Skip to main content

Iklan

Iklan

5 Soalan Bersama…Tasneem Noor, pemilik Konditori dan Fika Café

Cabaran yang ditempuhi ternyata tidak menghambat tekadny untuk terus mempelajari dan mencuba sesuatu yang baru sekaligus menawarkan lebih banyak pilihan makanan halal bagi masyarakat Islam di Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
5 Soalan Bersama…Tasneem Noor, pemilik Konditori dan Fika Café

Tasneem Noor pemilik Konditori dan Fika Swedish cafe & Bistro. (Gambar-gambar: Tasneem Noor)

BERITAMediacorp: Kalau anda penggemar roti dan pastri dari Eropah, mungkin anda pernah terdengar tentang Konditori. Sekarang, cuba bayangkan aiskrim dengan perisa pastri Konditori kegemaran anda jika digabungkan. Menarik bukan?

Semua ini bakal menjadi nyata dan diusahakan oleh pengasasnya, Cik Tasneem Noor, 36 tahun, yang juga pemilik Fika Swedish Café & Bistro – restoran halal hidangan makanan Sweden.

Lickety, adalah perniagaan cetusan idea terbaru Cik Tasneem selepas Konditori dan juga Fika Swedish Cafe & Bistro. Malah, anda tidak perlu menunggu lama, kerana kedai aiskrim dan ‘milkshake’ itu akan dibuka pada minggu pertama bulan Jun ini dan terletak bersebelahan Konditori.

Pastinya memulakan sesuatu perniagaan bukanlah sesuatu yang mudah. Namun cabaran yang ditempuhi Cik Tasneem ternyata tidak menghambat tekad beliau untuk terus mempelajari dan mencuba sesuatu yang baru sekaligus menawarkan lebih banyak pilihan makanan halal bagi masyarakat Islam di Singapura.

Dalam segmen ‘5 Soalan Bersama’ minggu ini, wartawan Nurulkhasanah Agost mengajak anda mengenali sisi lain Cik Tasneem, yang juga seorang ibu kepada dua orang anak lelaki. Beliau turut berkongsi tips memelihara kesegaran roti!

Khasanah: Anda sudah menceburi bidang perniagaan F&B hampir 10 tahun. Adakah anda merancang untuk menceburi lebih banyak perniagaan lain?

Tasneem: Iya, Saya gemarkan makanan dan saya suka (berinteraksi) dengan orang ramai. Maka, saya sudah menemui minat saya, iaitu menyediakan makanan untuk orang lain dan membuatkan mereka gembira!

SOALAN 2

Khasanah: Sebagai pemilik Konditori, mungkin anda boleh berkongsi cara terbaik untuk menikmati pastri atau roti yang anda jual.

Tasneem: Kami amat mengutamakan kesegaran produk. Maka, jika anda tahu anda tidak dapat menghabiskan sebantal roti (yang dibeli daripada kami) dalam masa dua hari, bahagi dua dan simpan separuh di dalam penyejuk beku atau 'freezer' untuk memelihara kesegarannya.

Jangan disimpan roti dalam peti sejuk. Biarkan di luar dan habiskannya dalam tempoh dua hari.

Seorang pembuat roti terkemuka pernah memberitahu saya, jika roti itu benar-benar bagus, anda tidak perlu bimbang tentang tempoh untuk menyimpannya kerana ia pasti akan habis dalam tempoh sehari saja!

SOALAN 3

Khasanah: Pernahkah anda terbayang bahawa anda akan menjadi seorang usahawan berjaya seperti hari ini?

Tasneem: Saya memang seorang yang tidak terlalu bergantung kepada orang lain. Saya juga melakukan sesuatu dengan begitu baik sekali apabila saya mempunyai minat yang mendalam, bekerja pada waktu yang fleksibel dan 'hands-on'.

Dalam pada itu, saya membesar dengan melihat bapa saya sebagai seorang usahawan dan dari situ saya sendiri mendapat inspirasi untuk menjadi seorang usahawan apabila saya dewasa. Saya juga suka menguruskan perniagaan saya sendiri.

SOALAN 4

Khasanah: Selain sibuk sebagai seorang usahawan, anda juga seorang ibu kepada dua anak lelaki. Bagaimana anda menguruskan masa?

Tasneem: Saya mendapat banyak sokongan keluarga. Saya juga bekerja bersama suami, kami saling membantu antara satu sama lain supaya kami memperuntukkan masa kepada perkara-perkara yang memerlukan perhatian kami pada satu-satu waktu.

Untuk mencapai keseimbangan tanpa rasa bersalah, itu sentiasa sesuatu yang mencabar. Tapi saya selalu mengingatkan diri saya bahawa tidak mengapa jika saya membahagikan masa saya antara keduanya (keluarga dan anak), kadang-kala lebih masa diberikan kepada kerja dan kadang-kala lebih kepada anak-anak. Saya yakin anak-anak saya menghargai bahawa ibu mereka seseorang yang bersungguh-sungguh dalam perniagaan.

SOALAN 5

Khasanah: Adakah anda mempunyai satu impian yang masih belum lagi tercapai?

Tasneem: Saya rindu untuk melancong. Namun impian saya dari segi keusahawanan adalah untuk membuka sebuah prasekolah montesori. Saya seronok bersama kanak-kanak dan saya ingin menyediakan sebuah tempat yang membolehkan kanak-kanak selesa dengan diri mereka sendiri, belajar mengikut rentak mereka sendiri dan di mana mereka rasa disayangi.

Saya percaya kanak-kanak tidak harus digesa atau dipaksa belajar sesuatu jika mereka belum bersedia baik dari segi mental mahupun fizikal. Menghancurkan kebebasan, keyakinan, kreativiti dan semangat mereka adalah satu perkara paling dahsyat yang boleh dilakukan sesebuah sekolah.

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan