5 Soalan Bersama...

Images
  • didicazli1
    Penyanyi Didicazli. (Gambar: Safar Samat)

5 Soalan Bersama... Didicazli

BERITAMediacorp: Tiada siapa yang dapat menafikan kehebatan penyanyi serta komposer tempatan yang berbakat Didicazli apabila beliau membawakan lagu-lagu ciptaannya sendiri seperti Dambaan, Rela Setia, Seribu Kenangan, Menyayangimu dan terkini Sejujurnya.

Kesemua lagu-lagu popular anak muda ini merupakan lagu-lagu berentak balada yang disenangi oleh peminat-peminatnya.

Sebelum ini, Didicazli juga pernah menghasilkan melodi untuk bakat baru bernama Hazirah Musfirah dari Projek Rising Star menerusi lagu balada juga iaitu Adanya Cinta. Yang membanggakan, single terkini Didicazli berjudul Sejujurnya berjaya memperolehi hampir 120,000 tontonan sejak lagu balada tersebut diedarkan pada umum pada 18 Januari 2018.

Namun, disebalik populariti lagu-lagu ciptaan serta nyanyian penyiar radio sambilan dari stesen RIA 89.7 FM itu, belum nampak lagi usaha Didicazli mempromosikan lagu-lagu nyanyiannya ke seberang tambak setakat ini sedangkan kebanyakan penyanyi-penyanyi tempatan kita seakan berlumba-lumba ingin cuba mencari ruang di seberang tambak sama ada untuk mempromosikan lagu-lagu nyanyian mereka ataupun cuba untuk menarik perhatian penggemar muzik yang berada di sana.


Mungkin juga beliau mempunyai strategi tersendiri bagi mempromosikan lagu-lagu hasil nukilan beliau.

BERITAMediacorp cuba menyelami isi hati penyanyi yang dilabelkan sebagai insan yang berjiwa sensitif oleh isterinya sendiri iaitu Nur Eliyana. Menurut Didicazli, "bagus juga dia (isteri) tahu dan dia pandai menjaga hati".


SOALAN 1

BERITAMediacorp: Didicazli seorang penyanyi/komposer yang cukup berbakat tetapi lebih banyak membawakan dan menghasilkan lagu-lagu balada seperti single terbaru Sejujurnya. Apakah Didi sememangnya berjiwa sentimental?

Didicazli: Hati saya tertarik pada lagu-lagu balada semenjak di sekolah rendah. Jiwa saya telah dipengaruhi oleh senikata dan melodi lagu-lagu balada seperti Suci Dalam Debu dari Iklim, Suratan Takdir dari Gersang, Umpama Mimpi Dalam Mimpi dari Damasutra, Gerimis Mengundang dari Slam dan banyak lagi lagu-lagu balada dari era 80-an dan 90-an. Sehinggakan perjalanan hidup saya dalam alam percintaan seperti mengikut jalan cerita lagu-lagu tersebut dan mempengaruhi jiwa saya sehingga menjadi sentimental sehingga kini.

SOALAN 2

BERITAMediacorp: Apakah membawakan/menciptakan lagu-lagu balada jauh lebih mudah untuk dicipta dan senang "masuk" untuk Didicazli? Mengapa?

Didicazli: Sebenarnya mencipta lagu-lagu balada lebih susah dari lagu-lagu rancak. Sebabnya lagu rancak mudah untuk mendapat rentak, senikata dan melodi yang menghiburkan. Tetapi untuk sebuah lagu balada menjadi sebuah lagu yang berjaya, ia perlu 'masuk' ke dalam hati pendengar sehinggakan lagu tersebut dapat menemani saat kesepian pendengar, menjadi pedoman, menjadi lagu yang berkaitan dengan percintaan yang sedang dilalui pendengar, ataupun sehinggakan menyebabkan berlinangan airmata.

Ini sesuatu yang sangat sukar dicapai kerana setiap aspek lagu balada itu perlu diteliti dari segi melodi, seni kata, susunan muzik, cara nyanyian, nada suara, pernafasan dan penjiwaan sebuah lagu. Ramai penyanyi boleh nyanyi, tapi tak ramai yang boleh menjiwai lagu sepenuhnya untuk sampaikan sebuah lagu balada. Saya juga masih belajar.

SOALAN 3

BERITAMediacorp: Dari mana ilham datang untuk hasilkan melodi yang mendayu-dayu seperti lagu Sejujurnya?

Didicazli: Ia biasanya datang tanpa dirancang apabila perasaan terkesan oleh sesuatu yang dilalui saat dan ketika itu. Sebab itu dalam telefon bimbit saya ada banyak rakaman 'voice note'. Di mana saja saya dapat ilham rangka melodi, saya akan rakam dahulu dan mendalami bila telah mendapatkan gitar.

Melodi lagu Sejujurnya pula adalah hasil gabungan tiga komposer, Titi Lestari dari Jakarta, Irwan Simanjuntak yang juga seorang penerbit besar yang berasal dari Jakarta, dan saya sendiri. Saya sekarang lebih suka bergabung dalam penciptaan lagu kerana ia dapat lebih mewarnai melodi lagu dengan pengaruh setiap komposer yang berbeza.


(Gambar-gambar: Safar Samat)

SOALAN 4

BERITAMediacorp:Didicazli tidak ingin dan tidak mahu mencuba keluar dari zon selesa seperti membawakan dan menghasilkan lagu-lagu rancak? Atau anda kurang yakin dengan kemampuan diri sendiri sebagai penyanyi yang serba boleh?

Didicazli: Saya hasilkan lagu berdasarkan target audiens saya. Saya ingin lagu-lagu saya dinyanyikan di Smule dan tempat- tempat karaoke. Saya ingin lagu-lagu saya boleh senang untuk 'jamming' oleh para belia. Saya ingin lagu-lagu saya menjadi siulan 10 atau 20 tahun dari sekarang. Jika kita pelajari lagu-lagu yang kekal ‘evergreen’ (malar segar) hingga kini, jumlah lagu-lagu dari tahun 80-an dan 90-an yang kekal ‘evergreen’ hingga kini kebanyakannya adalah lagu-lagu balada berbanding lagu rancak.

Tambahan pula, saya tiada minat untuk menyanyi lagu rancak sebab saya tidak ada feel untuk lagu-lagu rancak. Saya dengar lagu rancak hanya sebagai hiburan tapi tiada ilham untuk berkarya lagu-lagu sebegitu.

SOALAN 5

BERITAMediacorp:Apakah benar lagu-lagu nyanyian Didicazli seakan kurang dipromosikan di Singapura dan belum lagi di Malaysia? Mengapa tidak cuba promosikan di Malaysia seperti artis-artis Singapura lain yang berbuat demikian?

Didicazli: Alhamdulillah. Di Singapura saya telah terima sokongan yang kuat dari penyokong tempatan. Radio RIA 89.7 dan Warna 94.2 juga telah banyak sokong karya saya sejak 11 tahun yang lalu. Saya ada 7 lagu yang pernah menjuarai carta, 3 Anugerah APM dan 2 Anugerah Hitz Singapura. Saya kini hanya mengharapkan agar pendengar Singapura sudi untuk terus mendengar lagu lagu saya.

Saya belajar hak cipta muzik dan perniagaan muzik sejak 10 tahun lalu. Promosi itu adalah sebuah keputusan perniagaan yang harus ada pulangannya. Saya sudah kenal perniagaan muzik dan saya tahu yang adakalanya apa terlihat seperti kejayaan di kaca TV tidak sama dengan hakikat sebenar dalam pendapatan dari industri muzik. Jika perlu berhijrah ke seberang, saya hanya akan melakukan sedemikian jika saya berhijrah sebagai seorang rakan kongsi atau salah seorang pengarah syarikat muzik di Malaysia.

Saya tidak rasa 'frustrated' (kecewa) dengan diri sendiri disebabkan tidak ke seberang kerana itu bukan matlamat saya. Matlamat saya adalah dalam perniagaan. Saya rasa sangat bangga melihat pencapaian rakan rakan artis Singapura yang berjaya di Malaysia. Saya tahu mereka telah melalui berbagai cabaran untuk mencapai kejayaan di Malaysia. Saya doakan agar mereka semakin berjaya. Tidak mudah untuk menjadi artis yang berasal dari Singapura di seberang.  

- BERITAMediacorp/FH/im

Top