Skip to main content

Iklan

Iklan

5 Soalan Bersama... Noor Iskandar

Penggiat seni ini mungkin masih muda lagi dalam kalangan penggiat seni Singapura yang sudah mapan. Meskipun dengan usia yang muda, Noor Iskandar yang kini berusia 29 tahun bukan hanya terkenal dalam bidang jurugambar, tetapi beliau juga boleh dianggap sebagai seorang seniman muda Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
5 Soalan Bersama... Noor Iskandar

Penggiat seni muda Noor Iskandar. (Gambar-gambar: Hasil karya dikirim Noor Iskandar)

BERITAMediacorp: Penggiat seni ini mungkin masih muda lagi dalam kalangan penggiat seni Singapura yang sudah mapan. Meskipun dengan usia yang muda, Noor Iskandar yang kini berusia 29 tahun bukan hanya terkenal dalam bidang jurugambar, tetapi beliau juga boleh dianggap sebagai seorang seniman muda Singapura.

Instagram beliau @nooriskandar juga dipenuhi dengan gambar-gambar penjelajahannya ke luar negara untuk mencari ilham serta berkongsikan kata-kata falsafah yang amat mendalam.

Namun, di sebalik petikan gambar dan prosa-prosa, apakah sebenarnya yang mencetuskan keinginan dan minat Noor Iskandar dalam bidang ini? Bagaimana pula beliau mencari ilhamnya?

Wartawan Faris Alfiq menghubungi penggiat seni ini untuk cuba mengenali dengan lebih dekat lagi siapa sebenarnya Noor Iskandar di sebalik kamera beliau.

SOALAN 1:

FARIS: Bagaimana boleh tercetusnya minat memetik gambar? Bilakah anda mula berjinak-jinak dengan kamera?

ISKANDAR: Sejak kecil, saya dihadiahkan kamera filem lama dari nenek saya. Keluarga saya juga amat prihatin akan pengabadian memori melalui salinan gegambar. Boleh dikatakan, kami amat visual. Saya mula melukis dan minat kepada seni sejak bangku sekolah lagi. Dari penulisan cerpen ke design grafik, bahkan ke bahas.

Entah bagaimana, pengamatan terhadap kehalusan seni rupa dan estetika itu berputik sejak kecil lagi. Ruang kreativiti ini hanya tersangkut kepada fotografi di waktu maktab rendah dan terlarut hingga perkhidmatan negara sebelum saya mengambil keputusan untuk meneruskan pengajian peringkat ijazah Fine Arts di NTU School of Art, Design and Media.

Semasa tahun kedua, hati ini semakin terpaut kepada bahasa visual lantas saya memilih untuk ke aliran fotografi dan “imaging digital”. Di sana, perjalanan sebagai anak seni bertapak. Selepas tamat ijazah seni halus saya ceburi bidang pengajian Kajian Kesenian di institusi yang sama, dengan harapan memartabatkan seni itu kepada suatu imbuhan akademik yang bukan sahaja dilihat seakan-akan hanya kerja korikular tetapi sama taraf dengan ilmu-ilmu sains yang lain dan mampu menyumbang kepada kemaslahatan masyarakat dan warga dunia.

SOALAN 2:

FARIS: Anda boleh dikatakan sebagai penggiat seni visual yang muda. Apakah nasihat anda kepada mereka yang berminat untuk menceburi bidang ini?

ISKANDAR: Suara yang kita lontarkan atau salutkan dalam seni kita teramat mustahak. Saya selalu percaya bahasa itu memain peranan penting bagi memanifestasikan seni itu. Walau yang kita gendong itu seni visual, yang putikkannya adalah bahasa kita. Bahasa visual itu nadi bahasa hati kita. Saya juga percaya pada majis rasa dan makna. Seni saya mendampingi falsafah demikian.

Jika anda teliti karya-karya saya, pendekataan seni dan spiritual amat jelas. Kalau seni kita buat satu jiwa pun tersentuh, itu sudah satu kaya ukur kejayaan. Di masa yang kejayaan itu seringkali dikaitkan dengan kemewahan dan populariti, saya harap mereka yang melabuh seni mereka tegar dengan suara mereka, dan tidak terpesong kepada pendirian mereka hanya untuk mencipta nama.

Jadikanlah seni itu satu wadah, satu wahana, satu teduhan, satu sastera, satu sentuhan...

SOALAN 3:

FARIS: Selain daripada memetik foto, apakah hobi anda yang lain atau perkara yang anda suka lakukan pada waktu lapang yang mungkin orang ramai tidak tahu?

ISKANDAR: Saya gemar menulis prosa serta puisi dan membaca. Saya suka menimba ilmu justeru kegiataan-kegitatan yang membina pengetahuan dan kesedaran dan jati diri itu saya sering kedepankan. Saya juga amat bersemangat mengumpul manuskrip-manuskip buku yang lama dan kuno. Buku-buku lapuk ini ada yang adanya dari abad ke-19.

Selalunya, buku-buku ini saya cari sewaktu saya jelajah ke merata dunia. Oleh itu, koleksi ini berbeza bahasa walaupun temanya semua berkaitan dengan subjek-subjek yang dekat di hati saya seperti kerohanian, kesusteraan, sejarah, geografi dan seni. Saya juga sering membeli teks-teks dari Indonesia kerana terdapat timbusan ilmu mengenai Nusantara. Koleksi ini saya namakan Warkah Jiwa.

Selain itu, saya suka cari ketenangan. Oleh itu, anda boleh terserempak saya menaiki bas jarak jauh sambil memandang sekeliling atau di pantai Changi. Anda juga boleh dapati saya di cawangan-cawangan Macdonald’s didampingi Double McSpicy Meal. Selain itu, saya juga gemar berjelajah mencari inspirasi.

SOALAN 4:

FARIS: Daripada laman Instagram anda, anda memang suka menjelajah. Mungkin boleh anda kongsikan beberapa perkara menarik yang terjadi pada diri anda apabila anda menjelajah ke negara asing?

ISKANDAR: Amat rumit menjawab soalan demikian kerana setiap satu rentasan itu punyai seribu satu kenangan yang amat berharga.

Sedikit imbasan termasuk episod saya tiada wang di Marrakesh semasa pertama kali berjelajah secara solo, menetap di pesantren di Bondowoso di mana anak-anak disana mengajar kita erti kehidupan, keindahan kashmir yang tiada bandingannya, aneka seni bentuk masjid-masjid di serata dunia, bermalam di padang pasir di India, belon panas di Cappadocia kemudian hilang jalan selama berjam-jam lama, menyambut tahun baru Farsi di Iran bersama keluarga angkat, dilanda ribut salju di Balkans, berdepan dengan krisis pelarian di Belgrade, bertemu jiwa-jiwa sepadan yang lain.

Semuanya amat berharga dan memberi suntikan erti bagi saya memahami misteri kehidupan ini.

Namun jika ada dua negara yang membuat hati saya syahdu setiap kali dikata-kata adalah Iran dan India.

SOALAN 5:

FARIS: Apakah aspirasi dan impian anda pada masa hadapan?

ISKANDAR: Saya ingin merealisasikan impian untuk menjadi seorang pendidik yang bekerja dengan anak-anak seni yang lebih muda agar kita dapat merapatkan dan membentuk masyarakat seni yang lebih sihat dan yang fikir dengan lebih mendalam.

Kalau belum ada rezeki, saya ingin ceburi diri lebih dalam bidang penyelidikan seni dan bekerja di bawah institusi warisan seperti rangkaian muzium dan aspek kuratorial. Saya juga ingin memupuk minat anak muda terhadap kesusasteraan.

Pada jangkauan yang lebih dekat, saya ingin menyerapkan pengalaman-pengalaman saya dalam bentuk perkongsian kata. Justeru, saya dalam proses menerbitkan sendiri buku antologi puisi pertama saya berjudul For[god] yang mengandungi derapan-derapan spiritual dan seni. 

Sumber : BERITA Mediacorp/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan