5 Soalan Bersama... Raffiey Nasir
Meskipun namanya lebih banyak menjadi sebutan dan sibuk di Malaysia, pereka fesyen berusia 30 tahun ini, Raffiey Nasir, masih lagi anak jati Singapura dan masih memegang pasport merah.
BERITAMediacorp: Meskipun namanya lebih banyak menjadi sebutan dan sibuk di Malaysia, pereka fesyen berusia 30 tahun ini, Raffiey Nasir, masih lagi anak jati Singapura dan masih memegang pasport merah. Beliau yang mula bertapak dalam dunia rekaan fesyen seawal usia 17 tahun, turut mendapatkan pendidikan fesyen secara formal di Universiti Lim Kok Wing di seberang tambak.
Malah, Raffiey kini banyak mencipta busana bagi selebriti serta para mempelai, selain mempunyai koleksi pakaian ‘ready-to-wear’, busana bagi kaum lelaki RN HOMME dan juga RN HIJAB. Lebih membanggakan lagi, beliau sudah mempunyai butik bukan sahaja di Singapura, tetapi juga di Malaysia dan Brunei!
Turut dinobatkan sebagai Pereka Tahun Ini sempena Hujung Minggu Fesyen Sopan Singapura (SMFW) 2017 baru-baru ini, Raffiey juga pernah menghasilkan rekaan khas bagi para selebriti seperti Dato’ Siti Nurhaliza, Shila Amzah dan Raja Ilya. Malah, Raffiey juga merupakan pereka bagi busana perkahwinan Akim dan Stacy tahun lalu.
Dalam segmen ‘5 Soalan Bersama…’ minggu ini, wartawan Ira Musfirah mencungkil secara ringkas minda Raffiey Nasir, pereka fesyen berbakat dari bumi Temasek ini.
(Gambar: Sang Piji/ Instagram)
SOALAN 1
Ira: Anda diberi pengiktirafan sebagai Pereka Tahun Ini bagi SMFW 2017, apa reaksi anda?
Raffiey: Saya amat terharu dan tidak sangka sekali akan diberikan anugerah tersebut. Saya amat berterima kasih kepada pihak SMFW atas pengiktirafan ini. Sebagai anak Singapura yang berjaya menempa nama di seberang tambak, pastinya ia mendorong saya dan yang lain-lain juga untuk bekerja lebih keras dan ini menunjukkan para pereka tempatan juga seangkatan dengan pereka-pereka di rantau ini mahupun antarabangsa.
SOALAN 2
Ira: Dari mereka pakaian hingga ke membangunkan jenama sendiri dan kini juga mempunyai syarikat perancangan acara, apa yang memberi inspirasi kepada anda?
Raffiey: Semua yang saya telah lakukan merupakan apa yang saya minati. Yang memberikan inspirasi kepada saya adalah sesuatu yang cantik dan menarik, yang dilihat dari sudut dan perspektif yang berbeza. Idola-idola fesyen saya ialah Karl Lagarfeld, Stephane Rolland dan ramai lagi membuat saya ingin jadi berjaya seperti mereka.
SOALAN 3
Ira: Siapa yang memakai rekaan-rekaan pertama anda? Apa pula matlamat anda dalam industri fesyen ini?
Raffiey: Baju rekaan pertama saya dipakai oleh penyanyi Alyah dan diikuti dengan pelakon Tiz Zaqyah. Dan pastinya saya ingin pergi lebih jauh ke peringkat antarabangsa. Saya sedang membuat perancangan untuk melakukan demikian dan akan saya umumkan jika ia terjadi Insya-Allah. Apa yang saya boleh kongsikan setakat ini ialah koleksi saya akan dipaparkan dalam edisi Jun ini bagi majalah Elle Australia Insya-Allah.
(Gambar: Raffiey Nasir Events/ Instagram)
SOALAN 4
Ira: 3 elemen yang menggambarkan ciri-ciri rekaan anda? Anda ada sebarang tip bagi mereka yang mahu tampil bergaya?
Raffiey: 3 elemen rekaan saya ialah eksklusif, kewanitaan dan “classy”. Tip saya pula ialah agar tidak terlalu mencuba dan jadi diri anda sendiri untuk kelihatan “classy”. Kadangkala, konsep “less is more” juga lebih bersesuaian bagi acara.
SOALAN 5
Ira: Apa nasihat anda kepada para pereka fesyen yang ingin lebih terlibat dalam bidang ini?
Raffiey: Jangan rasa sesebuah pencapaian itu bermakna kita sudah berada di atas. Sesebuah pencapaian itu sebenarnya hanya menandakan titik permulaan baru dalam kehidupan kita.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.