Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Zarina Yusof jadi wanita pertama ketuai AMP mulai 1 Feb

Buat pertama kalinya dalam sejarahnya, AMP, badan Melayu/Islam itu akan dipimpin oleh seorang ketua wanita.

Anggaran Waktu Membaca:
Zarina Yusof jadi wanita pertama ketuai AMP mulai 1 Feb

Zarina Yusof, Pemangku Pengarah Eksekutif AMP mulai 1 Feb 2020. (Gambar-gambar: AMP)

SINGAPURA: Buat pertama kalinya dalam sejarah AMP, badan Melayu/Islam itu akan dipimpin oleh seorang ketua wanita.

Mulai 1 Februari ini, Cik Zarina Yusof akan memimpin AMP selaku Pemangku Pengarah Eksekutif bagi menggantikan Pengarah Eksekutif sekarang, Encik Anuar Yusop, yang akan bersara.

Cik Zarina, 47 tahun, kini adalah Timbalan Pengarah Eksekutif AMP.

Encik Anuar pula merupakan pengarah eksekutif paling lama bagi badan itu - selama 15 tahun - selaku tunggak yang mengendalikan operasi hariannya.

Beliau akan berundur dari AMP pada 31 Januari ini.

"TANGGUNGJAWAB BERAT"

Mengulas tentang peralihan kuasa antara dirinya dengan Encik Anuar, Cik Zarina menyifatkannya sebagai "tanggungjawab berat yang perlu digalas".

"Namun ia satu penghormatan bagi saya untuk diberi peluang memegang peranan ini dan saya tidak akan sia-siakannya.

"Oleh kerana Lembaga Pengarah sudahpun memberikan sokongan mereka kepada saya, ia memberikan saya keyakinan untuk meneruskan amalan-amalan baik yang dibangunkan Encik Anuar," ujar Cik Zarina kepada BERITAmediacorp.

Zarina Yusof (berdiri) akan mengambil alih jawatan Anuar Yusop (duduk). (Gambar: AMP)

20 TAHUN PENGALAMAN DALAM PELBAGAI SEKTOR

Latar belakang kerjaya Cik Zarina sepanjang dua dekad meliputi pelbagai bidang termasuk dalam sektor awam, penyiaran, pendidikan dan jagaan kesihatan.

Beliau yang pernah memegang jawatan sebagai anggota Lembaga Pengarah AMP antara tahun 2017 dengan 2019 berpengalaman menyandang jawatan kanan dan membangunkan hala tuju strategik, memimpin dan menyelia pengeluaran-pengeluaran utama serta kewangan pertubuhan.

Pengalamannya dalam sektor awam pula bermakna beliau memahami dasar-dasar dan penggubalan dasar. Antara pelibatan lain Cik Zarina dalam pertubuhan masyarakat termasuk menyandang jawatan sebagai Naib Pengerusi Jawatankuasa Pemerkasaan Kanak-Kanak Perempuan Yayasan Mendaki dari 2016 hingga 2018.

Antara 2010 dengan 2018 pula, Cik Zarina menganggotai Jawatankuasa Penasihat Rancangan Melayu, sebelum menggalas tanggungjawab sebagai Naib Pengerusi jawatankuasa itu sejak 2019 hingga sekarang.

VISI & HARAPAN ZARINA YUSOF

Berkongsi visinya dengan BERITAmediacorp, Cik Zarina berkata beliau mahu AMP dilihat sebagai sebuah pertubuhan pilihan oleh para karyawan untuk mereka menyumbang kembali kepada masyarakat.

"Selain pendidikan sebagai saluran mempertingkat kehidupan masyarakat, rangkaian hubungan dalam kalangan masyarakat juga boleh mewujudkan kesamarataan dalam kehidupan masyarakat yang terjejas dek perubahan sosioekonomi.

"Dengan adanya sekumpulan karyawan, yaNg mana kemahiran mereka boleh dimanfaatkan dan mereka juga bersedia untuk mendampingi golongan kurang bernasib baik, ini akan mempertingkat kehidupan masyarakat kita," kata Cik Zarina.

Beliau turut berharap agar AMP akan terus berusaha membentuk dan melaksanakan program-program dan dasar berasaskan masyarakat serta memperoleh maklumat-maklumat bernilai mengenai masyarakat Melayu/Islam menerusi pusat kajian badan bantu diri itu.

Bakal ketua baru AMP itu juga berharap untuk terus bekerjasama dengan pemerintah dan agensi-agensi lain dalam bidang khidmat sosial dan juga meneroka khidmat-khidmat baru.

ANUAR "YAKIN" DENGAN ZARINA YUSOF

Encik Anuar pula memberitahu BERITAmediacorp, beliau "yakin" bahawa Cik Zarina berupaya memimpin AMP.

"Saya yakin Zarina berada di tahap yang terbaik untuk memimpin pasukan AMP memandangkan pengalamannya selama bertahun-tahun dalam pelbagai bidang dan ini melengkapi tugas yang kami jalankan di AMP," kata Encik Anuar.

Beliau menambah, pengalaman Cik Zarina sebagai anggota lembaga pengarah AMP membantu membentuk kefahaman yang mendalam tentang program-program dan khidmat yang ditawarkan AMP.

(Gambar: AMP)

ANUAR JADI KONSULTAN KEPADA LEMBAGA AMP

AMP dalam pada itu mendedahkan bahawa Encik Anuar akan terus berkhidmat untuk badan itu selepas melepaskan jawatan sepenuh masa itu. Beliau akan menjadi konsultan kepada Lembaga AMP.

"Saya berbesar hati diberi peluang untuk terus berkhidmat di AMP. Saya tidak sabar untuk terus menyumbang kepada masyarakat menerusi AMP," Encik Anuar memberitahu BERITAmediacorp.

Menerusi khidmatnya sebagai pakar runding Lembaga AMP, Encik Anuar akan memberikan nasihat dan berbincang dengan Lembaga Pengarah berhubung perkara-perkara berkaitan dana, pembangunan hubungan dan rangkaian kerja atau 'networking'.

Encik Anuar juga akan melibatkan diri merancang konvensyen keempat AMP yang dijadual diadakan pada 2022.

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan