Skip to main content

Iklan

Iklan

5 Soalan Bersama...Mufti S’pura Dr Mohamed Fatris Bakaram

Tak kenal maka tak cinta. Ayuh selami isi hati Mufti Singapura tentang beberapa isu, sekaligus cuba mengenali penghulu masyarakat Islam tempatan itu dengan lebih dekat lagi.

Anggaran Waktu Membaca:
5 Soalan Bersama...Mufti S’pura Dr Mohamed Fatris Bakaram

Mufti S’pura Dr Mohamed Fatris Bakaram. (Gambar: BERITAMediacorp)

BERITAMediacorp: Sebagai Mufti Negara apakah agaknya satu perkara yang mahu Dr Mohamed Fatris Bakaram ubah mengenai masyarakat Islam, khususnya yang di Singapura?

Apakah pula cabaran yang perlu ditangani Dr Fatris sehingga sering tidak tidur malam lantaran beratnya isu-isu tersebut? Sudahlah berat tanggungjawab yang perlu dipikul kadangkala terpaksa pula berdepan dengan salah tanggapan, cercaan dan komen-komen negatif masyarakat.

Kata orang, tak kenal maka tak cinta. Oleh itu, dalam segmen 5 Soalan Bersama minggu ini, wartawan Nurulkhasanah Agost mengajak anda menyelami isi hati Mufti Singapura ini tentang beberapa isu, sekaligus cuba mengenali penghulu masyarakat Islam tempatan itu dengan lebih dekat lagi.

SOALAN 1

Khasanah: Apa antara isu-isu yang buat Ustaz tidak tidur malam lantaran beratnya isu itu? Berikan contoh, Ustaz?

Mufti: Dalam pengalaman lebih daripada enam tahun sejak saya memegang jawatan sebagai Mufti Singapura saya rasa agak sukar untuk menumpukan hanya kepada satu isu yang ingin kita katakan sebagai isu yang membuat saya tak tidur malam.

Isunya banyak yang perlu ditangani. Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) sebagai satu badan berkanun yang bertanggungjawab bagi pelbagai urusan dan hal ehwal agama bagi masyarakat Islam Singapura sebenarnya mengendalikan pelbagai isu. Isu madrasah, masjid, dakwah, pendidikan, zakat, haji, korban. Jadi boleh dikatakan 'everything that is under the sun' (segala-galanya).

Kadang-kadang ada isu yang datang secara mendadak tanpa kita jangkakan. Sebagai contoh apabila terdapat insiden penangkapan individu tertentu yang didapati terpengaruh dengan pemikiran ekstrim, punya rancangan untuk melakukan tindakan di luar batasan undang-undang. Itu suatu yang bila timbul kita tangani dan itu juga termasuk antara isu yang mengganggu fikiran, mengganggu ketenangan.

Jadi boleh dikatakan nak cari satu isu yang buat saya tak tidur malam itu saya rasa tak boleh sebab ia pelbagai isu. Keadaan tidak tidur malam itu banyak berlaku. Sering berlaku dalam kehidupan sebagai seorang Mufti.

Mufti Negara Dr Mohamed Fatris Bakaram.

SOALAN 2

Khasanah: Ini soalan senario. Katakanlah, kalau Ustaz boleh mengubah satu perkara tentang umat Islam (atau umat Islam Singapura), apa yang mahu Ustaz ubah?

Mufti: Yang melihat agama itu sebagai satu perkara yang terpisah daripada kehidupan. Melihat agama itu sebagai satu yang berkaitan dengan skop kehidupan yang sangat bersifat peribadi.

Padahal di sebalik keadaan separa sedar kita sebagai seorang Muslim, kita tahu dan kita sebenarnya sedar dia dua perkara yang tidak boleh dipisahkan; antara kehidupan dunia dengan motivasi dan dorongan serta nilai-nilai agama. Masih lagi terdapat sebahagian masyarakat yang merasa tidak selesa apabila kita menjadikan perjalanan agama kita ini sesuatu yang perlu disesuaikan dengan realiti kehidupan. Ada sebahagian orang mengatakan agama adalah agama dan dia tidak boleh berubah.

Kita perlu jadi masyarakat yang bijak melihat. Yang mana asas agama yang perlu, itu tetap. Tetapi banyak aspek agama yang perlu (juga) disesuaikan kerana agama itu adalah sesuatu yang Allah atur untuk keperluan hidup kita. Apabila kita gagal melihat ada aspek agama yang perlu disesuaikan - bukan untuk dibuang prinsip asasnya tetapi sesuatu yang disesuaikan pelaksanaannya dengan mengekalkan agama seperti mana cara tradisinya - itu yang akan menyebabkan agama itu semakin lama semakin tidak dapat serasi dan sesuai dengan keperluan hidup.

Mufti Negara Dr Mohamed Fatris Bakaram menyampaikan khutbah Aidiladha. (Gambar: MUIS)

(Gambar: MUIS)

SOALAN 3

Khasanah: Di media sosial, begitu mudah warga siber mengeluarkan kata-kata kesat, penghinaan, berita yang tidak benar dan sebagainya. Apa kebimbangan utama Ustaz tentang fenomena ini terhadap generasi muda sekarang dan generasi masa depan?

Mufti: Sikap dan watak sebagai masyarakat yang penuh dengan cercaan, yang penuh dengan tohmahan, masyarakat yang berbicara tanpa berfikir terlebih dahulu, masyarakat yang memberi komentar, kadang-kadang dalam bentuk yang sangat pedas. Sedangkan faktanya tidak diselidik terlebih dahulu dan juga dipastikan kebenarannya. Saya rasa itu budaya yang sedang terbentuk daripada fenomena media sosial yang ada sekarang.

Kita kena sedarkan diri kita. Kalau kita membiarkan itu sebagai arus yang berterusan dan kita biarkan diri kita terbawa oleh arus tadi, akan timbul masalah yang besar dalam kehidupan kita bersama. Saya mengharapkan masyarakat akan lebih bijak.

Saya melihat terdapat tanda-tanda yang positif. Dari satu sudut generasi muda, sudah banyak interaksi saya dalam media sosial, juga di luar, saya rasa ramai daripada golongan muda yang sebenarnya punya kesedaran merasa, rasa ‘sick’ dengan budaya yang begitu negatif.

Saya rasa generasi muda generasi yang ingin lebih banyak membuat perubahan. Generasi muda sekarang ini lebih punya kesedaran untuk berfikir dahulu sebelum berbicara. Saya rasa kita perlu terus membangun kesedaran itu menjadi satu ciri yang boleh kita banggakan dalam masyarakat kita.

Mufti Negara Dr Fatris Bakaram bersama beberapa graduan Youth aLIVE. (Gambar: Taufiq Hussein Zalizan)

SOALAN 4

Khasanah: Boleh Ustaz jelaskan sedikit tentang adab-adab bersosial di media sosial?

Mufti: Kita diajar dalam Islam ini, bahawa dalam apa pun keadaan, sama ada kita bersendiri ataupun bersama dengan orang lain, untuk senantiasa membasahkan lidah kita - dan lidah itu sebagai cerminan apa yang ada dalam hati kita - dengan doa. Kita doakan orang terbaik, kita nak buat apa-apa, kita doa yang terbaik untuk diri kita. Satu keyakinan dalam latihan kami (sebagai asatizah) ialah bila kita mendoakan sesuatu yang baik kepada orang lain maka Tuhan pasti akan pulangkan juga kebaikan itu kepada kita. Jadi orang lain akan dapat kebaikan hasil doa kita, dan kita juga akan dipelihara oleh Tuhan.

Maka tak mungkin berlaku seorang itu, (jika) lidahnya penuh dengan doa, kalau lidahnya juga pada masa yang sama, dipenuhi dengan cercaan. Dia dua perkara yang tidak boleh berada pada satu tempat, dua yang bertentangan. Kalau ada doa, tidak mungkin ada cercaan. Kalau banyak cercaan, tidak mungkin dia seorang yang banyak berdoa.

Ke mana kita nak bawa masyarakat kita ini? Dalam masa kita menghadapi pelbagai isu yang sekarang ini boleh dibincangkan secara mudah, secara terbuka, tidak perlu duduk di kedai kopi berjumpa, kadang-kadang sebelum tidur setengah jam baring di katil pun kita boleh bincang macam ahli Parlimen, beri pandangan sebagai pengkritik sosial kadang-kadang. Bagaimana kita menghasratkan kebaikan untuk semua? Apakah kita ini ingin membentuk satu budaya yang akan meluas dalam masyarakat yang kemudiannya menjadi legasi yang kita wariskan kepada generasi seterusnya?

Gambar fail Mufti Negara Dr Mohd Fatris Bakaram. (Gambar: TODAY)

(Gambar: TODAY)

SOALAN 5

Khasanah: Saya difahamkan ustaz gemar menulis puisi. Boleh ustaz kongsi sedikit mengenai puisi-puisi tulisan ustaz?

Mufti: Minat itu memang ada sejak saya sekolah menengah lagi.

Saya mencurahkan emosi saya, saya mencurahkan perasaan saya dalam bentuk penulisan. Sampai sekarang. Cuma, sebenarnya apa yang saya hasilkan yang kadang-kadang saya lampirkan dalam ruang FB saya, itu sedikit sebenarnya. Bukan sedikit dalam erti kata banyak (yang) saya sudah hasilkan (dan) saya keluarkan sedikit. Tetapi memang saya jaga diri saya untuk tidak meluangkan terlalu banyak masa menulis puisi.

Mungkin kerana saya jenis orang yang mula membangunkan kemahiran menulis puisi hasil kerana suasana emosi yang mengganggu. Sampai sekarang kalau saya hendak menulis puisi atau sajak, saya kena duduk dan layankan perasaan. Kalau saya ada puisi, katakanlah, ia berunsur sentimental tentang kenangan masyarakat lalu, hidup suasana kampung. Saya nak tulis itu, memang saya kena betul-betul merasakan suasana sentimental yang mempengaruhi pemikiran saya.

Mufti S’pura Dr Mohamed Fatris Bakaram. (Gambar: BERITAMediacorp)

Kalau ada puisi yang bercorak mengkritik dan ada unsur kemarahan, saya agak rasa betul-betul marah baru saya boleh buat puisi itu. Jadi kalau saya tak jaga-jaga, saya nak menghasilkan puisi yang banyak, saya kena mewujudkan suasana itu. Sebab (itu) saya perlu seimbangkan dengan keperluan tugas, realiti kehidupan, perkara-perkara yang perlu ditangani. Saya minat menulis, tapi saya tidak minat menjadikan penulisan itu sebagai sesuatu yang utama dalam kehidupan saya.   

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan