Skip to main content

Iklan

Iklan

5 Soalan Bersama… Wany Hasrita

Penyanyi baru Wany Hasrita amat beruntung sekali. Manakan tidak kerana pada awal kemunculan beliau sebagai seorang penyanyi yang mempertaruhkan single pertamanya berjudul Menahan Rindu pada penghujung tahun 2016, ia berjaya mencapai hampir 30 juta tontonan di YouTube.

Anggaran Waktu Membaca:
5 Soalan Bersama… Wany Hasrita

Gambar-gambar: FMC

Diterbitkan : 10 Apr 2018 09:42PM Dikemas Kini : 10 Apr 2018 09:54PM

BERITAMediacorp: Penyanyi baru Wany Hasrita amat beruntung sekali. Manakan tidak kerana pada awal kemunculan beliau sebagai seorang penyanyi yang mempertaruhkan single pertamanya berjudul Menahan Rindu pada penghujung tahun 2016, ia berjaya mencapai hampir 30 juta tontonan di YouTube.

Disusuli pula dengan single kedua Wany berjudul Rintihan Rindu yang mendapat lebih 9.4 juta tontonan. Apabila gadis manis yang berasal dari Cheras, Kuala Lumpur itu muncul pula dengan lagu terkininya yang berkonsepkan irama tradisional berjudul Ewah-Ewah ciptaan Pak Ngah, ia kini memperolehi sekitar 2.3 juta tontonan dalam masa kira-kira sebulan sahaja.

Berdasarkan kepada kayu ukur oleh pemerhati industri hiburan masa kini, pencapaian Wany Hasrita adalah sesuatu yang menakjubkan meskipun sebagai artis baru. Bahkan, beliau berjaya mengalahkan populariti lagu-lagu penyanyi-penyanyi yang jauh lebih berpengalaman dan popular yang belum tentu boleh memperolehi jumlah tontonan sedemikian apabila lagu-lagu mereka dimuat naik di YouTube. Secara tidak langsung, Wany Hasrita bukanlah seorang penyanyi ‘one hit wonder’ iaitu yang hanya popular menerusi sebuah single sahaja.

Ketika dihubungi BERITAMediacorp baru-baru ini, Wany Hasrita sempat berkongsi bahawa beliau bakal mengedarkan koleksi baju rayanya sendiri Wany Rindu by Wany Hasrita serta suplemen juga sebagai permulaan untuk menceburi bidang perniagaan.

Artis di bawah naungan syarikat rakaman FMC itu hanya menunggu masa sahaja untuk mengedarkan sebuah album mini dalam masa terdekat. BERITAMediacorp sempat ‘menguji’ gadis tinggi lampai itu dengan beberapa soalan tentang Khai Bahar, yang dikaitkan dengan beliau sejak akhir-akhir ini.

SOALAN 1

BERITAMediacorp: Mengapa Wany sering dikaitkan bercinta dengan penyanyi Khai Bahar?

WANY HASRITA: Saya rasa dah perlahan sikit sekarang, dulu panas juga sebab kita banyak show sama. Bila show sama dan buat Instastory yang belah sini ada muka orang ni, yang belah sana ada muka orang ini. Jadi orang ingat kita bercinta tapi sebenarnya tidak.

Berjumpa atas dasar kerja semata-mata sebab selalu show bersama dan tak lebih dari itu.
Saya anggap dia sebagai rakan artis lain yang sama-sama berjuang nak menempa nama dalam industri itu saja. (Apa hubungan Wany dengan Khai sebenarnya?) Tak lebih dari kawan biasa, bukan teman tapi mesra.

SOALAN 2

BERITAMediacorp: Apakah Wany rimas sering dikaitkan mempunyai hubungan cinta dengan Khai Bahar sejak dari tahun lalu lagi?

WANY HASRITA: Kadang-kadang tu saya rasa tak berapa manis untuk saya asyik dikaitkan gosip-gosip bercinta sebab saya perempuan dan saya bertudung. Kalau boleh saya nak elakkan tapi kita tahu mulut orang kita tak boleh nak tutup.Tugas wartawan adalah untuk cari cerita jadi kita tak boleh nak salahkan sesiapa.

Apa yang boleh saya buat hanyalah untuk kawal apa juga yang saya buat di Instagram.Saya kena kawal supaya tak selalu banyak dengan lelaki.

SOALAN 3

BERITAMediacorp: Dengan gosip sedemikian yang belum reda kini, adakah Wany mengelak untuk dilihat bersama Khai Bahar meskipun atas dasar kerja?

WANY HASRITA: Tidak sebenarnya. Ok saja, kalau berjumpa dengan dia saya akan buat macam biasa cuma kemesraan tu kawal sikitlah sebab orang tak tau kemesraan kita macam mana. Kita rapat macam seorang kawan tapi orang tak faham. Saya pun tak tahu nak jelaskan macam mana.

SOALAN 4

BERITAMediacorp: Apakah perasaan Wany apabila sesetengah pihak masih tetap mempersoalkan keupayaan Wany membawakan lagu secara ‘live’ kini hanya berdasarkan pada kegagalan Wany pada malam Juara Lagu?

WANY HASRITA: Saya hanya buat apa yang saya termampu dan apa yang saya berlatih. Saya rasa pada malam AJL tu saya dah buat seperti mana yang saya berlatih tetapi mungkin penyampaiannya lain, mungkin apa yang kalian terima lain. Saya tak salahkan kalian. Banyak benda boleh berlaku sewaktu persembahan. Kita hanya merancang. Apa yang keluar adalah takdir, kita boleh buat apa yang kita termampu saja.

Saya anggap tidak ada rezeki untuk orang lihat keupayaan saya masa Juara Lagu. Saya tak salahkan netizens sebab mereka tahu halwa telinga mereka. Saya akan teruskan dan perbaiki nyanyian saya sahaja.

SOALAN 5

BERITAMediacorp: Adakah Wany rasa netizens bersikap adil pada Wany sehingga masih merasakan Wany tidak mampu menyanyi secara ‘live’ dengan baik?

WANY HASRITA: Alamak. Takde sesiapa yang adil kecuali Tuhan. Mereka berhak menyuarakan pendapat mereka tetapi biarlah beradab dan tidak sampai mencerca dan memaki sebab saya pun ada hak saya iaitu saya ada hak ditegur tetapi tidaklah sampai dicaci dan dimaki. Mungkin tidak sampai ke akal mereka apabila mereka tapi benda ni adalah salah.

Mungkin mereka rasa benda itu betul. Saya tak boleh buat apa. Kalau mereka tidak ada adab kesopanan, saya tak boleh nak buat apa. 

Sumber : BERITA Mediacorp/FH/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan