Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

5 Soalan Bersama...Papa Rock @ Ramli Sarip

Rock tetap rock. Tetapi, masih ada ‘jiwang-jiwang’ dalam jiwa beliau. Siapalah sangka dalam hati Papa Rock kita - Ramli Sarip - ada ‘taman’. 

Anggaran Waktu Membaca:
5 Soalan Bersama...Papa Rock @ Ramli Sarip

(Gambar: Ramli Sarip/Facebook)

BERITAmediacorp: Rock tetap rock. Tetapi, masih ada ‘jiwang-jiwang’ dalam jiwa beliau. Siapalah sangka dalam hati Papa Rock kita - Ramli Sarip - ada ‘taman’. Rupa-rupanya beliau berasa begitu dekat dengan alam semula jadi.

Dalam temu bual dengan pihak kami, beliau menyatakan “suka” dengan mata pelajaran Sejarah dan Geografi. Matematik beliau “teruk”. Jadi apa yang benar-benar diminatinya? Sukan!

Jangan main-main, semasa di tinggal di kampung dahulu, beliaulah jaguh sukan lari pecut.

Beliau juga mendedahkan ‘rahsia’ suara emasnya itu.

Dalam wawancara 5 Soalan Bersama...Ramli Sarip ini wartawan Nurulkhasanah Agost mencungkil perkara-perkara yang mungkin anda kurang atau tidak tahu tentang legenda Rock ini.

(Gambar: Mustaffa Tapa Otai Ahmad Hidzir/Facebook)

(Gambar: Mustaffa Tapa Otai Ahmad Hidzir/Facebook)

SOALAN 1

KHASANAH: Sekiranya anda tidak menjadi seorang penyanyi, apa agaknya pekerjaan anda sekarang? Mengapa?

RAMLI SARIP: Oh! Saya nak jadi seorang peladang. Petani! Kalau saya diberi (peluang) pusing balik umur saya kalau 20 ke, 19, 18 tahun kalau saya tahu teknologi yang ada, yang boleh dikembangkan saya rasa (akan) berkawan dengan bumi. Hebatlah! Bersahabat dengan alam, hebat.

Saya cinta dengan benda-benda alam ini. Saya akan rasa sedih kalau sungai dicemari, pokok-pokok ditebang. Tapi Alhamdulillah di sini, (buat) masa ini, pemerintah dan pihak-pihak tertentu tahu menghargainya. Kalau saya diberi peluang, saya ingin ada satu sungai yang ‘best’, yang boleh pelihara ikan, ternak ikan dan sebagainya ataupun tanam apa-apa.

Saya tinggal di aras dua, jadi ada di rumah, itu-itu sajalah pokok. Tapi di rumah adik saya di Muar saya beri galakan sebab adik saya tinggal di sana, arwah ayah saya tinggalkan tanah. Kasi galakan dia tanam durian, memang sekarang hasil dia dah nampak. Lagi banyak dia beri pada orang, lagi banyak buah itu tumbuh.

SOALAN 2

KHASANAH: Apakah soalan paling pelik/paling kelakar yang pernah ditanya kepada anda?

RAMLI SARIP: Tak banyak yang peliklah. Benda yang biasa. Selalunya akan ditanya, kalau peminat-peminat yang lama dan juga yang baru, (tentang) macam mana saya kekalkan momentum persembahan saya. Itu antara yang biasa dia cakap ‘macam mana suara abang boleh macam gini?’ Saya rasa benda itu jawapannya tak ada pada saya. Saya cakap, saya anggap itu semua satu anugerah dan kurnia Allah Taala kepada saya.

Orang akan tanya petua apa yang saya pakai, apa yang saya amalkan, macam mana nak dapat suara yang macam ini. Benda-benda begini saya hanya berbalik kepada Allah SWT yang memberi saya ini semua. Dia pinjamkan (pada) saya, dia akan ambil benda ini. Dan apa yang awak rasa adalah rasa daripada Dia.

(Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

SOALAN 3

KHASANAH: Anda seorang pelajar yang bagaimana dahulu semasa bersekolah? Apakah mata pelajaran yang paling tidak anda gemari?

RAMLI SARIP: Yang saya tak suka? Banyak lah. Saya suka melukis, tapi saya tak boleh melukis. Sejarah, Geografi saya suka. Sains macam pelik, matematik macam teruk. Saya lebih kepada sukan. Bila saya di sekolah dulu, saya (juga) dicalonkan untuk jadi ‘ketua pekebun’. Jadi pokok-pokok di sekolah saya dulu, kebanyakan bila saya datang sekarang, saya ingat lagi pokok itu saya (yang) tanam. Sebab itu saya cakap saya dekat dengan alam.

Dari segi sukan, memang secara semula jadi. Badan saya gempal. Waktu saya umur lapan atau sembilan tahun. Tapi dekat kampung sayalah pelari paling pantas. Saya suka main bola sepak, berlari.

SOALAN 4

KHASANAH: Anda sudah mengadakan banyak persembahan di sana sini. Ada tidak satu-satu persembahan sepanjang kerjaya anda, di mana anda berasa gementar sebelum membuat persembahan? Mengapa?

RAMLI SARIP: Tak gementar. Tetapi kita menghormati majlis bila menyanyi untuk orang-orang besar. Sebab protokolnya yang buat kita tak selesa. Tapi benda itu kita nak kena lalui dan belajar. Misalnya, nyanyi untuk Perdana Menteri, Sultan, Agong, awak tak boleh bergerak banyak sangat. Tidak sebanyak sedikit dia akan mengganggu perasaan. Yang paling indah sekali (persembahan) bersantai lah. Awak datang, ‘you are ready to take me’.

(Gambar: Jamil Jantan/Facebook)

(Gambar: Jamil Jantan/Facebook)

SOALAN 5

KHASANAH: Dalam banyak-banyak lagu anda, yang mana anda rasa paling terbaik/bermakna? Pilih satu atau 2 sahaja! Mengapa lagu itu?

RAMLI SARIP: Tak ada pilihanlah. Sebab banyak sangat lagu yang ada agak ‘personal’ (peribadi), agak kita minat, ada lagu yang sesuai untuk bersenandung bila kita seorang diri, ada lagu yang kita boleh santaikan lagu itu dalam keadaan bersahaja atau mendapatkan inspirasi, semangat, kekuatan, rintihan perasaan dan sebagainya.  

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan