Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

5 Soalan Bersama...BJ Kadir

Ayuh, wartawan Nurulkhasanah Agost mengajak anda merisik khabar individu positif ini yang senyumannya tidak pernah lekang dari bibirnya - BJ Kadir.

Anggaran Waktu Membaca:
5 Soalan Bersama...BJ Kadir

BJ Kadir. (Gambar-gambar: BJ Kadir/Facebook)

BERITAMediacorp: “BJ kasi… 5 ‘O’!” Itulah bait-bait yang pernah menjadi gurauan dan ramai orang tahu. Siapa lagi penciptanya kalau bukan BJ Kadir. Nama yang tidak asing lagi dalam industri hiburan tanah air. Bagi yang jauh lebih muda, ini peluang untuk anda mengetahui siapa dia individu yang dikenali menerusi ‘trademark’ 5 O dan ‘beg kepit’nya.

Apa itu 5 O? Kenapa pula nombor 5 dan huruf O? Tahukah anda BJ Kadir atau nama sebenarnya Abdul Biji Bin Kadir juga tidak menggunakan telefon bimbit? Jadi apa yang ada di dalam beg kepitnya itu? Apa pula perkembangan terbaru beliau?

BJ, 67 tahun, memberitahu BERITAMediacorp, beliau suka menjadi penyambut di majlis-majlis perkahwinan.

Ayuh, wartawan Nurulkhasanah Agost mengajak anda merisik khabar individu positif ini yang senyumannya tidak pernah lekang dari bibirnya. Sikap beliau yang ramah juga pasti membuatkan sesiapa sahaja berasa ceria. Teruskan membaca 5 Soalan Bersama...BJ Kadir.

SOALAN 1

KHASANAH: BJ dikenali dengan ‘trademark’ 5 O bagi makanan yang lazat. Kenapa 5 dan kenapa huruf O?

BJ KADIR: Kita tak boleh kasi sampai 10. Banyak sangat. Jari kita sebelah kan ada lima saja. Pada waktu itu, sebelah tangan kadang-kadang pegang ‘mic’, kadang-kadang kepit beg. Kalau kiri sudah kepit beg, tangan kanan saja bergerak. Jadi lima lah. Tak boleh 10. Kalau 10 beg aku jatuh! (ketawa besar)

Kalau kepit beg tak boleh kasi 10. Jadi angkat tangan kasi 5 O. kalau 5 O itu kita kasi wah sudah dikira terbaik. Rasanya mesti sedap. (Huruf) O itu pula untuk Orang. Orang yang menonton, Orang yang makan. (ketawa)

Bila ditanya soalan ini, ia membuat saya mengimbau kenangan (Selamat Pagi Singapura). Bila kita pergi ke satu-satu restoran, kita beri gred. Besoknya restoran sampai tak ada benda nak jual. Sampai tak ada tempat untuk orang nak duduk. 5 O punya pengaruh! (ketawa) Kalau sekarang banyak aplikasi, sebelum pergi ke satu-satu tempat mereka boleh Google.

BJ Kadir. (Gambar-gambar: BJ Kadir/Facebook)

SOALAN 2

KHASANAH: BJ juga sering dilihat membawa ‘beg kepit’. Apa 5 benda penting yang ada dalam beg itu?

BJ KADIR: Tengok majlisnya. Kalau jenis bufet itu mesti ada beg kepit. Kalau majlis formal pun bawa beg kepit. Kalau nak pergi pasar tak boleh beg kepit lagi, pakai beg selempang. Kalau nak pergi bawa pelancong berjalan, dengan fail dan sebagainya bawai beg selempang. Tapi beg mesti nak ada. Tak ada beg saya teruk kerana saya tidak reti bagaimana nak simpan barang dalam kocek saya.

a. Pasport: Kalau nak ‘lari’ keluar senang. (ketawa). Mungkin kita jumpa kawan kita semua. Kalau diajak ke Malaysia, saya sudah ada pasport, pergi sajalah. Itu yang mustahak dalam beg.

b. Sikat: Dulu saya cari makan, saya bawa gunting dan sikat. Kita tukang gunting rambut. Mana-mana dalam dunia ini kalau kita pergi, contohnya melancong. Kalau tak ada duit, masuk saja satu kedai dan guntingkan rambut orang. Bila-bila mana anda boleh dapat duit. Tukang gunting, di mana-mana pun tak akan berlapar. Cuma sekarang gunting tak boleh dibawa.

c. Penyangkut: Kadang-kadang saya beli-belah. Saya tak macam dulu, boleh angkut barang. Jadi kalau naik bas, letak penyangkut dan kita boleh sangkut barang-barang. Tempat duduk sebelah orang lain boleh duduk. Kalau kita bawa makanan tak mungkin nak letak atas lantai kan.

d. Surah Yasin/ buku doa-doa terbaik: Kalau duduk dalam bus rasa bosan, saya boleh baca.

e. MP3: Saya tak gunakan telefon bimbit. Jadi saya masih lagi gunakan MP3. Orang keluarkan telefon bimbit dengar lagu, saya keluarkan MP3.

BJ Kadir. (Gambar-gambar: BJ Kadir/Facebook)

SOALAN 3

KHASANAH: BJ seorang yang murah senyuman, sentiasa positif. Bagaimana nak bentuk minda kita supaya sentiasa positif seperti anda?

BJ KADIR: Perkara yang sudah lepas kita biarkan berlalu. Ya, ada orang tak suka kita, ada orang suka kita. (Belajar untuk) Lepaskan (perkara-perkara negatif). Kita fokus kepada perkara-perkara yang membuat kita gembira. Yang membuat orang lain gembira. Itu penting.

Jujur dari hati saya, jika anda sentiasa gembira anda akan membuat orang di sekeliling anda juga gembira. Jika anda gembira, anda akan jauh dari segala penyakit.

Resepi (positif): Fokus dan gembira. Kalau (ada) orang-orang yang menyakitkan hati, jangan endahkan mereka. Jangan campurlah, kita ‘siam’ lah. Buat pusingan U-Turn. Banyak lagi manusia yang boleh duduk berbicara dan ketawa. Mengapa anda mahu duduk bersama orang-orang yang negatif? Memandangkan saya sentiasa dengan orang awam, saya belajar menerusi itu (pengalaman).

BJ Kadir. (Gambar-gambar: BJ Kadir/Facebook)

SOALAN 4

KHASANAH: Anda seorang figura awam, boleh melawak, anda juga pemandu pelancong, anda juga pengacara dan sebagainya. Peranan yang mana satu paling dekat di hati anda?

BJ KADIR: Peranan saya sebagai penyambut tamu di majlis-majlis perkahwinan. Setiap majlis perkahwinan jika ada peruntukan wang yang mencukupi perlu ada penyambut tamu. Tanpa penyambut tamu mak dan bapa pengantin tak dapat bermesra dengan saudara-mara dan kawan-kawan. Baru nak salam orang yang ini, orang yang lain datang. Betul tak?

Kalau ada penyambut tetamu kita bawa orang duduk. Bila dah duduk, dah makan, nanti mak pengantin boleh jumpa dan berbual-bual. Mak pengantin boleh dekati para tetamu boleh berbual, sekurang-kurangnya 30 atau 40 saat pun sudah bagus.

Saya sukakan kerja ini sebab ia fardu kifayah. Kasi orang gembira dan juga jalin silaturahim. Kita dapat jumpa orang yang sudah lama tak jumpa. Kita boleh ketawa dengan para tetamu yang datang. Boleh bersalam-salaman. Mungkin seorang tetamu itu dia pernah mengumpat kita ke apa ke, dari itu dia salam, kosong-kosong. Betul tak? Tak ada simpan dalam otak. Hari-hari boleh ketawa. Macam musuh yang bertahun-tahun tak jumpa, bila jumpa minta maaf. Habis...

BJ Kadir. (Gambar-gambar: BJ Kadir/Facebook)

SOALAN 5

KHASANAH: Sudah lebih 12 tahun anda melakukan kerja sebagai pemandu pelancong bebas. Apa pengalaman paling menakjubkan?

BJ KADIR: Saya dipanggil untuk melakukannya disebabkan pengalaman melancong membawa para pelancong lain. Agensi-agensi pelancongan jadi yakin dengan keupayaan saya. Kalau dipanggil saya buat lah. Kalau kita nak melancong sendiri setahun tiga atau empat kali, mana nak cekau duit kan. (Jadi) semuanya sudah diatur oleh agensi, (tugas) saya hiburkan pelancong, jaga mereka dan buat mereka gembira.

Saya juga bertuah. Pada bulan 12 lalu kami pergi ke Kutub Utara (North Pole). Jadi para pelancong nak tengok Aurora Borealis. Ada orang-orang dari Afrika, Malaysia semua datang (tapi) tak dapat (tengok). Jadi (satu) hari saya bertuah. Kita sampai (ada) Aurora Borealis. Selama hampir 40 minit. Sekejap-sekejap selepas itu kita dapat tengok lagi. Naik gunung nampak lagi. Kebanyakan masanya, dapat tengok.

Ada juga sekumpulan pelancong dari Malaysia. Selama lima hari mereka tunggu sahaja di satu tempat untuk melihat Aurora Borealis. Tapi masih tak dapat. Ada satu masa itu saya ada di hotel, bila saya tengok langit, ada Aurora Borealis! Jadi saya ketuk hotel punya dinding suruh mereka keluar dan tengok. Kalau tak, mereka tak dapat tengok kan. Selepas itu, Alhamdulillah mereka ucap terima kasih.

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan