Skip to main content

Iklan

Iklan

5 Soalan Bersama... Noh Salleh

Noh atau nama sebenarnya Mohammad Noh Bin Salleh, adalah penyanyi utama kugiran Hujan.

Anggaran Waktu Membaca:
5 Soalan Bersama... Noh Salleh

Penyanyi utama kugiran Hujan, Noh Salleh. (Gambar: Facebook/Noh Salleh)

BERITAMediacorp: Dengan aura yang mempesona dan perwatakan yang ranggi, jujur dan pandai berjenaka pintar tidak hairanlah Noh Salleh yang juga dikenali sebagai Noh Hujan bertahan di dunia seni muzik Malaysia lebih 12 tahun.

Noh atau nama sebenarnya Mohammad Noh Bin Salleh, adalah penyanyi utama kugiran Hujan. Lebih daripada itu, beliau juga mengasaskan bersama kugiran itu dan berjaya membawa Hujan menjadi antara kugiran yang paling berpengaruh di Malaysia.

Noh memberitahu BERITAMediacorp kejayaan diperolehi beliau selama ini adalah hasil sokongan padu dan membina oleh orang tuanya. Ini membuat beliau tidak membuat sesuatu perkara separuh jalan.

"Pokoknya, jangan alang-alang dan jangan aniaya orang walaupun kerana wang ringgit, biar orang aniaya kita, jangan kita aniaya orang," kata beliau.

Kisah peribadi Noh bersama isteri Mizz Nina, bekas ratu hip-hop Malaysia, juga menjadi perhatian umum atas sikap romantis antara mereka berdua.

"Tak ada rahsia. Pasangan suami isteri haruslah romantis. Suami harus dianggap sebagai raja, isterinya harus dianggap sebagai permaisuri. Mana mungkin anggap diri sebagai "king" tapi isteri jadi "slave". Hormati satu sama lain.

"Nasihat saya, perkahwinan patutnya menjadi sesuatu yang indah. Suatu sunnah. Enjoy lah. Jangan stress," katanya kepada BERITAMediacorp.

Dalam segmen "5 soalan bersama..." kali ini, wartawan Ruzaini Rashid membawa anda mengenali Noh dengan lebih mendalam lagi.

SOALAN 1

Ruzaini: Sudah lebih 10 tahun Noh berkecimpung dalam bidang seni, dari underground scene sehingga band Hujan menjadi antara kugiran terhebat Malaysia. Apakah detik paling penting sejauh perjalanan ini?

Noh: Detik terpenting ada banyak sangat. Dari perkara kecil seperti pertemuan kami anak-anak Hujan, di"boo" peminat, itu sangat penting. Tetapi yang saya mahu tekankan adalah hari saya dapat SMS "Congratulations!!" daripada ayah saya (semasa menang AIM bagi Lagu Rock Terbaik dan Kugiran Rock Terbaik). Ia sebagai tanda restu selepas 5 tahun buat muzik dengan Hujan. Restu daripada orang tua saya bukan senang-senang hendak dapat kerana restu orang tua adalah kunci utama dalam apa-apa hal.

SOALAN 2

Ruzaini: Jikalau Noh boleh mengubah satu perkara berkaitan kerjaya Noh, apakah yang akan diubah Noh?

Noh: SAYA TAK NAK UBAH! Saya gembira dengan apa yang telah saya hadapi serta capai. Dan pencapaian ini tiada langsung kena mengena dengan saya kerana ia semua ditentukan oleh Tuhan and hasil bantuan kasih sayang orang keliling. Saya kenal diri saya, tidak mungkin saya akan capai apa yang ada sekarang kerana diri saya sendiri. Semua yang terjadi ada sebabnya. Segala dosa pahala tipu daya yang lepas saya terima seadanya.

SOALAN 3

Ruzaini: Dengan kesibukan jadual Noh dan isteri, apakah ‘hari yang sempurna’ bagi anda berdua?

Noh: Bercuti keluar negara. Saya dan Puan Hajjah mesti meluangkan masa untuk satu sama lain kalau hendak tunggu memang tak dapatlah. Baru-baru ini kami ke Jepun. Itu satu contoh "hari sempurna". Kita matikan talian telefon, jadi tiada orang boleh kacau kami. Berjalan sampai lunyai kaki, makan sampai buncit, jadi diri kami sendiri dan mencintai satu sama lain pada masa yang sama.

(Gambar-gambar: Facebook/ Noh Salleh)

SOALAN 4

Ruzaini: Jikalau Noh seorang adiwira, siapakah watak pilihan Noh dan mengapa?

Noh: BATMAN! Beliau kaya gila dan kerana itu beliau ada Yayasan Bruce Wayne yang tolong anak-anak yatim dan fakir miskin. Tidak perlu ada kuasa sakti. Buat amal jariah je beliau dah otai.

SOALAN 5

Ruzaini: Muzik atau pelajaran. Mana satu Noh akan menasihati golongan muda untuk memburu?

Noh: Pelajaran. Muzik adalah satu saluran untuk anda melepaskan segala kegusaran di minda dan hati. Kalau dah gunakan saluran itu buat periuk nasi, di mana hendak menyalurkan tekanan anda? Lagipun keinginan hampir semua orang tua untuk melihat anak mereka cemerlang dalam pelajaran dengan segulung ijazah or PhD or whatever. Selepas dah dapat itu kau nak black metal ke, hip hop ke, pergilah nak buat apa. Janji hati orang tua sejuk. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan