Images
  • zaqy mendaki cgh
    (Gambar: Facebook/Zaqy Mohamad)

Zaqy Mohamad lawat kakitangan MENDAKI di CGH yang cedera akibat jambatan roboh di Batam

BERITAmediacorp: Menteri Negara Pembangunan Negara merangkap Tenaga Manusia Zaqy Mohamad pada Jumaat (8 Nov) menziarahi dua kakitangan MENDAKI yang kini dirawat di Hospital Besar Changi (CGH).

Kedua-dua kakitangan tersebut adalah antara 26 kakitangan MENDAKI yang cedera dalam kejadian jambatan roboh di Montigo Resorts, Batam pada Khamis.

Mereka dibawa pulang ke Singapura sekitar tengah hari semalam. Dua daripada mereka masih menerima rawatan lanjut di CGH.

Menulis di laman Facebooknya pada tengah malam semalam, Encik Zaqy yang juga timbalan pengerusi MENDAKI, turut mendedahkan bahawa salah seorang daripada mereka baru menjalani pembedahan pada pergelangan kaki manakala seorang lagi sedang dipantau keadaannya.

Menurut Encik Zaqy, beliau berbesar hati mendapat tahu bahawa para kakitangan yang cedera saling memberi sokongan antara satu sama lain sewaktu menghadapi masa-masa mencabar ini.

"Walaupun ditimpa kemalangan ini, mereka tetap tabah dan positif. Salah seorang daripada mereka baru sahaja menjalani pembedahan kerana patah pergelangan kaki dan sedang beransur pulih. Seorang lagi sedang dipantau," tulis Encik Zaqy.

"Saya yakin CGH akan merawat mereka dengan baik, dan saya harap kedua-dua rakan kerja kami akan kembali pulih tidak lama lagi."

Dalam kejadian pada Khamis di Montigo Resorts, Nongsa, Batam, sekitar 100 kakitangan MENDAKI berada di sana bagi acara retreat tahunan mereka.

Sekumpulan daripada mereka dilaporkan berada di atas jambatan berkenaan untuk bergambar apabila ia runtuh.

Seramai 26 orang mengalami kecederaan. Setelah tiba di Terminal Feri Tanah Merah tengah hari semalam, empat daripada mereka dibawa ke CGH untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut. Dua daripada empat kakitangan itu kemudian dibenarkan pulang pada sebelah petang.

Siasatan mengenai kejadian itu masih dijalankan. Namun menurut pihak resort, siasatan awal membayangkan kejadian malang itu mungkin berpunca daripada terlalu ramai orang yang berkumpul secara serentak di atas jambatan tersebut.

Semasa ditemui Mediacorp semalam, pemilik Montigo Resorts iaitu KOP Limited menyatakan bahawa terdapat papan-papan tanda yang memaklumkan had muatan yang boleh ditampung oleh jambatan itu.

"Di jambatan kami, terdapat papan-papan tanda yang menyatakan bahawa ia mempunyai had muatan," kata Cik Leny Suparman, CEO kumpulan KOP Limited kepada para pemberita pada Jumaat ketika ditemui di Terminal Feri Tanah Merah.

Bagaimanapun, apabila ditanya mengenai jumlah orang yang boleh ditampung oleh jambatan itu, Cik Leny menjawab pihaknya "tidak mempunyai jumlah khusus".

Wartawan Mediacorp yang berada di Montigo Resorts tidak melihat sebarang papan tanda yang dimaksudkan itu.

- BERITAmediacorp/tq

Top