Skip to main content

Iklan

Iklan

5 Soalan Bersama... Zainal Sapari

"Apa guna jumpa MP kalau rayuan ditolak?". Itulah antara sindiran yang pernah dilemparkan kepada Anggota Parlimen Zainal Sapari.

Anggaran Waktu Membaca:
5 Soalan Bersama... Zainal Sapari

(Gambar: Zainal Bin Sapari/ Facebook)

BERITAMediacorp: "Apa guna jumpa MP kalau rayuan ditolak?". Itulah antara sindiran yang pernah dilemparkan kepada Anggota Parlimen Zainal Sapari. Namun, itu tidak mematahkan semangat bapa enam orang anak ini untuk terus mencuba memahami masalah rakyat dan menjadi wakil mereka.

Dalam segmen 5 Soalan Bersama kali ini, AP GRC Pasir Ris-Punggol itu berkongsi dengan BERITAMediacorp sedikit sebanyak tentang dirinya sebagai seorang bapa dan juga seorang wakil rakyat.

Dibesarkan dalam keluarga sederhana, Encik Zainal seolah-olah tidak membayangkan dirinya memasuki dunia politik. Apa lagi beliau sebelum ini seorang introvert. Beliau seperti belia lain yang suka berseronok. Malah, beliau memberitahu BERITAMediacorp bahawa beliau gemar 'riding' dan dalam diam berharap dapat mengembara dengan menaiki motosikal satu hari nanti.

Ayuh ikuti 5 Soalan Bersama... Zainal Sapari ini di mana Penolong Setiausaha Agung NTUC itu menceritakan tentang keperibadiannya sebelum dan selepas beralih dari bidang pendidikan ke dunia politik.

SOALAN 1

AFIQAH: Anda seorang bapa kepada enam orang anak dan kita sedia maklum anda seorang ahli politik yang begitu sibuk sekali. Bagaimana anda pastikan anda meluangkan masa bersama mereka. Anda pula seorang bapa yang...

ZAINAL: Saya memang sibuk dengan tugas dan tanggungjawab saya. Tetapi saya akan pastikan saya meluangkan masa bersama keluarga dan anak-anak. Terutama sekali pada hari-hari istimewa mereka. Misalnya pada hari ulang tahun dan acara penyampaian ijazah.

(Gambar: Zainal Bin Sapari/ Facebook)

Encik Zainal bersama anak sulung dan isterinya. (Gambar-gambar: Zainal Bin Sapari/ Facebook)

Saya juga pastikan kami sekeluarga dapat bercuti bersama kerana saya rasa ia amat penting untuk mengeratkan lagi hubungan keluarga.

Hmm... saya seorang bapa yang suka berleter. Tapi saya juga suka berkongsi pengalaman hidup dan bergurau bersama anak-anak saya.

SOALAN 2

AFIQAH: Sudah menjadi asam garam seorang ahli politik dikutuk sesetengah pihak. Apakah anda pernah mengalami ini?

ZAINAL: Seringkali ramai yang datang untuk mendapatkan bantuan. Saya akan mencuba sedaya boleh untuk membantu mereka. Namun, kadang-kadang ada rayuan yang akan ditolak. Jika ini berlaku, mereka akan berjumpa atau menulis kepada saya untuk menyatakan kekecewaan mereka. Malah, ada yang sindir dan berkata 'apa guna jumpa MP (Anggota Parlimen) kalau rayuan ditolak'.

Kalau ini berlaku, saya tidak mampu berbuat apa-apa. Saya hanya berharap ada cara lain bagi mereka untuk menyelesaikan masalah. Masalah di mana rayuan akan ditolak bermacam-macam - dari berkaitan rumah sewa sehinggalah rayuan terhadap saman serta melanjutkan pelajaran.

Meskipun begitu, ada juga yang datang untuk berjumpa saya untuk mengucapkan terima kasih.

SOALAN 3

AFIQAH: Apakah perubahan pada diri anda apabila beralih masuk dari bidang pendidikan ke bidang politik?

ZAINAL: Secara peribadi, saya seorang introvert (tidak suka bergaul). Saya lebih senang bergaul dengan ahli keluarga, kawan-kawan rapat dan anak murid saya dahulu. Tetapi selepas saya terjun ke dalam bidang politik, saya terpaksa keluar dari my comfort zone (ruang selesa saya).

Saya perlu berinteraksi dengan anggota-anggota di kesatuan, para sukarelawan akar umbi, orang ramai dan juga para pemimpin masyarakat Melayu/Islam.

Meski sudah tujuh tahun berkecimpung dalam bidang politik, saya sebenarnya masih selesa dengan sifat introvert. Namun, demi melaksanakan tanggungjawab saya, saya perlu bersikap peramah.

SOALAN 4

AFIQAH: Apa pula perkara baru yang anda sedari hanya selepas memasuki bidang politik? Apa pula harapan anda bagi masyarakat Melayu?

ZAINAL: Kadangkala apa yang dirancangkan Pemerintah demi kebaikan orang ramai tidak berlaku. Misalnya, kita bertanggapan setiap pemilik rumah akan menyokong Program Peningkatan Lif (LUP). Kenyataannya tidak.

Ada yang rasa mereka masih muda dan tidak perlu kemudahan lif. Mereka juga tidak ingin bayar kos pembinaan lif dan sebagainya. Jadi saya kini menumpukan perhatian kepada kesan-kesan dasar pemerintah, walaupun semuanya sudah dirancangkan dengan teliti.

Ada satu perkara yang saya harapkan bagi masyarakat Melayu, iaitu saya inginkan mereka berusaha meluaskan rangkaian mereka di pelbagai peringkat. Saya ingin lihat lebih ramai aktif dalam kegiatan-kegiatan akar umbi dan memanfaatkan platform-platform sedia ada.

SOALAN 5

AFIQAH: Apakah kenangan paling manis Encik Zainal sejauh ini dalam kerjaya politik?

ZAINAL: Kenangan manis bagi saya adalah ketika saya berjaya membantu pekerja-pekerja bergaji rendah seperti dalam sektor pembersihan dan keselamatan. Yang lebih memuaskan lagi jika gaji mereka tidak hanya naik sekali tetapi setiap tahun! 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan