Skip to main content

Iklan

Iklan

5 Soalan Bersama... Dr Yaacob Ibrahim

Tidak seperti tahun-tahun sebelumnya, isu-isu yang dikupas dalam Rapat Umum Hari Kebangsaan 2017 oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong, nampaknya lebih fokus kepada isu-isu tempatan. 

Anggaran Waktu Membaca:
5 Soalan Bersama... Dr Yaacob Ibrahim

(Gambar: BERITAMediacorp)

Diterbitkan : 23 Aug 2017 11:32PM Dikemas Kini : 23 Aug 2017 11:39PM

BERITAMediacorp: Tidak seperti tahun-tahun sebelumnya, isu-isu yang dikupas dalam Rapat Umum Hari Kebangsaan 2017 oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong, nampaknya lebih fokus kepada isu-isu tempatan.

Meskipun begitu, jika direnung kembali, isu-isu tersebut tidak kalah penting. Isu kesihatan, negara bijak dan pendidikan prasekolah, semuanya berkaitan dengan masa depan negara dan perlu dititikberatkan masyarakat Melayu/Islam, kata PM Lee.

Sehari selepas Rapat Umum Hari Kebangsaan (21 Ogos), Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam Dr Yaacob Ibrahim dijemput ke bilik BERITAMediacorp untuk mengulas secara langsung tentang isu-isu yang diketengahkan PM Lee itu.

Dalam segmen '5 Soalan Bersama...', mari kita ikuti kupasan Dr Yaacob terhadap isu-isu berkaitan dengan masyarakat Melayu/Islam.

SOALAN 1

BERITAMediacorp: Menyentuh tentang Negara Bijak, PM Lee mengatakan Singapura masih ketinggalan di belakang negara lain dari aspek teknologi. Sejauh mana isu ini ketara dalam kalangan masyarakat Melayu?

Dr Yaacob: Lebih banyak syarikat pemula SME sudah mula menggunakan IT untuk mendapat ganjaran yang lebih tinggi. Saya berharap SME Melayu juga akan tampil ke hadapan untuk memanfaatkan peluang sedia ada oleh pemerintah seperti program SMEs Go Digital yang membantu peniaga-peniaga mengatasi cabaran masa kini.

SOALAN 2

BERITAMediacorp: Bagaimana anda melihat sektor keselamatan siber boleh meluaskan peranannya sedang Singapura menuju ke arah visi Negara Bijak?

Dr Yaacob: Tanpa keselamatan siber, kita tak akan menjadi Negara Bijak. Setiap kali kita mengadakan satu sistem IT yang baru, akan ada satu sistem keselamatan siber. Ini satu peluang yang baik di mana kalau seseorang memilih bidang ini, insyaAllah akan mendapat pekerjaan. Bidang ini diperlukan dalam semua lapisan ekonomi - dari perbankan, media dan sebagainya.

SOALAN 3

BERITAMediacorp: Pemerintah akan melaburkan S$1.7 bilion dalam sektor pendidikan prasekolah. Bagaimana masyarakat Melayu boleh memanfaatkan pelaburan ini?

Dr Yaacob: Pertama, kita boleh jangkakan mutu pendidikan baru dengan adanya pelaburan untuk mengasah kemahiran pendidik kita. Dengan mutu pendidikan yang lebih baik pula, anak-anak kita akan mendapat 'early start' iaitu pendedahan awal kepada pendidikan. Mendaki juga akan terus menolong masyarakat Melayu/Islam dari segi sumbangan kewangan dan aspek lain. Jadi saya rasa ini suatu peluang yang baik untuk menolong masyarakat kita maju ke hadapan dari segi pekerjaan dan dari segi masa depan anak-anak kita.

Prasekolah yang dikendalikan badan-badan Melayu kita juga boleh memanfaatkan semua inisiatif seperti ini. Ini satu peluang yang baik untuk mempertingkatkan mutu tadika-tadika mereka.

SOALAN 4:

BERITAMediacorp: Mengapa isu kencing manis, sesuatu yang tidak asing lagi, ditekankan lagi dalam rapat umum tahun ini?

Dr Yaacob: Saya rasa PM Lee ingin memberi kesedaran menyeluruh kepada semua lapisan masyarakat bahawa ini suatu perkara yang tidak boleh diendahkan. Bagi masyarakat kita, kita tahu ini suatu perkara yang penting oleh kerana kita tahu banyak yang telah diusahakan oleh golongan-golongan di masjid, geng-geng sihat dan sebagainya untuk tampil ke hadapan dan menolong masyarakat kita untuk mengadakan gaya hidup yang lebih sihat. PM Lee ingin kita lebih prihatin dengan kesihatan sendiri. Lagi pula, saya rasa ini suatu isu yang penting kerana kita tahu bahawa ini akan terus meningkat kalau tidak dikawal lebih awal. Ini peluang bagi masyarakat kita untuk menunjukkan kebolehan kita untuk menyesuaikan diri kepada gaya hidup sihat bagi masa depan masyarakat dan negara kita.

SOALAN 5

BERITAMediacorp: Sebagai seorang Menteri, bagaimana anda mengamalkan gaya hidup sihat?

Dr Yaacob: Apabila anak-anak saya masih kecil, saya tidak terus pulang setelah menghantar mereka ke sekolah. Saya akan langsung ke taman, Bedok Reservoir dan sebagainya untuk bersenam. Kini, mereka sudah dewasa. Jadi, apabila saya bangun pagi, setelah sembahyang subuh, insya-Allah saya akan keluar untuk berjalan pantas dan sebagainya, kalau ada masa. Kadang kala, saya juga berjalan di kawasan perumahan saya pada waktu petang sebelum kembali kepada kawasan pilihan raya. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan