Skip to main content

Iklan

Iklan

5 Soalan Bersama...Huda Ali @ si Cantik Detektif

Anda kenal siapa si Cantik Detektif? Beliaulah yang sudah membongkar pelbagai ‘rahsia’ kecantikan kaum wanita di negara lain. Huda Ali namanya.

Anggaran Waktu Membaca:
5 Soalan Bersama...Huda Ali @ si Cantik Detektif

Huda Ali bersama suami dan anaknya. (Gambar-gambar: Huda Ali)

BERITAMediacorp: Anda kenal siapa si Cantik Detektif? Beliaulah yang sudah membongkar pelbagai ‘rahsia’ kecantikan kaum wanita di negara lain. Huda Ali namanya.

Tidak lama lagi Huda Ali akan mengajak anda mengembara mencari lebih banyak amalan kecantikan dalam Cantik Detektif musim keempat. Dalam banyak-banyak amalan kecantikan yang sudah dibongkar, yang mana satukah agaknya yang paling aneh bagi beliau?

Huda Ali, 31 tahun, yang juga pengasas syarikat penganjuran ‘pasar lambak’ - LalooLalang - berasa segan digelar usahawan. Mengapa?

Ayuh! Ikuti wartawan Khasanah Agost dalam segmen 5 Soalan Bersama...Huda Ali untuk mengenali beliau sebagai Cantik Detektif, tauke pasar lambak, seorang ibu dan apa yg beliau mahu lihat 10 tahun akan datang.

Huda Ali bersama suami dan anaknya. (Gambar: Huda Ali)

SOALAN 1

Khasanah: Mengapa para penonton mesti menyaksikan Cantik Detektif musim terbaru nanti? Apakah kelainannya berbanding Cantik Detektif sebelum ini?

Huda Ali: Tidak ada terlalu banyak perubahan dari segi konsep rancangan, kerana ia sudah agak sebati dengan para penonton. Sudah tentunya, musim kali ini lebih padat dan penuh dengan kandungan kecantikan dan kesihatan yang terbaru.

Anda boleh menyaksikan cara dan amalan kecantikan turun temurun (petua nenek moyang) dari setiap negara. Yang lebih ‘best’ lagi, saya bukan sahaja kembara untuk mencari rahsia kecantikan di negara-negara Asia Tenggara tetapi besar kemungkinan akan ke Eropah lagi!

SOALAN 2

Khasanah: Anda sudah mengembara ke banyak negara dalam misi untuk mengetahui amalan-amalan kecantikan wanita di merata dunia. Apakah amalan kecantikan yang paling pelik yang pernah anda cuba dan mengapa? Apakah pula tips kecantikan yang anda rasa mesti dicuba setiap wanita?

Huda Ali: Amalan yang paling pelik adalah memotong rambut mengunakan api sewaktu saya di Mumbai. Saya rasa macam saya berada di pertunjukan silap mata!

Tips kecantikan yang mesti dicuba (pula) adalah menggunakan kunyit untuk kedua-dua kecantikan dan kesihatan. Air kunyit bagus untuk bahagian dalaman wanita dan kunyit (juga) bagus untuk merawat luka dan sebagainya. Nak tahu dengan lebih lanjut silalah google! (ketawa)

(Gambar: Huda Ali/ Instagram)

SOALAN 3

Khasanah: Adakah anda memang menyimpan hasrat untuk menjadi seorang usahawan atau ia bermula tanpa disangka-sangka? Apakah projek terbaru LalooLalang? Boleh anda kongsi?

Huda Ali: Secara jujurnya, sehingga hari ini saya masih rasa kecil sangat dan segan untuk dikenali sebagai seorang 'usahawan' kerana saya tidak pernah melihat LalooLalang sebagai satu model perniagaan di mana saya harus sentiasa berasa tertekan atau terkejar-kejar untuk 'mencari keuntungan’.

Cukup jika acara yang saya anjurkan itu dapat menanggung kos logistik dan kos umum serta mencapai objektif sebenar, iaitu untuk memberi platform kepada para usahawan tempatan dan memberikan pengalaman berbeza buat para pengunjung dalam setiap acara yang saya anjurkan…

Agak klise, (namun) pada masa yang sama, saya mengambil pendekatan ini sebagai satu cara untuk saya menyumbang kembali atau ‘give back to the community’ kepada mereka yang sentiasa menyokong kerjaya seni dan para usahawan tempatan.

Idea LalooLalang sebenarnya bermula tiga tahun dulu di mana wadah bisnis dalam talian baru hendak 'berkembang'. Pada masa itu, mungkin sebagai seorang personaliti TV, ramai para usahawan muda yang baru bermula berniaga menggunakan wadah media sosial saya sebagai tempat untuk promosikan bisnis mereka. ‘It was so overwhelming!’. (Jadi) saya mengambil inisiatif untuk menyatukan para peniaga online dalam satu acara sebagai tanda penghargaan dan sokongan saya terhadap bisnis mereka.

Boleh dikatakan, bila baru bermula tiga tahun dulu, semua orang berasa ragu-ragu tentang acara seperti ini kerana tidak banyak penganjur Melayu yang mengendalikan acara berkonsepkan 'pasar lambak'.

Tetapi Alhamdulillah mungkin dengan minat, niat dan objektif yang betul semuanya berjalan lancar hingga hari ini. Tahun ini pula, LalooLalang akan bekerjasama dengan beberapa pihak dan pertubuhan masyarakat untuk mengendalikan acara pada bulan Jun, Ogos dan mungkin akhir tahun, Insya Allah.

Huda Ali bersama suami dan anaknya. (Gambar: Huda Ali)

SOALAN 4

Khasanah: Anak anda, Leia Qaseh akan mencecah usia lima tahun tidak lama lagi. Apakah perkara paling mendewasakan yang anda pelajari daripada anak anda sendiri?

Huda Ali: Pengurusan masa amat penting. Dalam kesibukan dan ‘distractions in life’, saya akan pastikan untuk mencari masa bersama Leia Qaseh dan keluarga. Dia membesar dengan pantas dan sekarang Leia Qaseh sangat rapat dengan saya. Apa yang saya lihat dan pelajari adalah semakin anak itu membesar, mereka memerlukan lebih perhatian, kasih sayang dan sokongan sepenuhnya. Saya bersyukur kerana saya dapat melihat beliau membesar di depan mata saya sendiri.

SOALAN 5

Khasanah: Lengkapkan ayat berikut tidak melebihi 100 perkataan: “Huda Ali dalam tempoh 10 tahun akan datang…

Huda Ali: Hmmm...Insya Allah, semoga program kegemaran saya Cantik Detektif diteruskan! (ketawa) Sentiasa diberi kesihatan dan rezeki untuk bersara awal. (ketawa) Mungkin anda akan kurang melihat penglibatan saya dalam bidang seni TV untuk terus memberi fokus kepada keluarga, LalooLalang dan kerja-kerja kemasyarakatan.

Saya juga berpendapat bahawa dalam kehidupan dunia dan teknologi hari ini, kita harus sentiasa mencari dan melakukan sesuatu yang baru dan segar untuk kekal relevan dan sentiasa bersemangat baru!

Seperti mana kita inginkan ilmu duniawi, saya juga ingin bekalkan diri dengan ukhrawi, Insya Allah. Saya juga menyimpan impian, jika ada rezeki dan kesihatan, saya ingin mengembara mengelilingi dunia bersama keluarga dan sebarkan kebahagian serta sifat yang positif!! 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan