Skip to main content

Iklan

Iklan

5 Soalan Bersama... Tomok

Meskipun sudah tujuh tahun tampil sebagai penyanyi solo, tiada yang lebih sinonim dengan nama Tomok, kecuali kumpulan NewBoyz. Bermula sebagai vokalis utama kugiran tersebut, Tomok atau nama sebenarnya Shah Indrawan Ismail pernah menjadi kegilaan ramai gadis dek suaranya yang lunak.  

Anggaran Waktu Membaca:
5 Soalan Bersama... Tomok

(Gambar: Tomok Official/ Petikan skrin dari video Instagram)

BERITAMediacorp: Meskipun sudah tujuh tahun tampil sebagai penyanyi solo, tiada yang lebih sinonim dengan nama Tomok, kecuali kumpulan NewBoyz. Bermula sebagai vokalis utama kugiran tersebut, Tomok atau nama sebenarnya Shah Indrawan Ismail pernah menjadi kegilaan ramai gadis dek suaranya yang lunak.

Turut tampil dengan lagu-lagu solo seperti Berlari, Bagaikan Bidadari dan Cinta Tak Pergi, tidak dapat dinafikan bahawa lagu-lagu hit NewBoyz seperti Sejarah Mungkin Berulang, Meraung dan Marah Bukan Sifatku masih tetap ‘melekat’ di minda dan hati para penggemar.

Yang jelas, Tomok sudah semakin matang dari segi ciptaan lagu, penulisan lirik dan lontaran suara kini berbanding kemunculan pertamanya pada 1999 pada usia 15 tahun dahulu. Lebih menarik lagi, Tomok juga pernah mencatat sejarah dengan menjadi penyanyi pertama untuk bertanding dalam One In A Million, di mana beliau sekaligus membawa pulang hadiah kemenangan bernilai RM1 juta selepas berjaya menjuarai pertandingan nyanyian tersebut pada 2008.

Walaupun Tomok juga pernah berlakon dalam filem Istanbul Aku Datang bersama Lisa Surihani, buat masa ini beliau sedang giat memberikan bimbingan kepada anak-anak didiknya dalam pertandingan realiti Mentor yang sedang berlangsung sekarang.

Juga seorang ayah kepada dua anak lelaki, Arrian Shah Akid dan Andrashah Iman, Tomok kini lebih banyak meluangkan masa bersama anak-anaknya dan turut aktif mengongsi keletah anak-anaknya di laman sosial. Dalam segmen 5 SOALAN BERSAMA… minggu ini, wartawan Ira Musfirah menyelongkar sedikit sebanyak aspek santai penyanyi 32 tahun ini:

(Gambar: Tomok Official/ Instagram)

SOALAN 1

Ira: Cara terbaik untuk Tomok hilangkan tekanan?

Tomok: Bermain PS4 di rumah dan meluangkan masa dengan keluarga. Secara tidak langsung, saya dapat berhubung dengan rakan-rakan secara online dan dapat berehat di rumah dengan tenang. Saya juga sentiasa meluangkan masa bersama anak-anak jika tiada sebarang persembahan.

SOALAN 2

Ira: Falsafah hidup Tomok? Adakah Tomok juga galakkan anak-anak terlibat dalam industri nyanyian?

Tomok: Falsafah saya ringkas sahaja, untuk sentiasa melakukan perkara dengan bersungguh-sungguh dan jangan cepat berputus asa. Dan sebenarnya, saya tidak menggalakkan anak-anak untuk menceburi bidang seni, tetapi jika itu yang mereka suka dan minat, mereka tentu sekali harus belajar tentang muzik dengan lebih mendalam.

SOALAN 3

Ira: Filem kegemaran Tomok? Apa mesej penting yang dikupas dalam filem tersebut?

Tomok: The Last Samurai. Ia merupakan sebuah cerita tentang perjuangan. Malah mesej yang disampaikan adalah agar terus berjuang dalam apa yang harus kita lakukan walaupun terdapat banyak halangan di hadapan.

(Gambar: Tomok Official/ Instagram)

SOALAN 4

Ira: Sekiranya Tomok berpeluang mempromosikan sebarang produk, Tomok ingin menjadi duta apa?

Tomok: Duta produk rambut, sebab rambut dah kurang!

SOALAN 5

Ira: Detik paling tak dapat dilupakan sepanjang karier Tomok, dan kenapa?

Tomok: Ketika bersama Newboyz dan juga apabila lagu pertama kami itu, Sejarah Mungkin Berulang, menjadi hit. Lagu itu juga yang paling bermakna kerana saya dapat mengembara jauh dengan lagu ini. Jika saya dapat katakan sesuatu kepada diri saya sewaktu berusia 15 tahun dahulu, saya akan menggalakkan diri untuk membuat lagu-lagu hit sebanyak mungkin. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan