Skip to main content

Iklan

Iklan

5 Soalan Bersama... Dr Intan Azura

Ada beberapa perkara yang mungkin anda masih tidak tahu tentang Dr Intan Azura Mokhtar walaupun selepas tujuh tahun beliau menjadi Anggota Parlimen. 

Anggaran Waktu Membaca:
5 Soalan Bersama... Dr Intan Azura

Anggota Parlimen Dr Intan Azura. (Gambar: Intan Mokhtar/ Facebook)

BERITAmediacorp: Ada beberapa perkara yang mungkin anda masih tidak tahu tentang Dr Intan Azura Mokhtar walaupun selepas tujuh tahun beliau menjadi Anggota Parlimen. Lumrah bagi setiap insan tidak dapat lari daripada cabaran. Begitu juga bagi ahli politik, tidak terlepas daripada pelbagai ujian kehidupan.

Bagi Anggota Parlimen GRC Ang Mo Kio, Dr Intan Azura, setiap cabaran dalam hidup ditempuhi dan seolah-olah menjadikannya seorang wanita yang lebih kuat dan tabah. Penyakit barah yang pernah dihadapinya satu ketika dahulu tidak menjadi hambatan untuk terus berbakti kepada masyarakat meskipun ia cabaran hidup yang paling sukar dalam kehidupannya dan tidak dapat beliau lupakan.

Hakikatnya, ramai yang tidak tahu bahawa Dr Intan sebenarnya bertanding dalam Pilihan Raya 2015 dalam keadaan beliau juga berjuang melawan penyakit barah tersebut. Itulah semangat perjuangan beliau yang disembunyikan daripada orang ramai.

Dr Intan Azura semasa Pilihan Raya Umum 2015. (Gambar: Intan Mokhtar/ Facebook)

Dr Intan Azura semasa Pilihan Raya Umum 2015. (Gambar-gambar: Intan Mokhtar/ Facebook)

Dalam segmen 5 Soalan Bersama kali ini, ibu kepada tiga orang anak ini turut berkongsi sedikit sebanyak tentang kehidupannya di luar bidang politik, termasuk tentang keutamaan dan harapannya sebagai seorang ibu.

Benarkah Dr Intan seorang yang sangat lemah lembut? Sampai bila beliau akan terus bergelumang dalam dunia politik? Ayuh ikuti 5 Soalan Bersama... Dr Intan Azura Mokhtar untuk mengenal beliau dengan lebih dekat lagi.

SOALAN 1

AFIQAH: Apakah cabaran yang paling sukar anda pernah lalui sehingga anda tidak dapat melupakannya sehingga saat ini?

DR INTAN: Sebenarnya, banyak cabaran yang sudah saya lalui. Tetapi yang paling mencabar adalah ketika saya mendapat tahu saya menghidapi penyakit barah pada tahun 2014.

Dalam masa setahun, saya menjalani tiga pembedahan dan radioterapi selama sebulan. Memang sukar kerana selain cuti sakit selama beberapa hari yang diberikan, saya tetap menjalankan tugas seperti biasa.

Dr Intan berkempen semasa Pilihan Raya Umum 2015. 

Kini saya masih dalam remission (barah tidak lagi dikesan). Saya masih dirawat dan perlu menjalani pemeriksaan dua kali setahun. Yang menjadi lebih sukar adalah ketika arwah bapa saya meninggal dunia tahun lalu disebabkan barah usus dan hati. Jadi saya harus terus bertekad, menjaga kesihatan, dan berdoa.

SOALAN 2

AFIQAH: Berapa lama anda rasa anda mahu terus bergelumang dalam politik? Kata orang, ‘politik kotor’. Apa pula kata Dr Intan setelah tujuh tahun menjadi seorang politikus?

DR INTAN: Politik itu kotor hanya jika kita yang membenarkan pelibatan politik kita menjadi sedemikian. Yang penting adalah niat kita. Niat saya melibatkan diri dalam politik adalah saya percaya ianya adalah langkah seterusnya setelah saya melibatkan diri dalam kerja sukarelawan dan kemasyarakatan selama beberapa tahun.

Melalui pelibatan politik, saya percaya, sedikit sebanyak, saya boleh membawa perubahan positif melalui program bagi para penduduk dan pengundi kawasan undi saya dan juga pada peringkat nasional.

(Gambar: Intan Mokhtar/ Facebook)

Dr Intan bersama para pemimpin Melayu lain dalam acara sambutan Hari Kebangsaan 2015. 

Saya hanya boleh merancang sejauh mana saya ingin melibatkan diri saya dalam dunia politik, tetapi Allah yang menentukan.

SOALAN 3

AFIQAH: Anda memang seorang yang sangat lemah lembut. Sukar untuk membayangkan bahawa Dr Intan boleh memarahi orang. Apakah sikap tersebut banyak diambil kesempatan oleh para pengundi? Apa pula yang ingin anda bicarakan secara terbuka?

DR INTAN: Ada yang menyangka kelembutan itu satu kelemahan. Tetapi ini hanya tanggapan mereka sahaja. Sikap lemah lembut ini juga ada kekuatannya. Walaupun saya kelihatan agak lembut, saya juga seorang yang tegas dan mempunyai pendirian sendiri... cuma jangan dicabar sahaja!

Di parlimen dan dalam sesi-sesi dialog dengan para penduduk atau pelbagai golongan masyarakat, saya tidak pernah mengehadkan diri saya dari membicarakan isu-isu yang sukar atau sensitif.

Dr Intan bersama kanak-kanak dalam satu acara yang dihadirinya. (Gambar: Intan Mokhtar/ Facebook)

Dr Intan bersama kanak-kanak dalam satu acara yang dihadirinya. 

Misalnya, di parlimen, saya membincangkan isu tudung, diskriminasi terhadap golongan minoriti, dan sekolah-sekolah Pelan Bantuan Khas (SAP). Saya percaya isu-isu sebegini harus terus dibincangkan supaya masyarakat memahami dasar-dasar negara kita serta hambatan yang dihadapi.

SOALAN 4

AFIQAH: Anda seorang ibu yang menceburi bidang politik. Apakah anak-anak tahu tentang apa sebenarnya kerjaya anda dan apakah anda ingin mereka mengikuti jejak anda satu hari nanti?

DR INTAN: Anak-anak kini memahami kerjaya dan tanggungjawab yang saya pikul. Saya bukan sahaja seorang Anggota Parlimen dan penasihat akar umbi tetapi juga seorang pakar akademik dan pensyarah. Jadi mereka tahu bahawa ibu mereka ini seorang yang agak sibuk!

Soal mereka mengikuti jejak saya menjadi seorang Anggota Parlimen kelak, saya rasa tidak mahu. Mereka dapat melihat sendiri apa yang saya lalui sebagai seorang ahli politik dan mereka tidak berminat.

Gambar fail. 

Saya ingin memberi mereka kebebasan untuk menentukan sendiri bidang yang ingin diceburi. Saya tidak mahu menetapkan hala tuju kehidupan mereka. Mereka boleh cari tahu sendiri apa yang diminati dan ceburi bidang yang disukai. Sejauh ini mereka tidak menyatakan hasrat untuk menceburi bidang politik. Tetapi, kita hanya merancang, Allah yang menentukan.

SOALAN 5

AFIQAH: Sejauh mana status anda sebagai 'Yang Berhormat' mempengaruhi kehidupan anak-anak anda? Apa yang menjadi keutamaan anda sebagai seorang ibu?

DR INTAN: Walaupun mereka tahu saya seorang Anggota Parlimen, bagi mereka, saya tetap ibu mereka – seorang yang akan menegur mereka jika mereka melakukan sesuatu yang kurang menyenangkan, dan juga seseorang yang akan sentiasa menyayangi mereka dan melindungi mereka daripada bahaya setakat kemampuan saya.

Dr Intan bersama seorang kanak-kanak yang ditemuinya. 

Saya sering menegaskan kepentingan akhlak mulia, kejujuran dan jati diri yang sempurna bagi anak-anak saya. Nilai-nilai inilah yang akan menjadi sauh dalam kehidupan mereka, supaya mereka tidak hanyut. 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan