Skip to main content

Iklan

Iklan

5 Soalan Bersama... Seorang anak seni S'pura Najib Soiman

Mungkin ramai peminat dunia hiburan tempatan mengenali Muhd Najib Soiman sebagai antara pelakon pembantu yang menjayakan telefilem ‘Gunting’. 

Anggaran Waktu Membaca:
5 Soalan Bersama... Seorang anak seni S'pura Najib Soiman

Najib Soiman dalam telefilem Gunting. (Gambar: Najib Soiman)

BERITAMediacorp: Mungkin ramai peminat dunia hiburan tempatan mengenali Muhd Najib Soiman sebagai antara pelakon pembantu yang menjayakan telefilem ‘Gunting’. Beliau sudah menceburi bidang seni lebih daripada 15 tahun. Namun tahukah anda, sebenarnya Najib seorang graduan bidang kejuruteraan!

Najib atau lebih mesra dipanggil dengan nama pentasnya, Bijan, sejauh ini adalah satu-satunya pelakon lelaki Melayu yang pernah memenangi anugerah Pelakon Lelaki Teater Terbaik ST Life! Awards, satu majlis anugerah yang mengiktiraf bakat-bakat teater tempatan. Tidak hairanlah jika ramai anak muda masa ini boleh menganggap Bijan sebagai ‘sifu’ kerana pengalamannya membuat Bijan kerap diberi kepercayaan sebagai jurulatih teater di institusi-institusi pengajian di Singapura.

Bijan yang menjadikan seniman agung P Ramlee sebagai antara idolanya juga pernah mengharumkan nama negara dengan mementaskan persembahan di Eropah dan tak kurang menarik, pernah diberi kepercayaan membawa watak sebagai seorang wanita!

Bijan menjayakan watak sebagai kakak sulung kepada lima beradik perempuan dalam pementasan Kakak Kau Punya Laki oleh Teater Ekamatra.

Dalam segmen ‘5 Soalan Bersama’ minggu ini, wartawan Ruzaini Rashid meneroka dengan lebih dalam lagi anak seni ini yang merupakan seorang pensyarah sambilan Akademi Seni Halus Nanyang (NAFA) dan dilantik sebagai mentor edisi Anugerah Skrin yang lalu:

SOALAN 1

Ruzaini: Soalan cliché yang selalu ditanya kepada penggiat seni teater yang menceburi bidang lakonan di televisyen. Pentas atau televisyen? Mengapa?

Bijan: Orang ramai sering anggap berlakon teater, bayarannya seciput atau sikit jika dibandingkan apabila berlakon di televisyen. Pemikiran ini tidak benar sama sekali. Terus terang aku kongsi bahawa bayaran gaji berlakon teater pelbagai jumlahnya mengikut masa pelibatan seseorang itu sendiri. Lagi lama masa latihan dan lebih banyak hari pementasan maka lebih lumayan gajinya. Sebagai seorang yang kerjayanya berlandaskan bidang lakonan. Akhir kata, teater dan televisyen kedua-duanya sama penting untuk aku menyara hidup.

SOALAN 2

Ruzaini: Sejauh ini, anda masih satu-satunya lelaki Melayu yang pernah mendapat Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik di ST Life! Awards. Mengapa agak sukar untuk anak lelaki Melayu masa ini mencapai kejayaan itu?

Bijan: Pertama sekali. Aku rasa bersyukur atas pengiktirafan yang diberi. Dinobatkan pelakon lelaki terbaik di ST Life! Awards memang sama sekali di luar jangkauan. Anugerah yang paling berprestij untuk seorang pelakon Singapura. Aku setuju sekali dan akui bahawa ia bukanlah mudah untuk dicalonkan pun dalam kategori itu. Panel-panel juri kebanyakkannya bukan berbangsa Melayu dan ada yang tidak menonton pementasan teater Melayu maka itu memang payah untuk bakat muda kita yang hanya berlakon di teater Melayu dikenali kebolehannya. Aku kirakan bernasib baik sebab terlibat juga dalam teater Inggeris dan dari situlah aku mula dapat perhatian daripada bangsa lain.

Bijan memainkan watak 'Marzuki' dalam pementasan berlandaskan kisah benar,Gemuk Girls. Marzuki seorang lelaki yang ditahan di bawah ISA kerana didakwa menyokong kegiatan komunis. Pementasan ini yang menganugerahkannya Pelakon Lelaki Teater Terbaik.

SOALAN 3

Ruzaini: Anda sudah bergiat atau boleh digelar sebagai seniman lebih 15 tahun. Apakah detik paling pahit pernah anda lalui?

Bijan: Aku pernah diancam untuk dipukul atas sebab kenyataan yang aku beri di media sosial. Terkadang seniman itu terlalu vokal pun susah sebab kita sering mewakili suara rakyat dan juga pegangan agama kita. Oleh kerana itu, tidak semua yang bersama anggapan. Nak ‘rebel’ pun kena guna otak. Jangan semberono.

SOALAN 4

Ruzaini: Apakah nasihat terbaik pernah anda terima dan anda ingin sampaikan nasihat yang sama itu kepada orang ramai?

Bijan: Kalau kerja kita sebagai seorang tukang sapu sampah sekalipun, jadilah tukang sapu sampah yang terbaik. Kerana setiap pekerjaan kita itu adalah ibadah kita.

SOALAN 5

Ruzaini: Apakah makna ‘seniman’ bagi Bijan?

Bijan: Seorang seniman yang betul-betul seniman layak bergelar selebriti oleh masyarakatnya tetapi tidak semua selebriti yang betul-betul layak digelar seniman.

Bijan bersama seorang lagi pelakong hebat Sani Hussin dalam pementasan Yusof. (Gambar-gambar: Najib Soiman)

Sumber : BERITA Mediacorp/RU/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan