Skip to main content

Iklan

Iklan

5 Soalan Bersama...Dato’ Fazley Yaakob

Beliaulah penyanyi, beliau juga pelakon dan pengacara. Bukan itu sahaja, beliau juga pakar motivasi. Tetapi kini beliau lebih terkenal sebagai seorang cef!

Anggaran Waktu Membaca:
5 Soalan Bersama...Dato’ Fazley Yaakob

Dato' Fazley Yaakob. (Gambar-gambar: Dato' Fazley Yaakob)

BERITAMediacorp: Beliaulah penyanyi, beliau juga pelakon dan pengacara. Bukan itu sahaja, beliau juga pakar motivasi. Tetapi kini beliau lebih terkenal sebagai seorang cef!

Masih ingat lagi Fazley Yaakob yang pernah popular dengan lagu ‘Asmara Ini’ satu ketika dahulu?

Boleh disifatkan sebagai seorang yang serba boleh, Dato’ Fazley atau nama penuhnya Ahmad Fadzli bin Datuk Yaakob, 40 tahun, berkongsi pengalaman memasak sehingga terhiris jari dan melecur tangan! Meskipun beliau sudah bergelar cef selama enam tahun, hidangan yang digemari Dato Fazley masih yang biasa-biasa sahaja. Apakah makanan itu?

Dalam artikel ini, wartawan Nurulkhasanah Agost turut mengajak anda mengetahui yang manakah peranan utama individu berbakat ini dan bagaimana untuk mengecap kejayaan. Teruskan membaca 5 Soalan Bersama...Dato Fazley Yaakob untuk mengetahui jawapan-jawapannya.

Dato' Fazley Yaakob. (Gambar: Dato' Fazley Yaakob)

SOALAN 1

Khasanah: Ini soalan berangkai untuk anda: Bilakah kali pertama anda sedar anda minat bidang masakan? Apakah hidangan pertama yang pernah anda masak, dan antara masakan Melayu dan masakan Barat, yang mana anda lebih gemari?

Dato’ Fazley: Seawal usia lima tahun, saya sudah membantu ibu dan nenek di dapur sewaktu di kampung di Negeri Sembilan. Selain itu, ayah saya adalah seorang peniaga mi goreng. Justeru, minat memasak sudah lama wujud dalam diri. Masakan pertama saya adalah Nasi Goreng Telur Masin. Saya seorang penggemar telur masin. Kebiasaannya, saya akan goreng nasi putih yang tidak habis dimakan.

Sejujurnya, saya suka makanan Melayu apatah lagi dibesarkan dalam suasana kampung. Cuma kalau memasak, saya lebih suka menu campuran antara Melayu dan Barat; fusion. Ini disebabkan saya belajar dan merantau di luar negara sekaligus memperoleh banyak pengalaman di tempat orang.

SOALAN 2

Khasanah: Apakah kesilapan paling teruk yang pernah anda lakukan semasa memasak?

Dato’ Fazley: Antara pengalaman pahit pernah dirasai adalah terhiris jari tangan. Tidak hanya itu, pada waktu yang sama api di dapur (semasa) memasak marak secara tiba-tiba lalu menyambar menyebabkan tangan saya melecur.

SOALAN 3

Khasanah: Jika anda diberi peluang untuk mengubah sesuatu dalam kehidupan anda, apakah perkara itu dan mengapa?

Dato’ Fazley: Saya rindu zaman belajar di New Zealand (dan) pada waktu itu sambil bekerja sebagai tukang cuci tandas di sebuah restoran. Menariknya, saya dapat menyaksikan pelbagai karakter sebenar manusia. Saya juga merindukan kenangan berambut panjang. Seronok apabila rambut ditocang.

Dato' Fazley Yaakob. (Gambar: Dato' Fazley Yaakob)

SOALAN 4

Khasanah: Anda seorang penyanyi, pengacara, pakar motivasi dan juga seorang cef. Bolehkah anda letakkan peranan-peranan ini mengikut aturan (dengan nombor satu menjadi peranan paling utama bagi anda). Apa lagi peranan lain yang mahu anda mainkan dalam kehidupan anda dan mengapa?

Dato’ Fazley: Mengikut aturan - cef, penyanyi, pakar motivasi, hos televisyen dan pelakon. Pada waktu yang sama, saya juga memikul tanggungjawab sebagai ayah, suami, anak serta abang kepada adik-adik. Setiap peranan ini sudah saling melengkapi antara satu sama lain. Saya adalah individu yang amat memberikan keutamaan terhadap keluarga.

SOALAN 5

Khasanah: Jika anda diminta memberikan satu sahaja nasihat untuk anak-anak muda, apakah nasihat itu?

Dato’ Fazley: Nasihat (saya) kepada anak muda, jika anda gagal dalam mencuba sesuatu perkara, jangan lekas putus asa atau kecewa. Jangan sesekali kita hentam orang lain atas kegagalan mereka. Terima setiap kekurangan dengan sepenuh hati. Tidak ketinggalan, sentiasa raikan kelebihan orang lain di sekeliling kita. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan