Skip to main content

Iklan

Iklan

5 Soalan Bersama… Awal Ashaari

Daripada membaca warta berita televisyen, kepada berlakon, kepada menjadi hos – termasuk menjadi pengacara ‘hangat’ rancangan Melodi selama enam tahun! Itulah Awal Ashaari. Beliau sememangnya bintang serba boleh yang popular di Malaysia.

Anggaran Waktu Membaca:
5 Soalan Bersama… Awal Ashaari

Selebriti serba boleh Malaysia, Awal Ashaari. (Gambar-gambar: Instagram / awalashaari)

BERITAMediacorp: Daripada membaca warta berita televisyen, kepada berlakon, kepada menjadi hos – termasuk menjadi pengacara ‘hangat’ rancangan Melodi selama enam tahun! Itulah Awal Ashaari. Beliau sememangnya bintang serba boleh yang popular di Malaysia.

Isteri beliau, Scha Al Yahya, juga seorang hos terkenal, model jelita dan juga berlakon.
Nampaknya kemahiran TV pasangan itu juga dicurahkan kepada anak beliau, iaitu Lara Alana, turut mengikuti jejak ibu bapanya. Lara kini mempunyai rancangan TV realitinya sendiri, iaitu Lara Oh Lara.

Jelas, ini satu keluarga selebriti yang mungkin dicemburui ramai orang di luar sana. Cantik/kacak, bijak dan pandai buat duit. Jelas juga, kehidupan sebagai ibu bapa menjadi keutamaan Awal sekarang ini, walaupun sibuk dengan kerja seni.

Wartawan Faris Alfiq bersembang dengan Awal baru-baru ini semasa selebriti Malaysia itu berada di Singapura, dan bertanyakan lima soalan kepada bintang berusia 36 tahun itu.

SOALAN 1

FARIS: Apakah perasaan anda sejak digelar ibu bapa muda?

AWAL: Ish, tak muda sangat. Kalau Lara masuk universiti saya pun dah tua. (Kalau boleh) saya nak putar balik masa dan kahwin lebih muda lagi. Kalau dah ada anak ini ia satu pengalaman yang amat berbeza dan saya nak lagi masa bersama anak kerana saya sendiri tidak tahu berapa banyak masa lagi yang kita ada. Masa berjalan amat pantas, sekarang dia dah tiga tahun. Ke mana masa semua pergi?

SOALAN 2

FARIS: Apa pula kenangan paling manis Awal?

AWAL: Sejak adanya Lara banyak kenangan manis dari (Lara) kecil sampai besar. Setiap kemajuannya dalam kehidupan, amat bangga sekali. Tetapi yang paling seronok adalah terdapat ciri-ciri saya dan mak dia dalam dirinya.
Jadi kadang-kadang perkara dia buat macam oh ini ciri-ciri saya. Lepas itu dia buat benda lain itu ciri ibunya. Ia semacam jadi cerminan diri sendiri. Kalau dia degil pun ini saya dulu.

SOALAN 3

FARIS: Prinsip atau pegangan hidup anda pula?

AWAL: Senang saja, saya tidak menerima ‘tidak’ sebagai jawapan. Kalau saya tidak boleh lakukan satu perkara saya akan memaksa untuk lakukannya. Tiada perkara yang saya rasa saya tidak boleh lakukannya, hanya nak atau tidak.

Jika ia bukan baik untuk saya kemudian lupakan sahaja. Saya cuba untuk lakukan perkara yang berbeza setiap hari. Mesti berani dan yakin.

SOALAN 4

FARIS: Ini soalan ‘open mike’, kalau anda ada nasihat untuk orang ramai di luar sana, mungkin ibu bapa muda – apa dia nasihat yang anda ingin kongsikan?

AWAL: Kepada ibu bapa baru yang pertama kali ada anak. Tiada salah atau betul dalam soal keibubapaan. Ia semuanya satu percubaan. Setiap kita dilahirkan dengan perangai yang berbeza, setiap kita mempunyai anak yang berbeza-beza.

Anak anda tidak sama dengan anak saya. Jangan takut apa orang cakap, jangan ambil bulat-bulat apa yang orang beritahu kita. Semua yang anda lakukan dengan keluarga anda anda harus mengalaminya sendiri. Perkara-perkara sebegini kita nak ikut pengalaman lain tetapi apabila tiba pada keluarga sendiri ia amat berbeza.

SOALAN 5

FARIS: Apakah satu perkara yang anda tidak boleh hidup tanpanya?

AWAL: Isteri saya lah. Selain itu telefon bimbit dan jam tangan. Saya kalau tak pakai jam saya rasa kehilangan. Saya akan berada di belakang jadual. Tak lengkap.

Scha Al Yahya, yang berada di sisinya semasa wawancara berlangsung, kemudian mencelah: Bukan ke awak memang selalu lambat darling?
  

Sumber : BERITA Mediacorp/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan