Skip to main content

Iklan

Iklan

5 Soalan Bersama… Chef Siti Mastura

Kepakarannya dalam bidang membuat kek dan kuih memang tidak dapat disangkal. Malah, Chef Siti Mastura sebenarnya hanya mula menceburi bidang tersebut dalam lingkungan usia lewat 20-an tahun sejak sekitar 20 tahun lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
5 Soalan Bersama… Chef Siti Mastura

Chef Siti Mastura. (Gambar: Chef Siti Mastura/ Facebook)

BERITAMediacorp: Kepakarannya dalam bidang membuat kek dan kuih memang tidak dapat disangkal. Malah, Chef Siti Mastura sebenarnya hanya mula menceburi bidang tersebut dalam lingkungan usia lewat 20-an tahun sejak sekitar 20 tahun lalu. Yang jelas, pendorong utamanya adalah anak-anaknya, kerana beliau ingin membuktikan kepada dirinya bahawa beliau boleh menghasilkan hidangan kek dan kuih dari air tangannya sendiri demi mereka.

Mula mendalami bidang membakar kek secara profesional di sebuah ‘baking school’ di Prima, beliau kemudian berniat untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang itu dan berjaya meraih kelulusan Diploma.

Kini sibuk dengan kolaborasi dengan bintang Taiwan Wu Chun untuk meneroka beberapa hidangan kuih menjangkaui negara asal penyanyi itu di Brunei, Chef Siti Mastura kini turut mengajar di Malaysia dan turut berbincang untuk memberikan nasihat perunding kepada pelajar kulinari di Brunei. Bahkan, duta Prima Flour ini turut dijemput untuk memberikan demonstrasi di Australia.

Minggu ini, wartawan Ira Musfirah mencungkil sedikit sebanyak pengalaman dan kepakarannya dalam bidang membakar kek dan kuih.

1. Apa resipi pertama yang anda cuba, dan apa yang anda pelajari dari pengalaman tersebut?

Kuih pertama yang saya cuba adalah kuih bangkit bagi sebuah acara syarikat. Pada ketika itu, saya tidak mendapat respons yang baik kerana rakan-rakan sekerja saya enggan mencubanya, memandangkan saya tidak pernah mempunyai reputasi seorang pembakar kuih yang baik. Kini, selepas saya mempunyai pelajar-pelajar sendiri, saya sentiasa memastikan agar saya merasa hidangan mereka kerana saya tidak mahu mereka melalui pengalaman seperti saya.

Bagaimanapun, saya tidak berputus asa dan pengalaman itu mendorong saya untuk belajar dengan lebih tekun. Percubaan kedua saya adalah kek coklat yang memakan masa sehari untuk dibuat. Ia pula begitu berjaya sehingga rakan sekerja suami saya mula memesan kek yang sama setiap bulan. Itulah permulaan awal saya ke dalam dunia bisnes.

2. Antara cabaran utama sebagai seorang cef?

Memandangkan saya bermula pada usia yang agak lewat, cabaran utama saya sebagai seorang cef adalah ramai yang tidak mahu berkongsi tip bersama saya kerana mereka membuat andaian bahawa saya sudah mengetahuinya. Cabaran kedua saya adalah tentang bagaimana untuk membuktikan kepada orang ramai bahawa saya boleh melakukannya.

Malah, pada awalnya saya juga mempunyai pengalaman buruk apabila membeli tepung murah sehingga seorang pelanggan mengadu bahawa kek itu bercendawan dan tidak boleh dimakan pada hari berikutnya. Dari situlah saya sedar pentingnya menggunakan bahan berkualiti.

Bagaimanapun, cabaran utamanya kini adalah untuk menghasilkan kuih yang menarik yang memenuhi permintaan pelbagai warganegara dan masih mengekalkan tradisinya. Saya harus berdaya inovasi untuk memenuhi citarasa yang berbeza dan pada yang sama, menjadikannya lebih sihat.

3. Anak Chef Siti, Chef Sarah juga semakin mengikut jejak langkah ibunya. Apa nasihat seorang ibu kepada seorang anak?

Nasihat saya adalah tidak kira bagaimana berkembang maju bisnes anda sekalipun, sentiasa gunakan bahan berkualiti dan jangan memperdayakan pelanggan anda. Saya turut menasihati anak saya sedemikian.

Malah pelanggan pertamanya di Malaysia adalah Dato Siti Nurhaliza yang turut memuat naik online ‘cookie’ beliau dan betapa gemarnya beliau terhadap cookie tersebut. Anak perempuan saya dan rakannya juga menyediakan lebih 100 botol bagi acara privet Dato Siti baru-baru ini.

(Gambar: Chef Siti Mastura/ Facebook)

4. Tip mudah untuk menyediakan hidangan yang enak buat tetamu semasa rumah terbuka sempena Hari Raya ini?

Pertama sekali, tuan rumah harus sentiasa memikirkan tentang golongan usia tetamu yang berbeza, yang juga bermakna bahawa tidak semua tetamu gemarkan makanan pedas. Oleh itu, seseorang itu boleh cuba menyediakan hidangan makanan bagi pelbagai golongan usia.

Adalah penting untuk merancang dan membeli bahan dengan lebih awal. Anda juga boleh menyediakan barangan tersebut dan membekukannya dahulu. Meskipun begitu, tidak semua bahan harus dibeli lebih awal! Ada yang mesti dibeli segar bagi mendapatkan rasa yang terbaik.

5. Nasihat Chef Siti bagi mereka yang berminat untuk terlibat dalam bidang membuat kek dan kuih?

Ia bukannya suatu perjalanan yang mudah tetapi anda harus berusaha bersungguh-sungguh dengan minat yang mendalam. Tanpa dua kualiti ini, adalah amat mudah untuk berputus asa. Satu lagi tip adalah untuk mendapat maklum balas mengapa sesetengah orang tidak menggemari kek-kek tertentu dan sentiasa mempertingkatkan diri.

Malah, satu pengajaran penting adalah bahawa tiada sesiapa pun yang terlambat untuk mempelajari sesuatu bidang itu jika diberikan peluang. Antara kata-kata yang paling saya suka adalah untuk selalu mempelajari kemahiran yang tiada siapa dapat ambil daripada anda. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan