Skip to main content

Iklan

Iklan

5 Soalan Bersama... Dayang Nurfaizah

Sebut sahaja judul Lelaki Teragung, Di Pintu Syurga dan Seandainya Masih Ada Cinta, anda pasti tahu pemilik suara gemersik di sebalik lagu-lagu ini. Itu dia Dayang Nurfaizah, yang sudah berkecimpung dalam industri muzik sejak hampir 20 tahun lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
5 Soalan Bersama... Dayang Nurfaizah

Penyanyi Dayang Nurfaizah. (Gambar: Instagram/ Dayang Nurfaizah/Syed Faizal Syed Noh)

BERITAMediacorp: Sebut sahaja judul Lelaki Teragung, Di Pintu Syurga dan Seandainya Masih Ada Cinta, anda pasti tahu pemilik suara gemersik di sebalik lagu-lagu ini. Itu dia Dayang Nurfaizah, yang sudah berkecimpung dalam industri muzik sejak hampir 20 tahun lalu.

Malah, kemantapan vokalnya yang masih bertahan hingga ke hari ini juga membuatnya salah seorang penyanyi yang terus disegani dan diminati oleh penggemar muzik. Manakan tidak, beliau masih dapat membuktikan kekuatan suaranya selepas berjaya merangkul gelaran Vokal Terbaik tiga tahun berturut-turut pada Anugerah Juara Lagu 2014, 2015 dan 2016.

Tidak mudah terpalit dengan kontroversi mahupun gosip, yang jelas, Dayang Nurfaizah bijak "menjaga diri" dan peri laku sebagai figura yang dikenali dalam dunia seni.

Dalam segmen 5 Soalan Bersama... minggu ini, wartawan Ira Musfirah mencungkil pemikiran penyanyi berusia 36 tahun yang berasal dari Kuching, Sarawak ini.

SOALAN 1

Ira: Apa perbezaan sambutan Hari Raya tahun ini berbanding tahun-tahun lalu?

Dayang: Tiap-tiap tahun selalunya saya balik Kuching tapi tahun ini berbeza sebab keluarga saya di Kuching beraya bersama saya. Jadi itu satu perbezaan agak besar bagi saya sebenarnya. Selalunya susah bagi saya beraya selain jika berada di Kuching, tapi sebab tahun ini tak balik kampung, adik-beradik dan ibu bapa saya datang beraya bersama-sama dengan saya.

SOALAN 2

Ira: Lagu "Haram" bersama Hael Husaini beri kelainan kepada muzik Dayang. Bagaimana tercetusnya lagu itu?

Dayang: Lagu Haram tidak dijangkakan untuk saya sendiri pun. Sebenarnya dia pernah ajak saya sebelum ini, sebelum AJL rasanya. Jadi bila dia serius untuk buat duet ini, dalam masa sekejap saja dia buat dan siapkan lagu. Saya pun cari masa untuk 'recording', tiba-tiba dia jadi (ia terhasil).

SOALAN 3

Ira: Dayang belum pernah menghasilkan duet sebelum ini. Apa yang membuat Dayang bersetuju untuk berkolaborasi?

Dayang: Alhamdulillah, sebenarnya saya risau juga, jadi bila dia ajak berduet, saya kata kita cuba dulu, kita tengok macam mana. Sebab saya tak nak sekadar berduet, kena tengok sesuai ke tak. Jadi bila di studio, kita cuba, macam boleh. Yang buat saya suka, adalah lagu itu sendiri, berbeza daripada lagu-lagu saya. Saya seronoklah sebab selalu kita perform solo atas pentas, tapi bila berdua, energy dia lain sikit.

(Gambar-gambar: Instagram/ Dayang Nurfaizah)

SOALAN 4

Ira: Apa yang mendorong Dayang untuk terus berkecimpung dalam industri muzik selepas hampir 20 tahun?

Dayang: Saya rasa semangat itu sendiri yang menolong saya, selain sokongan daripada peminat kerana itu penting juga. Tapi kalau semangat itu tak ada, kita akan berhenti separuh jalan. Semangat itu sendiri yang memberi saya kekuatan dan mendorong saya untuk meneruskan kerjaya dalam industri muzik.

SOALAN 5

Ira: Apa rancangan seterusnya bagi kerjaya Dayang?

Dayang: Selain memberi tumpuan kepada single "Dia" dan "Layarlah Kembali", sekarang ini pun sedang mula kumpul bahan untuk album terbaru. Ia akan ambil masa yang lama dan (masih) mencari-cari tetapi saya cuba sentiasa berikan yang terbaik dari segi album dan karya-karya muzik untuk pendengar saya. Harap-harap sokongan peminat pun akan membuat saya menjadi semakin bersemangat untuk menghasilkan album seterusnya.

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan