Skip to main content

Iklan

Iklan

5 Soalan Bersama ... Nur Yusrina Yaakob

“Kita semua perlu mempunyai impian dalam hidup kita, walau tidak seberapa pun. Ia mengorak hala tujuan kita, ia memaksa kita mengutamakan hal-hal yang lebih penting, ia memberi kita matlamat.”

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAMediacorp: “Kita semua perlu mempunyai impian dalam hidup kita, walau tidak seberapa pun. Ia mengorak hala tujuan kita, ia memaksa kita mengutamakan hal-hal yang lebih penting, ia memberi kita matlamat.”

Demikianlah pegangan hidup Nur Yusrina Yaakob yang pada usia 30 tahun sudahpun berjaya mengecapi impiannya untuk menawan puncak Gunung Everest pada 22 Mei 2017. Sekaligus menjadi wanita Melayu Singapura pertama berbuat demikian.

Meskipun sudah memenuhi impiannya, Cik Yusrina berkata bahawa beliau akan “terus mendaki dan menjadi sumber inspirasi” agar dapat membantu individu-individu lain, terutama sekali golongan wanita merealisasikan impian mereka.

Malah, selain mendaki gunung, guru ini turut aktif dalam kegiatan lain seperti Aquathlon yang buat julung-julung kali disertainya beberapa hari yang lalu. Walaupun tidak pernah berenang di lautan terbuka sebelum ini, beliau mengatasi rasa takut dan berjaya mengharungi acara yang mencabar itu.

Ikuti wartawan Said Mahadi dalam segmen 5 Soalan Bersama … Nur Yusrina Yaakob minggu ini di mana beliau berkongsi harapannya sebagai ikon wanita, pengalamannya menceburi Aquathlon dan tips seorang pakar bagi mereka yang ingin mendaki.

Lebih-lebih lagi, bagi mereka yang tertanya-tanya, beliau juga akan berkongsi mengapa patung Woody iaitu salah satu watak utama filem bersiri Toy Story membuat penampilan dalam setiap gambarnya di puncak gunung-gunung yang didaki di Instagram.

SOALAN 1

Said: Sejak bila anda mula berkecimpung dalam kegiatan mendaki gunung dan apa yang membuat anda menggemarnya?

Yusrina: Saya mendaki gunung untuk kali pertama di Johor pada usia 17 tahun. Guide saya pada masa itu memberi komen bahawa cara saya mendaki seperti sudah biasa sedangkan itulah kali pertama. Semasa di NUS, saya memilih untuk memasuki Kelab Mendaki Gunung NUS dan saya panjat gunung bersalji yang pertama.

Saya terus menggemari pengalaman mendaki gunung kerana ia memberi suatu perasaan yang luar biasa dan tidak boleh dirasai dengan aktiviti lain. Perasaan dapat mengharungi cabaran untuk mencapai kejayaan juga adalah suatu yang unik dan membuat saya ketagih akan perasaan itu.

SOALAN 2

Said: Boleh anda ceritakan mengapa dalam beberapa pendakian anda ke puncak, Woody akan turut bersama?

Yusrina: Saya gemar menonton siri Toy Story sejak zaman sekolah rendah. Pada ketika itu, bapa saya membeli Cakera Laser (LD) dan saya akan menontonnya berkali-kali. Saya gemar watak Woody kerana dia suka menempuh pengalaman baru. Dia tidak serba sempurna dan selalu membuat silap tetapi dia sangat taat setia kepada kawan-kawannya dan akhirnya selalu melakukan perkara yang betul.

Patung Woody mengingatkan saya tentang kesemua itu dan lebih lagi. Oleh itu, saya membawanya bersama dalam semua pengembaraan saya. Selain itu, saya juga berpendapat bahawa gambar-gambar saya akan kelihatan lebih unik berbanding pendaki gunung yang lain.

SOALAN 3

Said: Tidak dapat dinafikan bahawa anda merupakan ikon wanita dengan penerimaan anugerah CLEO Changemakers, penampilan di ETF Climbathon, kerjasama @amazingtrekkersclub dan sebagainya. Apakah harapan/mesej anda kepada mereka?

Yusrina: Wanita juga boleh lakukan apa sahaja yang kita mahukan. Saya adalah salah satu contoh kerana saya seorang wanita yang berjaya di dalam dunia pendakian yang kebanyakannya lelaki kerana ia mencabar dan bahaya. Sebagai wanita, kita tidak seharusnya mengaku kalah sebelum mencuba.

Gambar: anisury/Instagram

Saya harap lebih ramai wanita yang ingin berkecimpung dalam sukan mendaki ini memberanikan diri untuk cuba. Dan kepada wanita-wanita yang sudah aktif, teruskan! Saya rasa bangga bila saya dikelilingi ibu-ibu, wanita profesional, dan adik-adik yang mempunyai impian untuk mendaki gunung ataupun sekadar bersenam untuk kesihatan diri.

SOALAN 4

Said: Anda bukan sahaja mendaki gunung tetapi juga baru selesai aquathlon bulan ini. Bagaimanakah pengalaman anda melakukan sukan itu?

Yusrina: Saya boleh katakan dengan bangganya bahawa saya berjaya mengawal ketakutan berenang di lautan terbuka dengan baik...sekurang-kurangnya lautan Sentosa. Ketika perlumbaan itu, daya saing saya mengambil alih rasa takut sehingga saya terlupa bahawa saya sedang berenang di lautan dalam. Para perenang lain di sekeliling saya juga membantu saya menumpukan fokus kepada perlumbaan dan bukan kepada rasa takut saya.

Yusrina menerima sijil penyertaan beberapa hari selepas menyelesaikan Aquathlon. (Gambar: anisury/Instagram)

Saya belum boleh mengatakan bahawa saya berjaya mengatasi rasa takut di lautan dalam tetapi saya rasa saya berjaya mengatasinya dengan baik. Kesimpulannya, saya sangat bangga dengan diri saya dan kawan-kawan saya yang bekerja keras untuk menyelesaikan perlumbaan itu. Kami tidak membiarkan rasa takut menguasai diri kami.

SOALAN 5

Said: Baru-baru ini, kita maklum tentang insiden rakyat Singapura hilang di Gunung Pulai. Sebagai seorang penggiat kegiatan mendaki, boleh anda kongsi tips bagi pendakian yang selamat?

Yusrina: 1. Dapatkan seorang pemandu jalan sekiranya anda tidak biasa dengan laluannya.

2. Bawa bersama anda apa jua alat komunikasi. Telefon bimbit dengan talian tempatan, pengecaj mudah alih ataupun telefon satelit jika ada.

3. Bawa bersama anda peta kawasan tersebut. Pastikan anda tahu bagaimana untuk menggunakannya. Alat pengesan GPS juga boleh membantu dan sekarang ini, terdapat juga jam tangan dengan keupayaan GPS yang boleh membantu anda cari jalan sekiranya anda sesat di hutan.

4. Buat kajian sebelum mendaki agar dapat mengesan jalan keluar, maklumat terkini tentang cuaca ataupun status laluan yang ingin diambilselain haiwan-haiwan tempatan, tumbuhan-tumbuhan dan apa yang harus anda lakukan apabila terjumpa yang demikian.

5. Selalu memberitahu pihak berkuasa dan keluarga anda sebelum memulakan pendakian agar akan sentiasa ada orang yang memantau perjalanan anda. 

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan