Skip to main content

Iklan

Iklan

5 Soalan Bersama... Nourul Wahab Depp

Popular dengan lagu Kerana Terluka dan Cinta Azali, penyanyi yang bermula pada tahun 90-an ini ternyata masih dapat bertahan sehingga kini meskipun sudah berkecimpung dalam bidang seni suara selama lebih 20 tahun.

Anggaran Waktu Membaca:
5 Soalan Bersama... Nourul Wahab Depp

(Gambar: Nourul Wahab Depp/ Facebook)

BERITAMediacorp: Popular dengan lagu Kerana Terluka dan Cinta Azali, penyanyi yang bermula pada tahun 90-an ini ternyata masih dapat bertahan sehingga kini meskipun sudah berkecimpung dalam bidang seni suara selama lebih 20 tahun.

Nourul Wahab Depp, atau nama sebenarnya Noorulhuda Abdul Wahab, malah turut merakam sebuah album Perancis baru-baru ini. Wanita 39 tahun ini bahkan kini giat sebagai seorang pelatih Zumba dan juga aktif mengadakan kelas-kelas di Malaysia dan Singapura.

Meskipun pernah berpisah dengan komposer Ajai, Nourul kini kian membina kehidupan yang baru bersama Eric Daniel Depp, dan sudahpun dikurniakan dua cahaya mata lelaki.

Dalam segmen '5 Soalan Bersama...' minggu ini, wartawan Ira Musfirah menyelami perasaan serta perjalanan hidup Nourul dalam mengharungi cabaran, selain mendalami cara beliau terus mengekalkan semangat positif dalam kehidupan:

(Gambar: Nourul Wahab Depp/ Facebook)

SOALAN 1

Ira: Falsafah hidup anda?

Nourul: Bahagiakan diri anda dahulu sebelum orang lain. Dan tiada yang mustahil jika anda percaya pada kebolehan anda. Saya percaya pada tenaga positif. Jika kita berikan tenaga sedemikan, kita akan dapat yang serupa.

SOALAN 2

Ira: Apa yang mendorong anda untuk sentiasa mempertingkatkan diri?

Nourul: Orang-orang yang berjaya memberi inspirasi kepada saya. Saya banyak belajar daripada suami saya, Eric Depp, dan juga daripada mereka yang berjaya dalam kehidupan walaupun pernah diduga. Saya ingin menjadi seorang yang lebih baik lagi kerana kami belajar dari pengalaman seharian. Dan, pengalaman semalam juga banyak mengajar saya. Jika saya pernah membuat kesilapan, saya enggan mengulanginya.

SOALAN 3

Ira: Kini seorang instruktor Zumba, apa yang ingin disampaikan menerusi kelas-kelas anda?

Nourul: Saya belajar Zumba kerana saya sebenarnya tidak pernah dapat mencapai hasrat untuk menjadi seorang penari yang baik. Saya gemar muzik tetapi saya tidak pandai menari langsung, dan gerakan saya selalunya kaku! Zumba adalah satu cara dan sebab untuk saya menggerakkan tubuh mengikut alunan muzik. Melalui Zumba, saya juga ingin menyebarkan kegembiraan dan tentunya kasih sayang.

(Gambar: Nourul Wahab Depp/ Facebook)

(Gambar-gambar: Nourul Wahab Depp/ Facebook)

SOALAN 4

Ira: Pernah menyesali sebarang kejadian dalam kehidupan? Jika diberi peluang, adakah anda memutar kembali waktu?

Nourul: Saya tidak ingin memikirkan tentang penyesalan. Jika kita sering menyesali masa silam, kita tidak akan bergerak ke hadapan. Saya tidak pernah menyesal dengan segala apa yang terjadi dalam kehidupan saya. Fokusnya adalah pada kini dan masa hadapan. Seteruk mana pun yang anda inginkan, anda masih tidak dapat memutar kembali masa. Malah, buatlah kesilapan, agar anda dapat belajar. Saya hanya ingin memutar kembali waktu sekiranya ia melibatkan masa bersama arwah ibu bapa saya, untuk memberi mereka lebih kasih sayang dan segalanya yang mereka perlukan. Walau apa pun, saya percaya setiap yang berlaku ada hikmahnya.

SOALAN 5

Ira: Jika anda dapat beritahu sesuatu kepada diri anda yang berusia 20 tahun, apa yang akan anda katakan?

Nourul: Ambil masa untuk mencari cinta. Biar ia datang dengan sendiri. Jalani kehidupan seperti belia lain. Jadilah seorang yang gembira dan yang menikmati kehidupan. Ikut arus kehidupan, nikmati setiap detik dan adakan wang simpanan! Lakukan apa yang terbaik buat diri anda dan juga bekerja keras sehingga anda dapat apa yang anda inginkan.  

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan