Skip to main content

Iklan

Iklan

5 Soalan Bersama...Ustaz Zahid Zin@Kisah Tok Kadi

Nama Ustaz Muhammad Zahid Mohd Zin, 33 tahun, semakin melonjak naik sejak drama tempatan, Kisah Tok Kadi, disiarkan di saluran Suria pada bulan Februari lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
5 Soalan Bersama...Ustaz Zahid Zin@Kisah Tok Kadi

Naib Kadi, Ustaz Zahid Zin, yang juga CEO Muslim Youth Forum Singapore. (Gambar-gambar: Zahid Zin/Facebook)

BERITAMediacorp: Namanya sudah tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat Melayu/Muslim Singapura. Malah, nama Ustaz Muhammad Zahid Mohd Zin, 33 tahun, semakin melonjak naik sejak drama tempatan, Kisah Tok Kadi, disiarkan di saluran Suria pada bulan Februari lalu.

Drama yang memaparkan kisah hidup dan kerjaya seorang kadi di Singapura dan diinspirasikan oleh pengalaman sebenar Ustaz Zahid itu mendapat sambutan hangat sehingga dinobatkan sebagai Program Paling Popular pada malam Anugerah Pesta perdana 2017 (1 Apr).

Ustaz Zahid juga tidak ketinggalan memanfaatkan media sosial bagi mendampingi generasi muda dengan cara yang relevan dan santai. Keinginan beliau untuk berkongsi panduan dan pengalaman dengan pasangan muda mencetuskan idea untuk mewujudkan hashtag #diaritokkadi.

Dalam segmen '5 Soalan Bersama...' kali ini, wartawan Nurulkhasanah Agost mengajak anda mengenali pemikiran Ustaz Zahid, yang juga CEO Muslim Youth Forum Singapore, tentang soal munakahat ini.

SOALAN 1

Khasanah: Sudah berapa lama ustaz menjadi kadi dan berapa ramai pasangan mempelai ustaz nikahkan sejauh ini?

Ustaz Zahid: Sayalah naib kadi bujang terakhir yang dilantik pada April 2011 (Saya berkahwin pada bulan Disember 2012). Ini adalah kali ke tiga saya dilantik (Setiap penggal adalah selama tiga tahun). Alhamdulillah.

Sejak dilantik, jumlah pasangan yang saya nikahkan baru mencecah 1,000 lebih, nampak macam banyak tapi kecil sangat kalau nak dibandingkan dengan jumlah pengantin yang dinikahkan para kadi dan naib kadi yang mapan.

SOALAN 2

Khasanah: Mengapa Ustaz memilih untuk menjadi kadi dan apa kepuasannya bagi diri Ustaz?

Ustaz Zahid: Datuk ayah saya ialah seorang kadi. Namanya Kiayi Haji Abdul Halim Karto, dan anak serta menantunya juga seorang Kadi; Kiayi Haji Ahmad bin Hj Abdul Halim dan Kiayi Hj Ahmad Zohri Mutammim.

Kepuasannya bagi diri saya apabila saya dapat menjadi penyambung tugas mulia ini.

SOALAN 3

Khasanah: Apakah pengalaman paling manis yang pernah Ustaz lalui sepanjang menjadi Tok Kadi?

Ustaz Zahid: Pasangan pertama yang saya nikahkan merupakan salah seorang teman baik sendiri. Rasa terharu apabila diberikan tanggungjawab tersebut dan berterima kasih kerana mereka mempercayai saya.

SOALAN 4

Khasanah: Ustaz semakin dikenali selepas drama Kisah Tok Kadi yang mendapat inspirasi dari perjalanan kerjaya ustaz sebagai kadi. Apakah mesej yang Ustaz harap masyarakat dapat perolehi dari drama itu?

Ustaz Zahid: Mesej utama adalah supaya pasangan menjadi matang lebih-lebih lagi dalam isu pra-perkahwinan. Kebanyakkan huraian yang diketengahkan dalam drama tersebut menerapkan jalan keluar menerusi nilai murni dan akhlaq mulia.

SOALAN 5

Khasanah: Apakah nasihat penting yang sering Ustaz berikan kepada pasangan yang bakal berumahtangga dan mengapa?

Ustaz Zahid: Bersabar dan belajar. Bersabar kerana banyak perkara yang mencabar akan muncul dalam kehidupan rumahtangga. Belajar kerana dengan ilmu kita akan berjumpa dengan huraian masalah tersebut. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan