Skip to main content

Iklan

Iklan

5 Soalan Bersama...Beto Kusyairy @Tok Kadi Sharul

Siapa yang tidak kenal dengan Beto Kusyairy 'aka' Tok Kadi Sharul bukan? Beliau lucu dan menghiburkan.

Anggaran Waktu Membaca:
5 Soalan Bersama...Beto Kusyairy @Tok Kadi Sharul

Pelakon Lelaki Terbaik dalam Watak Utama bagi Drama Bersiri, Beto Kusyairy. (Gambar: Mediacorp Suria/ Instagram)

BERITAMediacorp: Kehadirannya mewarnai persada drama televisyen Singapura sebagai seorang tok kadi mendapat sambutan luar biasa. Siapa yang tidak kenal dengan Beto Kusyairy 'aka' Tok Kadi Sharul bukan? Beliau lucu dan menghiburkan.

Dalam wawancara bagi segmen ‘5 Soalan Bersama...’ kali ini, pelakon utama drama Kisah Tok Kadi ini berkongsi dari mana datangnya nama 'Beto'. Memandangkan beliau sudah berpengalaman menjadi 'tok kadi' Beto turut berkongsi rahsia rumah tangga bahagia.

Ayuh, ikuti wawancara wartawan Nurulkhasanah Agost bersama Beto Kusyairy, yang terus menjadi Tok Kadi 'tidak bertauliah' tetapi diminati ramai penonton saluran Suria.

Kisah Tok Kadi musim 2 sudah boleh ditonton melalui Toggle. (Gambar-gambar: Mediacorp Suria)

Kisah Tok Kadi musim 2 sudah boleh ditonton melalui Toggle. (Gambar-gambar: Mediacorp Suria)

SOALAN 1

Khasanah: Nama penuh anda adalah Nurkusyairy Zakuan bin Osman. Anda dikenali pula dengan nama Beto Kusyairy. Dari mana datang nama Beto itu?

Beto Kusyairy: Beto adalah nama panggilan sewaktu bersekolah. Diambil dari nama watak ‘extra’ dalam filem Blood In Blood Out kerana nama-nama watak utama telah ditempah terlebih dulu oleh kawan-kawan kerana begitu ‘terpengaruh’ dengan filem yang bertemakan persahabatan itu.

Pada awal kemunculan (pula), saya hanya menggunakan Kusyairy tetapi mendapat nasihat daripada Datuk Rosyam Nor sewaktu penggambaran filem Syaitan supaya saya menggunakan dua patah nama dari hanya satu sebagai nama pentas. Maka tanpa fikir panjang saya ambil nama Beto & gabungkan dengan nama saya sendiri.

SOALAN 2

Khasanah: Drama Kisah Tok Kadi sudahpun masuk ke musim kedua. Anda sendiri seorang suami. Boleh anda kongsi dengan kami apakah nasihat paling bernas mengenai alam perkahwinan, yang anda pelajari daripada drama ini? Apakah persamaannya antara Ustaz Sharul dengan Beto sendiri?

Beto Kusyairy: Sabar, toleransi & jangan berhenti untuk menunjukkan kasih sayang di antara satu sama lain. Yang paling utama adalah doa.

Gemar beriadah, ikhlas bersahabat & mungkin mudah tersentuh dengan kepayahan orang yang dikenali.

Beto Kusyairy bersama isteri tercinta. (Gambar: Beto Kusyairy)

Beto bersama isteri tercinta. (Gambar: Beto Kusyairy)

SOALAN 3

Khasanah: Apakah 3 ciri utama yang ada dalam diri seseorang pelakon supaya setiap watak yang dilakonkan sedikit sebanyak dapat meninggalkan kesan kepada para penonton?

Beto Kusyairy: Yang pertama kena suka atau cinta dengan lakonan kerana dari situ akan hadir keikhlasan dan kesungguhan untuk menzahirkan watak yang dipertanggungjawabkan.

Yang kedua, selain bakat perlu ada ilmu. Ilmu ini luas dan bukan hanya dengan menghadiri kelas tapi juga dengan menonton hasil kerja pelakon-pelakon yang bagus serta mengkaji pilihan-pilihan tindakan mereka.

Yang ketiga adalah keyakinan diri. Seorang pelakon harus percaya dengan pilihan rasa dan tindakannya untuk membuatkan penonton turut percaya dan terkesan.

SOALAN 4

Khasanah: Katakanlah anda seorang pengarah atau penerbit filem, kongsi dengan kami satu filem yang ingin anda hasilkan dan bagaimanakah jalan ceritanya?

Beto Kusyairy: Saya suka filem yang boleh menyentuh hati dan mencetuskan pemikiran masyarakat kerana pada saya itulah fungsi filem selain sebagai hiburan.

Jika ditanya bagaimana filem saya, mungkin sebuah filem aksi yang bukan aksi semata tapi punya cetusan fikir. Jalan cerita? Mungkin seperti V For Vendetta.

Beto Kusyairy bersama isteri tercinta. (Gambar: Beto Kusyairy)

Beto bersama isteri tercinta. (Gambar: Beto Kusyairy)

SOALAN 5 

Khasanah: Apakah falsafah anda dalam kehidupan dan juga sebagai anak seni?

Beto Kusyairy: Dalam hidup, apa jua kerjaya dan status, segalanya adalah tentang membuat pilihan. Sama ada kita pilih untuk terus berada di situ atau bangkit dan berusaha mengubah dan memperbaiki.

Sama ada kita pilih untuk percaya atau sekadar selesa dengan sedia ada. Dan apabila kita memilih untuk mempelbagai, maka akan wujudlah kepelbagaian pilihan yang lain. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan