Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

5 Soalan Bersama...Cassidy La Crème

Tahukah anda, Cassidy La Creme (dahulu dikenali sebagai Cassidy Anderson) yang pernah popular di media sosial menerusi lagu 'Ombak Rindu', pandai menggunakan perkataan 'lepak' semasa di Singapura?

Anggaran Waktu Membaca:
5 Soalan Bersama...Cassidy La Crème

Cassidy Anderson atau Cassidy La Creme. (Gambar-gambar: Cassidy La Creme/Instagram)

BERITAMediacorp: Tahukah anda, Cassidy La Creme (dahulu dikenali sebagai Cassidy Anderson) yang pernah popular di media sosial menerusi lagu 'Ombak Rindu', pandai menggunakan perkataan 'lepak' semasa di Singapura?

Namun Cassidy juga tidak selalunya faham maksud bait-bait lagu Melayu yang perlu dinyanyikannya. Jadi, bagaimana agaknya beliau menghayati lagu?

Sekalipun begitu, diam tak diam beliau sudahpun mengeluarkan 'single' pertama dalam bahasa Melayu.

Wartawan Nurulkhasanah Agost mengajak anda mengenali 'minah salleh' yang 'terer' menyanyikan lagu-lagu Melayu ini dalam wawancara 5 Soalan Bersama...Cassidy La Creme.

Cassidy Anderson atau Cassidy La Creme. (Gambar-gambar: Cassidy La Creme/Instagram)

SOALAN 1

KHASANAH: Hello Cassidy! Anda pernah menetap di Singapura satu ketika dulu. Berapa lama sebenarnya? Apa yang anda gemarkan tentang Singapura dan adakah anda merancang untuk ke Singapura dalam masa terdekat ini?

CASSIDY: Hello! Ya dulu saya tinggal di Singapura selama tiga tahun. Dari Oktober 2009 hingga November 2012. Pada masa itu saya kerja di Universal Studios Singapore (USS) sebagai Marilyn Monroe dan saya selalu ‘lepak’ dengan kawan-kawan Singapura. Mereka memperkenalkan saya kepada budaya, muzik, filem dan Bahasa Melayu.

Saya memang suka tinggal di Singapura dan memang rindu Singapura sehingga sekarang. Saya gemarkan gaya hidup Singapura, penduduknya dan tentu sekali makanannya serta beli-belah. Saya sentiasa rasa selesa di Singapura dan selalu ternanti-nantikan peluang untuk ke sana lagi.

Cassidy Anderson atau Cassidy La Creme. (Gambar-gambar: Cassidy La Creme/Instagram)

SOALAN 2

KHASANAH: Sudah sekitar enam tahun sejak anda pertama kali ‘viral’ di media sosial sebagai ‘mat saleh’ yang menyanyikan lagu-lagu Melayu. Malah anda juga merakamkan lagu sendiri dalam bahasa Melayu. Bagaimana anda 'tangkap feel’ setiap kali anda mendendangkan lagu yang seni katanya berbahasa Melayu? Sukar atau tidak, memandangkan bahasanya berbeza.

CASSIDY: Sudah lebih enam tahun dan sejauh ini perjalanan saya (dalam industri) amat menakjubkan. Semasa kami merakamkan ‘cover’ Ombak Rindu dalam bahasa Melayu, saya tidak menjangkakan ia akan menjadi kerjaya saya. Saya amat bertuah dan ini sememangnya pengalaman yang mencabar dan menarik.

Semasa Cassidy berumur antara 11 hingga 14 tahun, saya belajar nyanyian opera/klasikal dan gaya nyanyian itu memerlukan seseorang untuk menyanyi dalam pelbagai bahasa. Misalnya Perancis, Itali, Jerman dan sebagainya. Jadi saya rasa pengalaman itu membantu saya menyesuaikan diri untuk mendendangkan lagu dalam bahasa Melayu.

Walaupun saya tidak selalunya faham maksud setiap perkataan bagi lagu-lagu yang saya nyanyikan, saya selalu cuba mendapatkan bantuan daripada kawan-kawan atau cikgu saya, jadi saya boleh faham maksud keseluruhannya dan menyerlahkan emosi yang betul. Saya masih lagi berusaha untuk bercakap dalam bahasa Melayu tetapi untuk menyanyi dalam bahasa itu saya rasa lebih senang untuk saya.

Cassidy Anderson atau Cassidy La Creme. (Gambar-gambar: Cassidy La Creme/Instagram)

SOALAN 3

KHASANAH: Mengapa anda memilih mengembangkan kerjaya seni di Asia, khususnya di Malaysia dan bukan di tanah air sendiri, Australia?

CASSIDY: Ia bukanlah keputusan yang dibuat secara sengaja. Secara kebetulan ia menjadi laluan yang sudah ditentukan kehidupan untuk diri saya. Pertama kali saya melancong ke Asia semasa berusia 10 tahun dan sejak itu saya sentiasa berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang budaya Asia.

Ini kerana ia jauh berbeza dengan apa yang sudah didedahkan kepada saya semasa di Malaysia. Saya dibesarkan dan dididik untuk menghormati budaya lain dan berusaha memahaminya. Menerusi prinsip itu, yang diterapkan oleh kedua ibu bapa saya ke dalam diri saya, saya bangunkan kerjaya saya.

Saya berjaya sebagai seorang penghibur semasa di Australia. Namun, saya tidak pernah merasa terpanggil untuk mencuba menembusi industri muzik Australia dan saya tidak pernah berniat untuk menjadi seorang artis rakaman. Saya hanya gemar untuk membuat persembahan dan mengikut gerak hati untuk melakukannya di mana saja kerjaya itu bawa saya.

Sekalipun begitu, saya tidak akan sekali-kali menukar kerjaya saya sekarang. Saya rasa saya bertuah kerana mendapat peluang unik seperti ini dan tentu sekali saya akan terus melakukannya selagi peluang itu masih ada.

Cassidy Anderson atau Cassidy La Creme. (Gambar-gambar: Cassidy La Creme/Instagram)

SOALAN 4

KHASANAH: Anda pernah disenaraikan sebagai calon penyanyi baru dalam Anugerah Planet Muzik 2012. Kini dengan adanya single terbaru berjudul Seperti Dia, adakah mungkin ia dapat disenaraikan dalam mana-mana anugerah muzik?

CASSIDY: Saya tidak pasti apakah yang akan berlaku pada masa akan datang. Apa sahaja boleh berlaku, cuma pencalonan seperti itu di luar kawalan saya, maka saya tidak begitu memikirkannya. Jika saya dicalonkan, saya amat berterima kasih meskipun ia bukan sesuatu yang saya jangkakan. Tumpuan utama saya buat masa ini adalah untuk merakamkan ‘single’ seterusnya.

SOALAN 5

KHASANAH: Media sosial memainkan peranan begitu besar sebagai salah satu sumber kejayaan anda di Malaysia. Banyak yang baik, banyak juga buruknya. Sebagai seorang figura awam, pernahkah anda sendiri menjadi mangsa buli online? Jika pernah, apakah yang berlaku dan bagaimana anda menanganinya?

CASSIDY: Tentu sekali. Saya bernasib baik kerana tidak terlalu kerap menerima komen-komen berunsur kebencian tetapi kadangkala ia tetap ada. Saya cuba mengingatkan diri saya bahawa terdapat ribuan orang yang masih menyokong saya. Anda tidak boleh membuat semua orang sukakan anda.

Salah satu penyesuaian paling besar yang perlu saya lakukan adalah membiasakan diri dengan norma-norma kehidupan di Asia, di mana ia seolah-olah ‘okay’ untuk seseorang mengeluarkan komen-komen tentang berat badan orang lain. Saya rasa perbuatan memalukan seseorang dengan mengejek berat badan mereka begitu ketara sekali di sini.

Malah bukan setakat di media sosial. Ia juga boleh berlaku di depan mata. Saya sendiri berdepan dengan isu ini.Namun saya memperjuangkan rasa cinta kepada diri sendiri dan saya dapati, apabila seseorang melontarkan komen-komen negatif, ia sebenarnya mencerminkan diri mereka sendiri.

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan