Skip to main content

Iklan

Iklan

5 Soalan Bersama... bos Adrianna Yariqa - Nurlida Yusof

Meskipun baru mengorak langkah dalam persada fesyen sekitar empat tahun lalu, jenama tempatan ini jelas kian mendapat perhatian bukan sahaja di Singapura, malah di sebarang tambak juga. Yang pasti, jenama Adrianna Yariqa (AY) cukup menyerlah dan mudah dikenali menerusi rekaannya yang unik.

Anggaran Waktu Membaca:
5 Soalan Bersama... bos Adrianna Yariqa - Nurlida Yusof

Pemilik Adrianna Yariqa, Cik Nurlida Yusof dengan salah satu rekaan pakaiannya. (Gambar: Nurlida Yusof)

BERITAMediacorp: Meskipun baru mengorak langkah dalam persada fesyen sekitar empat tahun lalu, jenama tempatan ini jelas kian mendapat perhatian bukan sahaja di Singapura, malah di sebarang tambak juga. Yang pasti, jenama Adrianna Yariqa (AY) cukup menyerlah dan mudah dikenali menerusi rekaannya yang unik.

Bermula secara online melalui laman media sosial, jenama tersebut kian berkembang dan semakin diterima oleh orang ramai, sehingga pengikutnya di Instagram menjangkau 43,400!

Juga sering berkolaborasi dengan artis tempatan dan juga di Malaysia, jenama Adrianna Yariqa juga merupakan cetusan idea pemilik dan perekanya, Cik Nurlida Yusof selepas beliau meraih diploma dalam kajian fesyen dari Akademi Seni Halus Nanyang (NAFA).

Dalam segmen '5 Soalan Bersama...' minggu ini, wartawan Ira Musfirah bertanyakan Cik Nurlida tentang AY, konsepnya, harapan beliau tentang jenama fesyen tempatan, serta koleksi Hari Raya Adrianna Yariqa untuk Syawal ini.

SOALAN 1

Ira: Dari mana tercetusnya nama 'Adrianna Yariqa'?

Nurlida: Ketika sedang memikirkan nama bagi jenama ini, saya sedang hamil dengan anak pertama saya. Saya dan suami sudah menyediakan kedua-dua nama bagi bayi lelaki dan perempuan. Tetapi apabila saya diberitahu akan mendapat anak lelaki, secara tidak langsung, nama "bayi" saya yang satu lagi diberi nama Adrianna Yariqa.

SOALAN 2

Ira: Bagaimana konsep pakaian AY, dan mengapa?

Nurlida: Saya mula mereka pakaian bagi pasaran Melayu/Islam, iaitu baju-baju kurung. Saya sudah lama sedar saya perlu mereka sesuatu yang berbeza daripada orang lain dan menghasilkan satu 'trademark'. Oleh itu, saya mendapat idea untuk menyediakan kocek kecil dalam rekaan kami. Sehingga kini, orang ramai dapat mengaitkan kocek kecil itu dengan jenama AY.

SOALAN 3

Ira: Boleh anda berkongsi tentang koleksi Hari Raya terbaru dari AY?

Nurlida: Koleksi Lebaran terbaru AY bertemakan Warisan. Kami mereka pakaiannya ala-ala baju kurung Pahang, baju kurung Kedah dan memberikan sentuhan moden pada rekaan kami. Kami juga cuba mencabar keselesaan di kalangan masyarakat dengan menggunakan warna yang terang bagi rekaan terbaru kami. Semua koleksi kami direka dengan set keluarga.

(Gambar-gambar: Nurlida Yusof/ Adrianna Yariqa)

SOALAN 4

Ira: Salah satu kolaborasi anda adalah FAZURA X AY. Bagaimana respons bagi koleksi pakaian tersebut?

Nurlida: Responsnya sangat memberangsangkan. Walaupun ia merupakan kali pertama kami membuat gaya sopan kasual, sokongan yang kami terima sangat menggalakkan. Pengalaman Fazura dalam pasaran kasual dan kami pula dalam pasaran gaya sopan saling membantu antara satu sama lain dan banyak rekaan kami sudahpun habis dijual. InsyaAllah kami akan merancang kolaborasi yang kedua pula.

SOALAN 5

Ira: Apa harapan anda bagi jenama AY dan harapan anda bagi industri fesyen tempatan Singapura?

Nurlida: Harapan saya bagi jenama saya ini adalah agar ia terus berkembang di peringkat serantau hingga ke pasaran seperti Brunei dan Indonesia dan tentunya ke pasaran antarabangsa. Bagi industri tempatan pula, saya berharap agar fesyen Singapura akan menjadi semakin berdaya maju di tengah-tengah pasaran global yang semakin berkembang.

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan