawan-kawan, boleh nakal-nakal ketika di sekolah itu. Tapi dalam kenakalan itu, kita juga tidak lupa pelajaran. Cikgu-cikgu di sekolah TKGS adalah sangat komited, dan mereka sangat mengambil berat tentang anak murid, dan mereka melihat anak murid melepasi kebolehan akademik. Jadi mereka cuba memupuk kami menjadi seorang pemimpin.

SOALAN 2

IRA: Anda juga seorang bekas pembahas di TKGS. Bagaimana pengalamannya?

ZURAIDA: Pasukan pembahas daripada TKGS, saya sendiri yang bentuk. Ketika itu, cikgu cakap, mari Zuraida, awak bentuk satu pasukan untuk bahas, jadi saya cari empat hingga enam speaker. TKGS adalah sekolah aliran Inggeris kan, tapi dalam bahas pertama yang kita ambil bahagian dalam Bahasa Melayu, kita menjadi juara! Yang lawan kita semua sekolah aliran bahasa Melayu.

SOALAN 3

IRA: Apa yang anda pelajari menerusi pengalaman membahas itu?

ZURAIDA: Saya belajar banyak juga dalam proses menjadi pembahas ini kerana saya dilatih daripada pelajar-pelajar Universiti Singapura ketika itu. Mereka mengajar saya untuk mengamalkan statistik, pergi ke jabatan-jabatan pemerintah untuk mendapatkan statistik. Ketika itu kami baru berusia 16 tahun, Menengah empat, jadi itu satu pendedahan bagi saya dan memudahkan saya dalam proses kemudian dalam hidup saya.

(Gambar: Ihsan pihak Cik Zuraida Kamaruddin)

SOALAN 4

IRA: Berapa sering anda ke Singapura? Ada tempat kegemaran di Singapura?

ZURAIDA: Saya tidak berapa sering, kerana saya datang dua kali setahun sebab saya ada alumni TKGS dan Jalan Eunos. Tetapi untuk kembalikan masa gemilang dahulu, saya tidak lakukan itu. Saya mahu maju. Kenapa saya pilih untuk menginap di Marina Mandarin (semasa lawatan ke Singapura) sebab saya boleh melihat bertentangannya, iaitu Padang. Di situlah saya bermain bola lisut dahulu.

SOALAN 5

IRA: Bagaimana pengalaman anda membesar di Singapura membentuk diri anda sebagai seorang pemimpin di Malaysia sekarang?

ZURAIDA: Saya adalah seorang yang praktikal. Waktu saya membesar di sini, ada perkara yang baik yang saya dapat sebagai asas saya dari segi pembelajaran saya, kehidupan saya dan sebagainya. Dasar-dasar apa yang saya belajar, apa-apa yang saya dapat di Singapura juga, saya bawa ke Malaysia, negeri baru yang saya tinggal, jadi ini yang saya cuba terapkan, nilai-nilai yang baik harus diangkat untuk diperbaikkan negara Malaysia.

Saya ingat disiplin saya dan juga sistem pendidikan, yang mana ketika itu menggabungkan pembelajaran dan riadah kesukanan, jadi di situ membina kekuatan saya sebagai seseorang yang positif dan juga seorang yang tidak mudah mengalah dan saya nak buat sesuatu, saya nak kena ada hasilnya. Jadi dengan itu baru kita boleh nilaikan pencapaian kita. Jadi ini yang paling penting, disiplin dan juga fokus. Anda harus fokus dan melihat apa hasil anda.

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan