Skip to main content

Iklan

Iklan

5 Soalan Bersama… Rita Rudaini

Penantian selama 5 tahun berakhir bagi pelakon Rita Rudaini apabila biografi sulungnya berjudul Kerana Aku Seorang Perempuan diedarkan baru-baru ini. 

Anggaran Waktu Membaca:
5 Soalan Bersama… Rita Rudaini

Rita di majlis pelancaran bukunya. (Gambar: Rita Rudaini)

Diterbitkan : 23 May 2018 12:50AM Dikemas Kini : 23 May 2018 01:03AM

BERITAMediacorp: Penantian selama 5 tahun berakhir bagi pelakon Rita Rudaini apabila biografi sulungnya berjudul Kerana Aku Seorang Perempuan diedarkan baru-baru ini. Meskipun penulisnya iaitu pengarang akhbar Utusan Malaysia, Datuk Tengku Khalidah mengambil masa hanya seminggu sahaja untuk menulisnya, penerbitan biografi ibu tunggal itu lambat diterbitkan disebabkan kesukaran untuk menemui penerbit buku yang berani untuk menerbitkannya.

Jelas Rita Rudaini kepada BERITAMediacorp, baru sekarang biografi itu yang berjudul Kerana Aku Seorang Perempuan, diedarkan. Lima penerbit buku pernah membaca kandungan buku tersebut, namun "mereka tak berapa berani" menerbitkannya. Cuma penerbit yang sekarang ini yang berminat sangat dan "berani tanggung risiko".

Kisah Rita Rudaini dari beliau lahir sehingga beliau melahirkan adalah paparan yang dikongsi olehnya menerusi buku tersebut yang dilancarkan di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur awal bualn Mei ini. Cetakan pertama 3,000 naskhah tersebut habis terjual.

(Gambar-gambar: Rita Rudaini)

Antara lain, Rita turut berkongsi menerusi biografi tersebut tentang majlis pernikahan Rita bersama pemain bola sepak Mohd Aidil Safuan di Thailand pada 2008 dalam suasana serba kekurangan sehingga mereka diijabkabulkan di sebuah gudang beras. Meskipun serba kekurangan, Rita berasa sangat bahagia ketika itu.

Pasangan tersebut bagaimanapun bercerai talak satu pada September 2013 dan dikurniakan dua anak lelaki, Airit Rayyan Rizkin, 9 tahun dan Airit Qaqa Arjuna, 7 tahun.

Rita akan berada di Singapura pada 2 hingga 3 Jun nanti untuk mempromosikan biografinya dan koleksi baju Hari Raya Rita Rudaini. Baru-baru ini kami menghubungi pelakon berusia 42 tahun itu untuk bertanyakan 5 Soalan kepada beliau:

SOALAN 1

BERITAMediacorp: Jika selama ini Rita membisu, mengapa sekarang mendedahkan bernikah di gudang beras dengan bekas suami, Aidil Safuan?

RITA RUDAINI: Selama ni macam-macam benda negatif yang orang buat spekulasi pasal masalah saya, masalah rumahtangga saya dulu, macam-macam mulut orang luar yang cakap macam-macam versi A,B,C semua ada.

Untuk saya menjawab satu persatu memang agak susahlahkan. Dalam suratkhabar saya tak boleh nak ceritakan semuanya sebab terbatas jadi saya keluarkan biografi ini. Ini adalah isi hati saya dan cerita yang sebenar-benarnya yang orang lain tidak tahu selama ini yang mereka reka sendiri. Silalah baca cerita sebenar dari kamar hati saya.

Saya tak nak cerita lebih lanjut sebab saya nak semua wanita dapatkan biografi ini, baca dan dalami InsyaAllah serba sedikit dapat membantu mana-mana wanita untuk lebih kuat.

SOALAN 2

BERITAMediacorp: Jika ada sesetengah pihak katakan Rita belum “move on” dengan kongsi penderitaan ditinggalkan bekas suami (Aidil), apakah respons Rita?

RITA RUDAINI: Mereka silap, sebab saya move on lah saya keluarkan biografi saya.Orang yang belum move on adalah yang masih menangisi nasib ,duduk kat rumah terperuk,menangis,mengenang nasib, yang frust, tak boleh bekerja tetapi saya dah keluarkan buku ini. Anak sulung saya dah umur sembilan tahun, nombor 2 dah tujuh tahun Alhamdulillah. Semua orang boleh nampak di IG saya bahawa saya telah membesarkan anak-anak saya dengan sederhana tetapi sempurna ,sebab itulah saya keluarkan buku ini.

SOALAN 3

BERITAMediacorp: Apakah Rita sudah fikir masak-masak sebelum berkongsi hal-hal peribadi yang sebelum ini tidak diketahui umum?

RITA RUDAINI: Daripada dulu lagi, saya memang jujur dan akan bercakap benda yang benar saja dan saya akan berkongsi dengan masyarakat sebab saya seorang selebriti. Saya menjawab dengan sejujur-jujurnya. Sebenarnya saya menjadi saya, orang yang jujur. Bila wartawan tanya saya pasal hal peribadi atau masalah rumahtangga saya, saya tak kisah orang bercakap saya mulut lantang asalkan saya menjadi diri saya sebenar.

Biar saya bercakap benda betul dari dulu lagi daripada saya belum bercerai lagi, daripada ada masalah rumahtangga. Bila wartawan tanya saya, saya jawab. Untuk apa saya berselindung sebab suatu hari nanti orang ramai akan tahu jugak apa yang terjadi.

Netizens, makcik-makcik bawang semua komen negatif, positif saya tak kisah. Selagi saya boleh jawab, saya akan jawab. Kekadang saya memang akan jawab walaupun negatif dengan cara saya. Saya tak pernah maki hamun orang.

Orang kata saya mulut jahat tetapi mereka yang mintak saya membalas jawapan. Sebab itu bila orang kutuk saya komen negatif dan saya menjawab, saya akan menjawab dengan cara saya lebih jujur, lebih berani. Bila saya jawab benda yang jujur, benda yang benar, benda yang berani, orang kata saya mulut jahat pulak.

Saya tak tahulah mereka nak macam mana sebenarnya. Alhamdulilah, kami menjalani hidup yang sederhana tetapi bahagia, alhamdulillah anak-anak saya makin besar dengan jayanya.

Rita bersama Datuk Tengku Khalidah, penyunting bukunya. 

SOALAN 4

BERITAMediacorp: Apakah yang ingin disampaikan kepada wanita-wanita yang mengalami nasib yang serupa dengan Rita apabila bekas suami dikatakan mengabaikan tanggungjawab menjaga anak-anak setelah bercerai?

RITA RUDAINI: Saya nak bagi inspirasi bagi semua kaum wanita yang ada masalah rumahtangga atau apa-apa masalah. Sebenarnya masalah rumahtangga tak kiralah kecik atau besar bergantung kepada kekuatan hati kita untuk selesaikan masalah kita sebab masalah tetap akan nada.

Seperti orang kata pada saya “takpelah Rita ni artis, ada duit, kena tinggal suami pun takpe, boleh besarkan anak”. Itu silaplah. Orang tak tau apa masalah kita yang kita tanggung. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Walaupun saya berkerjaya, tetapi saya ada masalah-masalah lain untuk besarkan anak-anak saya.

Dalam buku ini saya nak bagi tau, tak kisahlah kita berduit ke tidak, kalau kita ada banyak duit pun, masalah tidak boleh diselesaikan dengan duit. Memang tak boleh. Kekuatan hati dan semangat diri kita sebenarnya.

SOALAN 5

BERITAMediacorp: Kepuasan menghasilkan biografi ini pada diri Rita?

RITA RUDAINI: Rasa lega Alhamdulillah sampai menitiskan air mata apabila buku ni ada di depan mata saya. Dah lama saya tunggu, lima tahun saya tunggu untuk berkongsi dengan semua. Saya rasa puas bila saya dapat tolong, bukan dari segi wang ringgit. Saya banyak dapat DM (dari Instagram) dari kaum wanita yang tanya saya macam mana saya boleh jadi kuat, mereka kena tinggal, macam-macam masalah yang saya baca di DM saya.

Saya harap buku saya sedikit sebanyak dapat menaikkan semangat para wanita yang mengalami masalah masing-masing. Saya harap sangat buku ini dapat membantu dan menaikkan semangat. Itu yg paling penting sebenarnya dan cara macam mana nak keluar dari masalah dan mencari jalan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/FH/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan